PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Friday 24 January 2014

Sultan Johor menang bida plat W1N RM748,000

SHAH ALAM - Berita yang tersebar mengenai nombor plat W1N bernilai RM748,000.00 yang dibida oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ternyata benar.

Memetik laporan News Straits Time, Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak keberatan membayar sejumlah wang tersebut untuk nombor plat yang diingininya.

Menurut Sultan Ibrahim, wang yang dibelanjakan tersebut akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat.

"Rakyat akan mendapat manfaat daripadanya. Jadi, jumlah yang dibayar adalah kecil berbanding dengan faedah yang rakyat akan terima," katanya dalam laporan itu.

Tambahnya, proses pembidaan yang dilakukan itu adalah mengikut prosedur yang betul.

"Saya bukan jenis yang suka melangkau prosedur untuk mendapatkan sesuatu. Ini adalah 'cara Johor' untuk membayar apa yang kita mahukan kerana semua perlu mendapat peluang yang adil dan seperti kata pepatah, 'the best man win'," katanya.

Semalam, Pengerusi badan pemantau jenayah Mywatch, R Sri Sanjeevan mendedahkan sultan Johor telah membelanjakan RM174,000.00 dalam bidaan nombor plat pendaftaran kenderaan.

"DYMMM Sultan Ibrahim telah sekali lagi menang bidaan untuk W1N, sebelum ini WWW1," tulisnya.//(sinarharian)
 

Thursday 23 January 2014

Kena langgar selepas menyamun

SEREMBAN – Seorang penyamun patah kedua-dua belah kakinya, akibat dirempuh sebuah van dalam usaha melarikan diri selepas melakukan rompakan, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua perompak masuk ke kedai tersebut lalu mengacukan parang kepada dua pekerja kedai berkenaan, sebelum meminta sejumlah wang.

Menurut juruwang kedai tersebut dikenali sebagai Nadia, dia dan rakan sekerjanya yang bertugas pada waktu pagi itu, terkejut dengan kehadiran perompak berkenaan, yang kelihatan sangat bengis dan menakutkan.

“Tanpa berfikir panjang, saya menyerahkan sejumlah wang yang ada tanpa mengetahui jumlah sebenar.

“Sejurus wang tersebut diperolehi, lelaki berkenaan meluru keluar dan menaiki motosikal yang sedia menunggunya di luar kedai,” katanya.

Selepas kejadian tersebut, datang empat anggota polis peronda yang ketika itu membuat rondaan di jalan berkenaan.

Akibat terlalu cemas dengan kegiatan jenayah yang dilakukan, kedua-dua suspek kemudiannya mengikut laluan bertentangan, untuk melarikan diri.

“Dalam keadaan kelam-kabut, motosikal suspek dirempuh sebuah van yang datang dari arah Mantin.

“Seorang daripada suspek mengalami kecederaan di kaki dan tangan, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap polis, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindak susulan, dan keterangan daripadanya juga diambil untuk direkodkan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat, boleh tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.//(sinarharian)


Wednesday 22 January 2014

Daim ramal BN kalah pilihanraya

ALOR STAR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan BN akan kalah sekiranya pilihanraya diadakan ketika ini kerana rakyat marah kepada BN berikutan isu kos sara hidup.

Menurut beliau, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cekap dan boleh mendatangkan mudarat hilangnya kuasa BN dalam pilihanraya umum akan datang.

“Kerajaan gagal mengawal isu kenaikan harga barang,” kata beliau dalam satu majlis anjuran Umno Bahagian Merbok di sini Sabtu lalu.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen Merbok menambah tol tidak perlu dinaikkan sebaliknya mengkaji semula perjanjian konsesi untuk melanjutkan tempoh masa.

“Isu pengurangan subsidi yang selama ini dinikmati rakyat perlu diteruskan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di mana rakyat nampak kerajaan boros dalam perbelanjaan negara,” katanya lagi.
Daim mendakwa terlalu banyak wang dibelanjakan untuk perkara yang tidak patiut dan tidak memberi pulangan yang baik kepada rakyat dan negara.

Beliau berpendapat kenaikan elaun dan gaji kakitangan kerajaan juga mempengaruhi kenaikan harga barang.

Tambahan pula katanya, menteri gagal menjelaskan isu ini kepada rakyat yang menyebabkan rakyat lebih marah kepada kerajaan.

“Najib selaku Menteri Kewanagn tidak bijak menguruskan perbelanjaan negara,” katanya lagi.

Beliau yang juga bekas Bendahari Umno mendakwa ketika negara di landa banjir, Najib dan lain-lain menteri bercuti di luar negara.

“BN masih kuat kerana sokongan orang Melayu di luar bandar. Sepatutnya orang Melayu yang perlu mendapat manfaat daripada kerajaan,” saran beliau.

Daim mendakwa perbelanjaan besar dalkam perkara-perkara mengambil hati kaum Cina adalah kerja yang sia-sia dilakukan Najib kerana orang Cina tidak akan menyokong BN.

Sepatutnya, tambah beliau, Najib menjaga orang Melayu.

“Najib terlalu mengikut kehendak para penasihatnya dalam menentukan dasar yang merugikan orang Melayu sendiri,” tegasnya lagi.
-FMT

Surat terbuka untuk PM

SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Saya mendoakan Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Ingin saya sampaikan bahawa saya memahami keadaan Datuk Seri yang mungkin tersasul semasa memberikan ucapan di Kemaman tempoh hari.

Saya akui, saya juga tertawa kecil, tapi dalam masa sama, saya sedar kita semua manusia, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, Datuk Seri perlu sedar, apa yang Datuk Seri katakan itu cumalah salah satu daripada banyak kenyataan yang keluar daripada mulut Menteri Kabinet Malaysia kebelakangan ini. Dulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah berkata, “jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. “Bagi mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut.”

