Pihak polis akan terus memantau aktiviti Taufik Abdul Halim, rakyat Malaysia selaku pakar membuat bom bagi kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) yang pulang ke tanah air Rabu lepas setelah menjalani hukuman penjara lebih 12 tahun di Indonesia.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis akan sentiasa berhubung dan memantau aktivitinya dari semasa ke semasa supaya dia tidak lagi mengancam keselamatan negara dan orang ramai.
Setibanya Taufik, 39, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 11.30 malam, dia telah dibawa oleh polis untuk ditemuduga, diberi nasihat dan peringatan agar tidak kembali terbabit dalam sebarang kegiatan militan, kata Ayob Khan.
"Perbincangan itu merupakan satu sesi yang agak panjang," katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ditanya mengapa tiada tindakan susulan diambil terhadap Taufik, beliau berkata biarpun Taufik ditahan berikutan kes letupan di kompleks beli-belah Plaza Atrium di Jakarta pada 1 0gos 2001, namun PDRM tidak mempunyai bukti untuk menahannya kerana dia tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti keganasan di Malaysia.
"Setakat ini, apa yang kita buat ialah menasihatinya agar tidak lagi terlibat dengan perkara yang bercanggah dengan undang-undang," kata Ayob Khan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan antara 300 hingga 350 tahanan JI akan dibebaskan secara berperingkat dari penjara Indonesia termasuk Taufik yang kehilangan kaki kanannya akibat pengeboman di Jakarta itu.
Menjelas lanjut, beliau berkata disebabkan kepakaran membuat bom dan ideologi yang dimiliki Taufik, kemungkinan masih ada anggota JI akan cuba berhubung semula dengannya.
"Kita risau mungkin ada perkara yang akan dibincangkan sesama mereka. Kemungkinan dia juga akan melatih orang awam yang ingin terlibat dalam keganasan. Dia bukan setakat pakar membuat bom malah pernah terlibat dalam kes mengebom gereja di Indonesia," katanya.
Ditanya sama ada pembebasan ratusan tahanan JI itu membuatkan mereka akan cuba terbabit dalam kegiatan militan Negara Islam (IS), beliau berkata "tiada perbezaan antara JI mahupun Al-Qaeda kerana mereka mempunyai ideologi yang sama iaitu untuk terlibat dalam aktiviti keganasan.
"Sekiranya mereka dibebaskan, memang ada risiko yang tinggi, kemungkinan mereka akan terlibat dalam kumpulan militan IS," kata Ayob Khan sambil menambah PDRM sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak polis serantau dan global dalam konteks menangani antikeganasan.
Beliau berkata dari 2001 hingga kini, pihak polis telah menahan 294 individu warga tempatan dan asing yang dipercayai terbabit dalam kumpulan militan.
Taufik yang kini dilaporkan berada di kampung asalnya di Kluang, Johor pernah menjalani latihan dengan Al-Qaeda di Afghanistan pada Oktober 1995 hingga Feb 1996.
Dia juga turut dikaitkan dengan insiden pengeboman di dua buah gereja di timur bandaraya Jakarta.
Malah dia merupakan sebahagian anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan pernah terbabit dalam aktiviti keganasan di Ambon, Maluku pada 2000.
Taufik yang merupakan bekas penuntut jurusan senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM) terjebak dengan kumpulan pengganas selepas dipercayai dipengaruhi abang iparnya, Zulkifli Abdul Khir yang menjadi individu paling dikehendaki di Asia Tenggara dan diburu sehingga kini.
Zulkifli atau Marwan kini dipercayai berada di selatan Filipina bersama kumpulan Abu Sayyaf.
Taufik juga pernah ditahan PDRM pada Oktober 1996 hingga November 1996 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
- Bernama
Cari parang, golok, pisau?? Sila klik http://parangonline.blogspot.com
.