PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Saturday, 8 February 2014

SOALAN SEKS UNTUK PELAJAR SEKOLAH

 

Soalan seks untuk murid sekolah?


SEREMBAN - Soalan berunsur seks dalam borang soal selidik yang diedarkan kepada murid sekolah rendah di Nilai mendorong dua wakil rakyat membuat aduan sekali gus menuntut tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, semalam.

Adun Nilai, J Arul Kumar yang hadir bersama Adun Senawang, P Gunasekaran, mempersoalkan apa relevannya soalan berkaitan keguguran kandungan, kaedah mencegah kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii ditanya kepada murid sekolah rendah.

"Soalan seperti ini tidak sepatutnya ditanya kepada murid sekolah rendah," kata Arul Kumar.

Beliau turut menunjukkan borang soal selidik itu yang antara soalannya ialah 'Saya mempunyai keinginan seks terhadap (a) kaum (jantina) sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina'.

Satu lagi soalan, 'saya pernah melakukan perkara-perkara berikut (a) membaca/ menonton bahan-bahan lucah (b) melancap/ masturbasi (merangsang diri sendiri secara seksual).

Sinar Harian difahamkan, borang soal selidik itu diedarkan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lalu oleh ibu bapa murid tahun empat yang bimbang persoalan yang dibangkitkan dalam soal selidik itu mencemarkan pemikiran anak mereka.

“Setelah diteliti, kita dapati soalan pada halaman tiga itu memang tidak sepatutnya diajukan kepada murid sekolah rendah. Kita pun hairan bagaimana pihak berkenaan boleh terfikir untuk menyoal selidik budak sekolah rendah dengan soalan seperti itu.

“Cuba bayangkan, apa yang kanak-kanak ini faham tentang keguguran kandungan, kaedah pencegahan kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii,” katanya.

Arul Kumar berkata, tidak timbul masalah jika soalan itu diajukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar sekolah menengah memandangkan topik dibangkitkan bersesuaian dengan mereka untuk tujuan kesedaran.

“Ibu bapa itu sendiri kata kepada saya, mereka serba salah apabila anak-anak yang masih kecil ini balik bertanya kepada mereka soalan-soalan yang mereka sendiri tak boleh nak jawab. Pada saya, perkara seperti ini boleh dedahkan anak-anak kepada perkara yang mereka tak sepatutnya tahu lagi pada peringkat usia itu," katanya.

Sehubungan itu, Arul Kumar minta Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Kita harap Jabatan Pendidikan negeri memandang serius perkara ini kerana mengikut maklumat diterima, dipercayai kaji selidik berkenaan bukan saja diedarkan di sekolah terbabit, malah di semua jenis sekolah rendah di negeri ini sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita terpaksa menanti sehingga hari ini (semalam) untuk bertindak selepas mendapat bukti mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kaji selidik berkenaan dibuat klinik kesihatan berdekatan tanpa pengetahuan dan kebenaran Jabatan Pendidikan negeri.

"Setakat ini, kita tak pasti berapa banyak yang sudah diedarkan dan sekolah mana terlibat.

"Buat permulaan kita minta pengurusan sekolah yang menerima borang kaji selidik ini supaya menghentikan pengedarannya," katanya.

Kalsom berkata, pihaknya akan membuat siasatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan diambil. -SH

Isu soalan seks: Langkah cegah masalah sosial
SEREMBAN – Soalan kaji selidik yang diedarkan di sekolah rendah merupakan sebahagian daripada program Saringan Kesihatan Remaja, yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (PKK) Kementerian Kesihatan Malaysia, dan bukanlah satu kajian semata-mata.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, soalan yang dibuat itu disediakan sendiri oleh pakar dalam bidang masing-masing, bagi mencegah masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja di negara ini.

Katanya, hasil daripada soal selidik itu, pihaknya akan mengambil tindakan bagi membantu pelajar bermasalah, mengikut keperluan masing-masing, sama ada berjumpa dengan Pakar Kaunseling, mahupun dirujuk kepada Pakar O&G atau Pakar Sakit Puan.

“Soalan saringan kesihatan yang dikemukakan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia dilaksanakan dan diguna pakai di seluruh negara sejak tiga tahun lalu, oleh Kementerian Kesihatan, bukan di Negeri Sembilan sahaja.

“Namun ingin saya tegaskan, soalan ini hanya dijawab oleh remaja berusia 10 hingga 19 tahun, dan dalam konteks ini, murid darjah 4, 5 dan 6 adalah tergolong dalam kumpulan remaja.

“Mereka juga layak menjawab soalan tersebut, dengan syarat ia perlulah dipimpin oleh seorang anggota kesihatan yang bertugas. Mengikut prosedur menjawab soalan saringan kesihatan ini, ia perlu dipimpin oleh seorang anggota mahu pun pegawai kesihatan sendiri secara terpimpin, bukannya jawab di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, dalam proses pelaksanaan ini, pihaknya akui terdapat kelemahan yang  dilakukan oleh anggota kesihatan itu sendiri, yang mana membenarkan soalan itu dibawa pulang.

Jelasnya, sepatutnya soalan itu hanya boleh dijawab di sekolah sahaja, dan perlu diserahkan kepada anggota kesihatan yang bertugas serta-merta.

“Walau bagaimana pun, saya sudah menegur pegawai yang terlibat, dan siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan, selain membawa perkara ini kepada pihak atasan bagi meminta soalan-soalan yang dikemukakan di borang tersebut dikaji semula,” katanya.

Menurutnya, soalan ini juga dijawab oleh pelajar sekolah menengah negeri ini, bagi memastikan sasaran untuk mencapai lima peratus remaja yang menjawab kajian saringan kesihatan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ada kebaikan soalan-soalan sebegini dibuat, kerana kita dapat mengenal pasti remaja yang bermasalah sekali gus membantu mereka sejak dari awal lagi.

“Kita yakin, walau pun tidak dapat mengawal kelakuan mereka, namun sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka yang terbelenggu dengan masalah sebegini,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan murid di beberapa buah sekolah rendah di Nilai perlu mengisi dan menjawab borang soal selidik berunsur seks, yang didakwa tidak sesuai dengan umur mereka, sekali gus membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.//(sinarharian)
 

Friday, 7 February 2014

Insiden 'panas' : 'Jumpa TMJ jika perlu'

HAMIDIN (kiri) memberi jaminan pihaknya akan memanggil TMJ jika perlu bagi membantu memberi keterangan berhubung insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.

MISTERI insiden 'panas' yang didakwa tercetus dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru ketika pertembungan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu masih belum terungkai.

Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menyiasat insiden berkenaan dengan lebih terperinci selepas ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) termasuk Presiden PBNJ itu yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden berkenaan.

"FAM akan melihat segala bukti (berkaitan insiden itu) minggu depan.

"Ingin saya tegaskan di sini, pihak kami tidak akan sesekali berkompromi.

"Jadi, kami akan panggil dan jumpa TMJ jika perlu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) pula berkata, kes itu kini dikendalikan pihak Sekretariat FAM untuk siasatan lanjut.

Jika ada kes, katanya, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak dalam masa terdekat.

"Sekretariat akan meneruskan siasatan lanjut terhadap apa yang didakwa berlaku dalam terowong berkenaan," jelas Afandi.

Dalam insiden di Larkin itu, pemain import The Titans, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Ketika itu, kedudukan semasa memihak kepada skuad Harimau Selatan yang sedang mendahului perlawanan 2-1.

Gara-gara bimbang dengan keselamatan, pasukan T-Team yang berstatus kelab itu telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua.

Malah, kedua-dua pasukan juga telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong stadium berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengesahkan siasatan berhubung insiden itu akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.

Berhubung insiden itu yang kini berada di bawah siasatan polis, jelas Afandi, FAM tetap akan meneruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang dimiliki badan induk berkenaan.

"Kami serahkan kepada polis untuk siasatan, tetapi pihak sekretariat tetap akan teruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang kami ada.

"Jika ada kes, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib.

"Jadi, sekretariat akan teruskan siasatan terlebih dahulu yang dijangka selesai dalam masa terdekat," katanya.//(kosmo)



Thursday, 6 February 2014

Pelajar Mahu ‘Meletupkan’ Marina Bay Disiasat

SEORANG pelajar perfileman di Singapura kini terpaksa membantu polis dalam satu siasatan berkaitan video Hotel Marina Bay Sands diletupkan.

Menurut laporan The Straits Times Singapura, pelajar itu Caleb Rozario, 23 tahun, memuatnaik klip pendek berkenaan ke laman Facebook Disember tahun lepas.

Turut disertakan bersama video berkenaan, iaitu satu komen yang berbunyi “Jadi, saya letupkan MBS atau sebaliknya.. haha,”
MBSLetup01
(Status Facebook Rozario yang menyatakan dia akan meletupkan Hotel Marina Bay Sands yang menerima banyak komen dan kecaman. Status itu juga didakwa akan meggugat keselamatan awam dan juga dianggap sebagai satu ugutan.)

Seorang pengguna internet menghantar link video berkenaan ke laman portal stomp.sg dan mendapat maklumbalas bahawa video berkenaan dilihat mengancam keselamatan orang ramai.

Rozario merupakan seorang pelajar diploma di sebuah institusi media swasta SAE Institute menjelaskan bahawa video berkenaan dihasilkan mengikut kehendak tugasan “kesan khas visual”.

Dia turut menjelaskan bahawa video berkenaan bukan bertujuan untuk ugutan atau mengancam keselamatan.

Pelajar itu memilih hotel Marina Bay untuk kesan khas letupan itu selepas mengambil inspirasi dari beberapa filem Hollywood yang kerap menjadikan lokasi utama sebagai sasaran letupan.

Seorang jurucakap polis Singapura mengesahkan ada laporan dibuat ke atas video berkenaan namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Ahad lepas, Rozario dihubungi pihak polis untuk membantu siasatan dakwaan menghantar mesej palsu di bawah Akta Telekomunikasi Singapura.

Jika disabitkan kesalahan Rozario boleh dipenjarakan maksimum tujuh tahun dan didenda tidak melebihi $50,000 Dolar Singapura atau kedua-duanya sekali.

Pelajar itu yang dijadualkan menamatkan pengajiannya beberapa minggu lagi, berkata pihak polis menyiasat semua peralatanya antaranya komputer peribadi, telefon bimbit miliknya dan adiknya Jesse.

Dia dan adiknya kemudian dibebaskan bersama peralatan elektronik mereka selepas beberapa jam. – IBNU K/Mynewshub.my

Tuesday, 4 February 2014

Padah Cabul Pelajar 14 Tahun…

KOTA BHARU – Perbuatan dua remaja mencabul seorang pelajar berusia 14 tahun membawa padah apabila dibelasah seorang lelaki yang datang dalam kumpulan di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua remaja terbabit cedera di seluruh badan dipercayai dipukul menggunakan besi.

“Dua remaja itu yang sedang berehat di sebuah rumah dikejutkan dengan kedatangan enam lelaki dan salah seorangnya yang juga ahli keluarga mangsa, bertindak menyerang mangsa secara bertubi-tubi di bahagian kepala serta badan.

“Mereka kemudiannya turut dibawa kumpulan lelaki berkenaan ke sebuah rumah lain sebelum dipukul dengan besi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Azham berkata, siasatan awal mendapati dua remaja itu dipukul setelah mencabul seorang gadis berusia 14 tahun pada hari yang sama di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, pada jam 2 pagi.

“Dua remaja tersebut membawa pelajar terbabit untuk keluar dengan menaiki kereta sebelum membawanya ke sebuah rumah remaja berkenaan.