Datuk Seri, cuba tanyakan soalan ini dengan ikhlas kepada diri Datuk Seri sendiri, adakah ini kenyataan daripada mereka yang prihatin dengan masalah rakyat? Laporan media arus perdana mengatakan kadar inflasi di Malaysia sudah mencapai kemuncaknya pada 2.9 peratus pada November 2013.

Rakyat negara ini sudah lali dengan berita ini. Tetapi, tugas kerajaan bukan sahaja untuk mengawal kadar inflasi ini, tetapi juga untuk memberi penerangan kepada rakyat apakah makna inflasi ini, bagaimanakah kadar inflasi ini dikira dan seterusnya, apakah kesan-kesannya kepada rakyat. Sebagai ahli ekonomi, saya percaya Datuk Seri tahu akan kepentingan Indeks Harga Konsumer (CPI) kepada penentuan kadar inflasi ini.

Rakyat marhaen dapat melihat harga barang semakin meningkat dari hari ke hari, tapi perkara ini tidak langsung dicerminkan dalam kadar inflasi. Mengikut perkiraan pakar ekonomi, kadar inflasi yang sebenar di Malaysia berada pada kira-kira 8 peratus.

Dalam soal gaji dan upah, pekerja Malaysia juga jelas terseksa dengan kadar gaji rendah. Pada ketika ini pekerja Malaysia cuma menikmati 28 peratus daripada KDNK, berbanding keuntungan perniagaan pada 67.1 peratus. Bandingkan dengan negara jiran kita, Singapura yang pada 1997 mempunyai pecahan gaji berbanding KDNK sebanyak 42 peratus. Nampaknya pecahan ini amat tidak seimbang. Jika kita bandingkan dengan beberapa negara maju lain, pecahan ini lebih besar, contohnya pekerja-pekerja di Jepun menikmati gaji dan upah sebanyak 52 peratus daripada KDNK keseluruhan.

Datuk Seri, saya pelawa Datuk Seri sendiri turun melihat sendiri keadaan rakyat. Baru-baru ini, saya ternampak sebuah iklan jawatan kosong di sebuah restoran makanan segara yang popular, menawarkan gaji RM900 sebulan. Saya ingin tanya, bagaimanakah seseorang itu boleh hidup di kawasan Lembah Kelang dengan gaji RM900 sahaja? Pada hemat saya komen tentang kangkung tempoh hari melihatkan betapa Datuk Seri dan Kabinet Datuk Seri terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen. Masalah pendapatan ini juga membawa kepada suatu masalah yang lebih besar. Orang miskin nampaknya tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan, kerana pendidikan yang berkualiti tiada dalam jangkauan mereka.

Saya fikir, sekiranya mahukan Malaysia yang terus-menerus mengeluarkan sumber manusia berkualiti secara mampan, isu pendidikan perlu diberi perhatian secara serius, bukan sekadar penukaran kosmetik.

Datuk Seri, saya juga amat bimbang sekali dengan retorik perkauman serta sentimen kebencian yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan isu-isu keagamaan sudah menjadi permainan ahli-ahli politik yang tidak peduli akan hak-hak kemanusiaan sejagat. Saya amat bimbang anak-anak Malaysia akan terpengaruh dengan sikap perkauman yang melampau, sehinggakan ada semakin berani guna kata-kata kesat atau berbaur ugutan ke atas bangsa-bangsa lain.

Justeru, Datuk Seri perlu menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia. Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat. Apakah dengan mendiamkan diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna yang Datuk Seri sendiri inginkan? Pilihan di tangan Datuk Seri. Tepuk dada, tanya selera.
- NURUL IZZAH ANWAR
 

Monday 20 January 2014

Anwar diusir Jepun: Desak penjelasan Wisma Putra

SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Kementerian Luar Negeri memberi penjelasan di sebalik sandiwara kerajaan yang didakwa mendalangi pengusiran beliau dari Jepun.

Anwar mendakwa kerajaan telah memberikan 'laporan terbaru' termasuk skandal kepada kerajaan Jepun hingga menghalang beliau daripada memasuki negara terbabit secara sah hari ini.

"Apa peranan Wisma Putra hingga menyebabkan saya terpaksa diusir dari Jepun.

"Ketika ditahan pihak berkuasa Jepun, saya meminta penjelasan, mereka akhirnya memberitahu saya bahawa mereka terpaksa mengambil tindakan ini "kerana laporan terkini" mungkin pada lalu," katanya memetik kenyataannya dari akaun laman sosial Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Jepun yang menghalang beliau memasuki negara itu secara sah sekali gus menafikan haknya untuk mendapatkan perjalanan bebas tanpa sebarang halangan.

Tambah beliau, tindakan pihak berkuasa Jepun itu mengejutkannya kerana sebagai sebuah negara demokrasi terkemuka di dunia, perkara tersebut tidak pernah berlaku dengan hanya alasan yang berasas dan lemah.

"Saya mengesyaki ada tangan tersembunyi yang mendalangi kemasukan saya ke Jepun.

"Sebelum ini saya telah memasuki Tokyo tanpa halangan sebanyak tiga kali pada 2006, 2009, dan 2012, namun kali ini dihalang pula," katanya.

Memetik kenyataannya lagi, Anwar telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi, hari ini dari Kuala Lumpur tetapi telah dihalang daripada memasukinya oleh pihak berkuasa imigresen Jepun.

Beliau kemudiannya diarah pihak berkuasa Jepun untuk mengambil penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.45 pagi, hari ini.//(sinarharian)
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers