PENYOKONG HAMPA - Penyokong Johor berkumpul dihadapan bilik persalinan tanda protes dan hampa apabila pemain Johor gagal mempamerkan aksi terbaik menentang Sime Darby, semalam. |
PERLAWANAN antara Johor bertemu Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), kelmarin kecoh apabila penyokong mendakwa seakan diatur bookie.
Ramalan skuad Merah Biru akan seri telah bertebaran sejak seminggu lalu dan ia seakan benar apabila kedua pasukan mencatat keputusan 2-2 selepas tamat perlawanan.
Pengerusi Boys of Straits (BOS), Faiz Jalal berkata, ada dalam kalangan ahlinya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) seminggu lalu mendakwa perlawanan tersebut akan mencatatkan keputusan seri sama ada 1-1, 2-2 atau 3-3.
“Kita memang tidak mahu percaya perkara ini, kita masih pergi ke stadium memberi sokongan meskipun dua hari sebelum perlawanan semasa sesi latihan terdapat beberapa pemain beraksi sambil lewa dan ia juga berlaku ketika aksi kelmarin.
“Aksi menentang anak didik Ismail Zakaria penting untuk memastikan peluang ke suku akhir namun kita lihat beberapa pemain sebaliknya.” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jelasnya, atas rasa ketidakpuasan hati, sejurus tamat perlawanan penyokong yang hadir cuba mendapatkan respons dari pasukan Johor yang diakui sedikit kecoh kira-kira 40 minit.
“Kita diberi peluang bertemu dengan jurulatih dan pemain, kami tidak boleh memaksa mereka mengaku, cuma meminta harapan agar tidak berlaku campur tangan bookie.
“Sangat kecewa kerana selama ini kami berdiri teguh memberi sokongan tanpa batasan dan prejudis. Tapi, unsur bookie yang berlaku di kalangan pemain sesuatu yang amat mengecewakan. Kami akan terus menyokong pasukan Johor walau apa berlaku,” katanya.
Nafi dakwaan
Sementara itu, Pengurus Johor, Onn Jabbar menyangkal dakwaan berlaku bookie dalam perlawanan tersebut.
Tegasnya, keputusan perlawanan seperti dakwaan telah dirancang hanya satu kebetulan.
“Perkara ini sukar untuk kita buktikan, namun saya percaya pemain Johor tidak terlibat. Jelas boleh dilihat dari pencapaian pasukan awal hingga saat kritikal di mana prestasi mereka tidak pernah mengecewakan.
“Tiga pemain Johor beraksi dalam keadaan cedera, namun atas dasar semangat kesungguhan luar biasa kerana rata-rata pemain berasal dari Johor, mereka memberi persembahan terbaik meskipun berada dalam keadaan hilang semangat dengan keadaan,” katanya.
Jelasnya, persatuan dengan kelab penyokong mempunyai hubungan yang baik namun, sedikit terkilan kerana pemain tidak diberikan sokongan padu 90 minit perlawanan seperti sebelum ini.
Meskipun begitu, pihaknya akan melakukan siasatan dan tidak akan berkompromi jika wujudnya gejala suapan seperti seruan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.//(Sinarharian)