“Salah seorang daripada remaja itu menarik tangan gadis tersebut masuk ke dalam rumah sebelum bertindak membuka baju mangsa menyebabkan terkoyak, selain cuba untuk mencium mangsa,” katanya.

Azham berkata, remaja terbabit kemudian melepaskan mangsa dan menghantarnya pulang ke rumah.

“Mangsa yang juga pelajar di sebuah sekolah di sini, membuat laporan polis mengenai kejadian cabul yang menimpa dirinya pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit ditahan reman bermula hari ini sehingga 5 Februari.//(mynewshub)


Kajang Oh Kajang!

Leftenan Adnan Saidi
SUNGGUHPUN  hanya pekan kecil, nama Kajang popular seantero negara. Mengikut sudut topografi, mukim Kajang terletak di kawasan tanah tinggi, iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut.

Kebanyakan permukaan buminya berbukit-bukau dan dipenuhi gunung.

Dari mana asal nama ini? Dipercayai nama Kajang diberikan oleh Orang Asli dari suku Temuan yang menerokai kawasan terbabit sekitar tahun 1580. Nama itu diambil daripada sejenis mengkuang hutan yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.

Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Lokasi-lokasi itu juga dikatakan antara kawasan awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang.

Pekan Kajang mempunyai taburan penduduk sekitar 311,785 (berdasarkan bancian terakhir pada 2010). Kawasan perkampungan rata-rata didiami orang Melayu. Masyarakat Cina tinggal secara berselerak di sekitar bandar Kajang, manakala kawasan-kawasan ladang getah didiami orang-orang berketurunan India.
Terletak 22 kilometer dari bandar Kuala Lumpur, lapan kilometer dari Semenyih dan 12 kilometer dari Bandar Baru Bangi, Kajang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran kajang (MPKj).

Bandar Kajang boleh diakses melalui Lebuhraya Utara Selatan (Plus); susur keluar Kajang/Putrajaya, Lebuhraya Kajang Silk, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan KTM Komuter-dari KL Sentral dan Seremban.

Apa yang buat Kajang begitu popular? Mungkin sate, perniagaan yang mula dikenali di Kajang pada 1992.
Kajang juga turut menjadi tumpuan orang ramai untuk merehatkan minda. Antara lokasi yang popular ialah Sungai Gabai dan Sungai Tekala.

Wira negara semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Leftenan Adnan Saidi, juga anak kelahiran Sungai Ramal Luar, Kajang.

Pekan kecil ini dijangka akan bertambah sibuk pada 2017, apabila projek MRT siap sepenuhnya.
- sumber

Monday, 3 February 2014

VIDEO: Kekecohan Perlawanan T-Team, JDT…Siapa Pukul Siapa?

Perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara JDT dan T-Team ditangguhkan selepas wakil kelab dari Terengganu itu enggan meneruskan perlawanan di Stadium Larkin, Johor Baharu.

Keputusan menangguhkan perlawanan ke tarikh baharu diumumkan oleh komisioner perlawanan, Zainal Mukri selepas pasukan pelawat dilaporkan enggan meneruskan perlawanan pada separuh masa kedua atas faktor keselamatan.

Zainal berkata selepas tamat perlawanan masa pertama berlaku pertelingkahan antara jurulatih JDT, Cesar Fernando Jiminez dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo.

Katanya, ketika di dalam terowong pertelingkahan terbabit mendapat campur tangan pemain kedua-dua pasukan hingga menyebabkan T-Team enggan meneruskan perlawanan.

JDT sedang mendahului T-Team dengan keputusan 2-1 pada aksi separuh masa menerusi sentuhan penyudah penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa masing-masing pada minit ke-15 dan 20′.
Skuad ‘The Titans’ merapatkan defisit jaringan hasil sepakan percuma daripada jarak 20 meter menerusi kapten pasukan, Marzuki Yusoff pada minit ke-26.

Zainal yang ditemui pemberita selepas itu berkata, pihaknya akan merujuk perlawanan berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak (FAM) sama ada untuk mengekalkan keputusan tersebut atau perlawanan ulangan diadakan.

