|
gambar hiasan |
KUALA LUMPUR, 1 Mac — Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah
berakhir dengan 14 terbunuh dan tiga cedera selepas pasukan keselamatan
bertempur dengan penceroboh bersenjata, polis sahkan hari ini.
The
Star Online melaporkan polis berkata perintah berkurung telah
dilaksanakan di bandar Lahad Datu dan kawasan sekitarnya sejak jam 4
petang.
“Saya sedih insiden ini berlaku kerana ini yang kami cuba elakkan,
yang mana pertumpahan darah berlaku,” kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dipetik The Star Online.
Dua belas anggota penceroboh Filipina dan dua komando Malaysia terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Tiga anggota polis Malaysia turut tercedera.
Komisioner Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik The Star Online hari
ini berkata penceroboh Filipina itu memulakan tembakan terhadap pasukan
keselamatan Malaysia.
“Pegawai kami bertembung dengan beberapa penceroboh yang menembak mereka, memaksa pasukan polis membalas tembakan,” kata Hamza.
Anak kepada pemimpin kumpulan tersebut Agbimuddin Kiram, bagaimanapun
awal hari ini berkata pihak berkuasa Malaysia memulakan tembakan.
Jumlah anggota penceroboh tersebut yang tercedera masih belum diketahui.
Portal The Philippine Daily Inquirer pula melaporkan jurucakap
Kementerian Hubungan Luar Filipina Raul Hernandez hari ini berkata Duta
Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim telah bertemu dengan pihak
Setiausaha Kementerian Hubungan Luar Albert Del Rosario di Manila untuk
memaklumkan perkara itu.
Hernandez dilaporkan berkata kerajaan Filipina masih lagi perlu
mengesahkan kenyataan jurucakap penceroboh berkenaan bahawa 10
anggotanya terbunuh.
Dianggarkan 180 pemberontak Filipina, termasuk 30 lelaki bersenjata
menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah
diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.
Reuters turut melaporkan kumpulan bersenjata tersebut menuntut
pengiktirafan Malaysia dan rundingan awal pajakan Sabah oleh Sultan
kepada syarikat perdagangan British pada kurun ke-19. Malaysia
bagaimanapun berkata permintaan mereka tidak akan dapat ditunaikan.