Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang remaja ditembak
mati ketika pasukan keselamatan sedang mengesan penceroboh berhampiran
zon merah.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika pasukan
keselamatan sedang mengesan kumpulan pengganas pada kira-kira jam 9.45
pagi ini di Kampung Sungai Bilis.
Tiga lelaki dewasa dan dua
wanita dewasa secara tiba-tiba muncul dari kawasan semak dan pasukan
keselamatan dengan serta menahan dan memeriksa kumpulan tersebut.
Ketika
pemeriksaan dibuat, pasukan keselamatan mendengar bunyi dari kawasan
semak dan secara spontan melepaskan tembakan ke arah berkenaan, katanya
dalam sidang media di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu petang ini.
Pemeriksaan selepas itu mendapati, tembakan itu mengenai dua individu.
Seorang
remaja dianggarkan berusia antara 12 hingga 15 tahun ditembak mati
manakan seorang lelaki dipercayai berusia dalam 30-an cedera di kaki.
Ismail berkata polis masih berusaha untuk memastikan identiti individu terbabit termasuk lima yang ditahan.
"Mereka tidak memiliki apa-apa dokumen jadi kita menyiasat dari mana mereka datang dan apa yang mereka buat di sana," katanya.
Kampung Sungai Bilis merupakan satu kampung yang terletak dekat Tanjung Batu.
Kesemua
tujuh individu berkenaan, termasuk yang maut dan cedera dikeluarkan
dari lokasi berkenaan oleh satu pasukan medik dengan kenderaan
berperisai, katanya.
Kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang senjata, katanya.
Jumlah
berkenaan menjadikan seramai 62 orang terbunuh sejak krisis itu bermula
pada 12 Februari lalu – 53 di pihak penceroboh, lapan pegawai polis dan
kini seorang remaja yang masih belum dikenalpasti.
Dalam
perkembangan berkaitan, Ismail berkata polis turut menahan tiga orang di
Kampung Perigi, Semporna pada pagi ini dan dua lagi di satu kawasan
lapang di jalan menghubungkan Semporna dan Tawau.
Ismail berkata
penahanan berkenaan berhubung kait dengan siasatan kejadian di Kampung
Simunul, Semporna yang mengorbankan enam orang pegawai polis./~m'kini