Bagaimanapun, mengikut peraturan FAM, sesuatu perlawanan ulangan yang terpaksa dijalankan berikutan pembatalan atau penangguhan, maka ia akan disambung hanya dengan baki tempohnya dan bukan lagi dimulakan daripada minit pertama.

Selain itu, kedudukan jaringan dan layangan kad semasa dikekalkan serta pasukan diwajib menurunkan barisan pemain yang sama.
VIDEO: Kekecohan Perlawanan T-Team, JDT...Siapa Pukul Siapa?
( Pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues (kiri) dan jurulatih kecergasan, Stefano Impaglaizzo (kanan) keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Ahad. Mereka yang berada di balai berkenaan kira-kira 16 minit atas urusan yang tidak diketahui mengambil keputusan membisu apabila diminta penjelasan mengenai tujuan ke balai polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsudin ketika dihubungi Bernama mengesahkan tiada laporan rasmi dibuat oleh pihak T-Team sehingga 3.30 petang.)

Dalam pada itu, dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua, juara Piala Malaysia, Pahang menjadi pasukan pertama mengesahkan slot ke suku akhir selepas mengalahkan Lions XII dari Singapura 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kemenangan tersebut sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah juara Liga Super itu yang kali terakhir kecundang di halaman sendiri pada Julai 2012.

Pahang hanya berjaya menembusi gawang gol pasukan Lions XII menerusi Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-51 sebelum Azidan Sarudin menggandakan kedudukan untuk skuad Tok Gajah, empat minit kemudian.
Pemain pertahanan Lions XII, Muhammad Safuwan Baharudin mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-86.

Pahang dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara wakil Pulau Pinang, PBAPP FC atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi suku akhir secara timbal balik pada 11 dan 18 Mac ini.

Perlawanan pusingan kedua melibatkan PBAPP FC dan PDRM akan berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Selasa ini.

Lima lagi aksi Piala FA turut berlangsung pada hari yang sama iaitu Selangor menentang dan Sarawak, Kedah menentang Perlis, Kelantan bertemu Sabah, Selangor PKNS FC menentang Terengganu dan Sime Darby FC berdepan Felda United FC.//(mynewshub)

Sunday, 2 February 2014

Kalau Ingin Menghargai, Chong Wei Sepatutnya Dilantik Senator Dan Bukan Menjerutnya 'Di Tali Gantung' Kajang

Sejak nama jaguh badminton negara, Lee Chong Wei diusulkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainal Abidin sebagai calon BN mewakili MCA bagi pilihanraya kecil DUN Kajang bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim, ramai daripada kelompok pro BN menunjukkan persetujuan terhadap idea itu. Dengan popularitinya sebagai ahli sukan kesayangan negara serta pemain badminton nombor satu dunia, ramai yang percaya ianya adalah suatu kelebihan yang cukup berbaloi bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim.

Sudah ada juga yang menyatakan Anwar pasti kecundang jika lawannya adalah Lee Chong Wei atas kepercayaan populariti dan jutaan peminatnya yang sentiasa memujanya adalah juga terjemahan dalam bentuk undi dalam pilihanraya.

Presiden MCA, Liow Tiong Lai sendiri membayangkan nama Lee Chong Wei ada dalam pertimbangannya, sambil menyatakan pihaknya bersikap terbuka dengan kriteria boleh menang atau winnable adalah merupakan perkiraan yang menjadi keutamaan.

Media pro UMNO seperti Utusan dan TV3 juga mulai menjaja dan seolah-olah cuba meyakinkan MCA, BN dan juga Perdana Menteri agar tidak ragu-ragu dalam membuat keputusan memilih Lee Chong Wei atas keyakinan bahawa populariti di kalangan pelbagai kaum mampu memberi kelebihan untuk menandangi serta menewaskan Anwar Ibrahim di Kajang.

Lee Chong Wei pula sehingga ini seakan terkejut apabila namanya turut dikaitkan sebagai calon dan memaklumkan beliau tidak mengetahui atau diberitahu apa-apa mengenai perkara itu.

