|
PENYOKONG HAMPA - Penyokong Johor berkumpul dihadapan bilik
persalinan tanda protes dan hampa apabila pemain Johor gagal mempamerkan
aksi terbaik menentang Sime Darby, semalam. |
PERLAWANAN antara Johor bertemu Sime Darby di Stadium
Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), kelmarin kecoh apabila penyokong
mendakwa seakan diatur bookie.
Ramalan skuad Merah Biru akan seri telah bertebaran sejak seminggu lalu
dan ia seakan benar apabila kedua pasukan mencatat keputusan 2-2
selepas tamat perlawanan.
Pengerusi Boys of Straits (BOS), Faiz Jalal berkata, ada dalam kalangan
ahlinya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) seminggu lalu mendakwa
perlawanan tersebut akan mencatatkan keputusan seri sama ada 1-1, 2-2
atau 3-3.
“Kita memang tidak mahu percaya perkara ini, kita masih pergi ke
stadium memberi sokongan meskipun dua hari sebelum perlawanan semasa
sesi latihan terdapat beberapa pemain beraksi sambil lewa dan ia juga
berlaku ketika aksi kelmarin.
“Aksi menentang anak didik Ismail Zakaria penting untuk memastikan
peluang ke suku akhir namun kita lihat beberapa pemain sebaliknya.”
katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jelasnya, atas rasa ketidakpuasan hati, sejurus tamat perlawanan
penyokong yang hadir cuba mendapatkan respons dari pasukan Johor yang
diakui sedikit kecoh kira-kira 40 minit.
“Kita diberi peluang bertemu dengan jurulatih dan pemain, kami tidak
boleh memaksa mereka mengaku, cuma meminta harapan agar tidak berlaku
campur tangan bookie.
“Sangat kecewa kerana selama ini kami berdiri teguh memberi sokongan
tanpa batasan dan prejudis. Tapi, unsur bookie yang berlaku di kalangan
pemain sesuatu yang amat mengecewakan. Kami akan terus menyokong
pasukan Johor walau apa berlaku,” katanya.
Nafi dakwaan
Sementara itu, Pengurus Johor, Onn Jabbar menyangkal dakwaan berlaku bookie dalam perlawanan tersebut.
Tegasnya, keputusan perlawanan seperti dakwaan telah dirancang hanya satu kebetulan.
“Perkara ini sukar untuk kita buktikan, namun saya percaya pemain Johor
tidak terlibat. Jelas boleh dilihat dari pencapaian pasukan awal hingga
saat kritikal di mana prestasi mereka tidak pernah mengecewakan.
“Tiga pemain Johor beraksi dalam keadaan cedera, namun atas dasar
semangat kesungguhan luar biasa kerana rata-rata pemain berasal dari
Johor, mereka memberi persembahan terbaik meskipun berada dalam keadaan
hilang semangat dengan keadaan,” katanya.
Jelasnya, persatuan dengan kelab penyokong mempunyai hubungan yang baik
namun, sedikit terkilan kerana pemain tidak diberikan sokongan padu 90
minit perlawanan seperti sebelum ini.
Meskipun begitu, pihaknya akan melakukan siasatan dan tidak akan
berkompromi jika wujudnya gejala suapan seperti seruan Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.//(Sinarharian)