Semua yang begitu ghairah mahu memilih beliau sebagai calon barangkali tidak menyedari bahawa Lee Chong Wei belum pun bersara sebagai pemain badminton negara dan kiranya bersetuju untuk menjadi calon, beliau tentunya terpaksa menggantung raketnya lebih awal daripada yang dirancangnya sebelum ini. Ini bermakna, negara akan kehilangan pemain badminton kerana tidak mungkin beliau mampu memikul tugas sebagai pemain badminton lagi jika sudah memutuskan untuk terjun ke dunia politik.

Jika itu berlaku, sementara amat sukar untuk menang di Kajang, negara juga akan kehilangan seorang pemain badminton lebih awal daripada yang sepatutnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu mereka yang hanya memikirkan kepentingan sendiri semata-mata.

Selain bermain di pentas politik tidaklah semudah memenangi pertandingin di gelanggang badminton, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan Anwar Ibrahim yang bakal menjadi MB Selangor dan juga calon Perdana Menteri, dengan bertandingnya Chong Wei dalam pilihanraya juga akan menyebabkan beliau kehilangan sebahagian penyokongnya serta mendedahkannya kepada pelbagai kata nista dan serangan pihak yang menentangnya.

Ini akhirnya akan menjadikan masa depan dan kegemilangan yang dicapainya selama ini akan tercemar dengan teruknya.

Sesungguhnya dengan sedia menjadi calon juga adalah menyundang risiko besar kepada Chong Wei sendiri, tambahan pula bertanding di DUN Kajang dan berlawan dengan Anwar Ibrahim, meskipun dilimpahi populariti dan mempunyai jutaan peminat, hakikatnya peluang beliau untuk menang hanyalah 0.001 peratus sahaja.

Ia bukan bermakna pengundi Kajang tidak mengenang jasa dan pengorbanannya tetapi adalah kerana beliau bertanding mewakili MCA yang sudah ditolak oleh majoriti pengundi Cina sendiri sejak dua pilihanraya umum lalu.

Bahkan dengan senario politik yang sekarang, bukan saja Chong Wei, bahkan jika Perdana Menteri, Najib Razak pun yang bertanding, beliau pasti akan kecundang juga. Memilih dan meletakkan Chong Wei tidak lebih umpama menghantarnya ke "rumah penyembelihan" atau " tali gantung" politik saja layaknya.

Lantaran itu, ketegasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tidak sekali-kali akan membenarkan Chong Wei dipilih sebagai calon di DUN Kajang dengan alasan pemain badminton itu adalah harta negara seharusnya dikalungkan pujian. KJ nampaknya sangat sayangkan masa depan dan reputasi gemilang Chong Wei serta mahukan ia kekal dalam sanjungan rakyat sampai bila-bila. Memilih Chong Wei sebagai calon sebenarnya adalah membunuh reputasi dan masa depannya.

Sekiranya benar ingin menghargai jasa dan sumbangan Chong Wei kepada negara selama ini, sebaik saja bersara nanti, beliau sepatutnya dilantik sebagai Senator supaya beliau sekurang-kurangnya boleh bersuara dan memberi idea di peringkat tertinggi mengenai kemajuan sukan negara. Jika tidak cukup dengan itu, selepas dilantik sebagai Senator, Chong Wei juga boleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sebagai orang nombor dua kepada KJ.

Bayangkan betapa bersinarnya Kementerian Belia dan Sukan apabila kementerian itu diterajui oleh KJ dan dibantu oleh Chong Wei.

Itulah sebenarnya cara yang betul untuk menghargai dan membalas jasa Chong Wei selama bertahun-tahun beliau mencurahkan keringatnya mengharumkan nama negara melalui dunia badminton dan bukannya dengan menyediakan "tali gantung" di Kajang sebagai anugerah kepada persaraannya.

 (Shahbudin Husin -http://shahbudindotcom.blogspot.com/ )


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers