PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Friday 14 February 2014

Impian Anwar jika menang PRK

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam sesi Dialog Anak Muda di Sunway Resort Hotel, hari ini.
KAJANG - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa masuk veteran Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam pentadbiran Selangor sekiranya beliau berjaya memenangi PRK Dun Kajang bulan depan.

Menurutnya, Muhammad mempunyai kepakaran dalam program desa dan luar bandar selain akan dapat membantu dalam pentadbiran Selangor.

“Saya akan panggil beliau kerana kepakarannya dalam program desa dan luar bandar.

“Saya yakin, beliau akan dapat membantu dan memanfaatkan kepakarannya dalam pentadbiran kerana program Kajang dan Selangor ini adalah program untuk rakyat,” katanya dalam ucapan di Kompleks Penghulu Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, semalam.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib ketika zamannya memegang jawatan Menteri Besar Selangor pernah dicalit kontroversi apabila Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia.

Berikutan keputusan itu, beliau melepaskan jawatannya pada 1998 setelah memegang jawatan tersebut sejak 1986.

Menjelang PRU13, beliau ambil keputusan menyertai Pas dan turut giat berceramah dalam kempen PR.//(sinarharian)

Thursday 13 February 2014

Polis serbu restoran saji daging manusia

Abuja: Polis menahan 11 orang termasuk pemilik sebuah restoran dalam satu serbuan terhadap premis makanan yang menyajikan hidangan daging manusia.

Dalam serbuan itu, polis menemui dua kepala manusia yang masih segar di restoran yang terletak di Anambra.

Jasad dan kepala ditemui berbungkus seperti daging haiwan biasa dan polis menyatakan hidangan kepala manusia panggang juga terdapat dalam menu restoran terbabit.

Dua senapang jenis AK-47, senjata lain, ratusan peluru dan telefon bimbit turut ditemui.

“Kami selalu melihat orang yang mencurigakan keluar dan masuk restoran ini,” kata seorang penduduk tempatan.

Seorang paderi yang terkejut apabila mengetahui dia dihidangkan dengan sajian daging manusia membuat laporan polis.

“Saya makan di restoran itu dan mendapati bilnya terlalu tinggi. Kemudian pelayan kedai memberitahu harga itu adalah untuk sajian daging manusia yang saya makan. Saya sangat terkejut,” katanya. -Agensi

Wednesday 12 February 2014

Misteri terowong bakal terungkai

Kelana Jaya: Misteri insiden pergaduhan dalam terowong antara tiga kes membabitkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang akan dibawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Jawatankuasa Tatatertib dalam masa terdekat ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa surat pertuduhan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan dikeluarkan namun beliau enggan mendedahkan sama ada pertuduhan itu membabitkan pegawai atasan pasukan dari selatan tanah air itu.

“Kita hampir nak menyelesaikan (kes) ini di peringkat akhir, saya minta semua pihak bersabar. Kita akan mengeluarkan surat pertuduhan dalam masa terdekat ini. Kategori pertuduhan ada banyak jadi bila sampai masanya saya akan umumkan.

“Selain daripada insiden (terowong) di Stadium Larkin, kami juga akan membuat pertuduhan perlawanan antara Johor DT dengan Perak yang mana insiden kereta pengurus Perak dipecahkan.
Foto

“Kami juga akan membawa kes kejadian (pergaduhan penyokong) di parkir (Stadium Darul Makmur) selepas perlawanan antara Pahang dengan Johor DT,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.//(mymetro)
 

Tuesday 11 February 2014

Misteri pokok petai 'menangis'

PASIR MAS - Sebatang pokok petai yang didakwa mengeluarkan bunyi seakan-akan tangisan kanak-kanak menggemparkan lebih 300 penduduk di Kampung Binjai, Bunut Susu di sini.

Pokok setinggi 10 meter itu yang terletak di laluan utama kampung berkenaan turut didakwa mengeluarkan air seolah-olah air mata.

Penduduk Kampung, Abdul Razak Manaf, 57, berkata, kejadian itu mula berlaku pada malam Jumaat lalu dan berlarutan sehingga semalam.

“Saya menyedari kejadian pelik ini pada jam 3 pagi dan mulanya menyangka ia adalah tangisan anak kecil jiran sebelah rumah.

“Selepas bertanyakan perkara tersebut kepada jiran, saya diberitahu tiada tangisan yang berlaku pada malam itu,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pun tangisan itu berulang kembali pada malam berikutnya.

Abdul Razak berkata, disebabkan perasaan ingin tahu yang menebal dia mengambil keputusan untuk mengesan bunyi tangisan itu.

“Saya terkejut apabila mendapati ia datang dari sebatang pokok petai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

“Kejadian pelik itu turut didengari oleh jiran yang tinggal berhampiran dengan pokok berkenaan dan selepas itu perkara tersebut menjadi bualan penduduk kampung sehingga tempat ini menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja ada beberapa penduduk telah mengambil air yang didakwa air mata pokok petai berkenaan untuk tujuan perubatan.

Katanya, air tersebut digunakan untuk merawat penyakit antaranya strok, kulit dan sebagainya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ismail Loman, 58, berkata, tangisan tersebut dapat didengari bermula jam 12 tengah malam dan ke atas.

“Kejadian itu cukup menghairankan penduduk dan ia merupakan kejadian aneh pertama di kampung berkenaan sejak menetap di kawasan itu 13 tahun lalu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan kejadian mendapati terdapat kesan air yang didakwa air dari pokok berkenaan di atas jalan.

Misteri kejadian itu telah menarik puluhan orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan sendiri fenomena pelik tersebut secara lebih dekat.

Sementara itu Pengamal Perubatan Islam, Datuk Shamsuri Shafie berkata, kejadian tersebut berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Beliau yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Tobibi berkata, berdasarkan kejadian yang sama pernah berlaku di sini beliau yakin kawasan tersebut pernah menjadi tempat pemujaan dan membuang barang-barang berkaitan makhluk halus.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan kejadian tersebut.

“Sepertimana dakwaan yang mengatakan pokok petai itu mengeluarkan air mata, saya berharap orang ramai tidak terpengaruh sehingga terlalu taksub dengan air tersebut.

“Ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku di Pulau Pinang, dan beberapa tempat di negeri sebelah utara.

Jika dipertimbangkan faktor tiupan angin, pokok-pokok tinggi seperti pokok petai ini biasanya akan mengeluarkan bunyi seakan-akan suara tangisan jika ditiup oleh angin.

Oleh itu, kemungkinan pokok petai berkenaan yang mengeluarkan bunyian itu ada kaitan dengan faktor alam semula jadi.

Manakala menurut sumber Jabatan Pertanian Pulau Pinang, 'air mata' yang keluar dari pokok dipercayai berlaku kerana serangga riang-riang jantan akan kencing setiap lima hingga enam saat ketika dalam proses mengawan terutama pada musim kemarau.

“Kemungkinan besar air yang turun seperti hujan renyai-renyai dari pokok petai ialah air kencing riang-riang terutama jika ia berkumpul dalam jumlah yang banyak kerana ia serangga bermusim,” katanya.

Namun begitu ada segelintir penduduk kampung kawasan kejadian tidak percaya pokok petai menangis disebabkan serangga riang-riang kerana beranggapan ‘air mata’ itu mempunyai khasiat tertentu.//(sinarharian)


Bersekedudukan: Zizan, Emma beri penjelasan

BAHARU sahaja reda dengan isu bercumbuan di dalam kapal terbang, kini nama Zizan Razak dan Emma Maembong kembali menjadi perhatian selepas dikatakan bersekedudukan sejak enam bulan lalu.

Mengakui terkejut dengan tindakan jirannya yang melaporkan perkara itu kepada pihak media, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, bagaimanapun tidak menafikan Emma ada beberapa kali mengunjungi rumahnya.

"Memang Emma ada datang, tapi itu pun ketika ibu dan ayah saya ada di rumah. Dia datang pun untuk bertemu ibu saya. Lagipun mustahillah kami bersekedudukan kerana saya bukan tinggal seorang di rumah, sebaliknya abang dan pengurus peribadi saya turut tinggal bersama.

"Saya juga tidak ada sebarang masalah dengan jiran saya. Saya mesra dengan jiran-jiran saya dan saya akui agak terkejut bila mendapat tahu ada jiran saya yang melaporkan perkara ini kepada media," katanya kepada media ketika ditemui sebaik tamat Anugerah MeleTOP Era, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tindakan individu yang mendakwa sebagai jirannya itu, Zizan berkata, individu tersebut sepatutnya berjumpa dengannya sendiri untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan tidak berasas itu kerana ia memberikan impak negatif kepada kerjaya seninya.

"Saya sedar, saya dikenali ramai dan kenapa saya mesti buat perkara tidak elok (bersekedudukan)?

"Daripada surat tersebut, saya nampak caranya sangat Islamik. Kalau betul saya ada melakukan sebarang kesalahan, lebih baik individu tersebut datang berjumpa saya untuk dapatkan penjelasan daripada dia menyebarkan fitnah.

"Kalau ya pun nak suruh kami cepat-cepat (berkahwin), bukan cara macam ini. Tapi doakanlah yang terbaik untuk kami," ujarnya sambil tersenyum.

Sementara itu, dalam temu bual berasingan, Emma berkata dia ada membaca artikel tersebut dan mengakui agak sedih kerana difitnah sedemikian.

"Saya akui ada ke rumah dia, itu pun kalau ibu dan bapanya ada di rumah. Selain itu, saya akan ke rumahnya sekiranya saya perlu bergerak sekali dengan dia ke sesuatu acara. Kalau tiada apa-apa, saya tak akan ke rumah dia.

"Bagaimanapun saya tak salahkan dan tak marah pada individu yang menyebarkan cerita terbabit. Mungkin cerita ini timbul kerana orang asyik bercakap mengenai hubungan kami.

Mungkin juga individu terbabit hanya nampak saya seorang yang masuk, padahal dalam rumah dia ramai," katanya.

Emma berkata, walaupun dihimpit dengan kontroversi, dia bersyukur kerana keluarganya sentiasa ada di sisi, terutama bapanya, Ismail Embong.

"Kalau saya tidak ada apa-apa aktiviti hiburan, saya akan duduk di rumah sahaja. Jadi ayah saya bila di baca gosip sebegini, dia akan ketawa kerana dia tahu saya selalu ada di rumah," katanya.


Akui rapat

Dalam pada itu, ditebak mengenai status sebenar hubungan mereka, Zizan dan Emma, mengakui hubungan mereka rapat.

Zizan berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius dalam masa terdekat ini.

"Saya belum terfikir untuk bertunang. Lagipun jadual kami padat. Tapi saya pernah tanya dia, “awak rasa nak kahwin tak?”, kata Zizan sambil berseloroh.

Bagi Emma pula, dia enggan bercakap lebih-lebih mengenai hubungannya dengan Zizan kerana tidak mahu mendapat malu sekiranya hubungan mereka tidak berakhir dengan baik.

“Apa yang boleh saya katakan, Zizan adalah kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya bukan nak rahsia atau nak sorok apa-apa tentang status kami. Tapi saya tak mahu kecoh-kecoh.

"Nanti kalau tak jadi, malu pula. Jadi buat masa ini kami berkawan saja," jelasnya.


Keluar Wire Fame?

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai isu yang mendakwa dia bakal meninggalkan syarikat pengurusannya yang juga syarikat milik Zizan iaitu Wire Fame Entertainment, Emma berkata, ia hanya ura-ura sahaja.

"Buat masa ini saya masih lagi di bawah pengurusan Wire Fame. Tapi saya pernah menyuarakan hasrat untuk bergerak sendiri dan mereka tidak menghalang saya berbuat demikian.

"Tapi itu bukan bermakna saya sah keluar. Apatah lagi, mereka yang ada di dalam Wire Fame sudah saya anggap seperti keluarga saya sendiri," jelasnya yang bakal muncul menerusi drama bersiri Yes Bos, di TV3 mulai 15 Februari ini.//(sinarharian)
 

Monday 10 February 2014

Dicabul selepas berkenalan 2 hari

TUMPAT - Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menempuh detik hitam apabila dicabul kekasihnya yang baru dikenali dua hari.

Pelajar terbabit yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah ini dikatakan keluar bersama teman lelakinya itu yang dikenali sebagai Naim, 17.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu, Naim, telah membawa pelajar tersebut pulang ke rumahnya di Kampung Berangan.

Semasa berada di dalam rumah tersebut, pelajar terbabit memberitahu dia melakukan hubungan seks dengan kekasihnya itu.

Kejadian hitam yang menimpa pelajar terbabit terbongkar apabila dia memberitahu kepada kedua ibu bapanya dan satu laporan polis dibuat.

Pelajar terbabit dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan,” katanya.//(sinarharian)

Sunday 9 February 2014

TMJ kutuk penyokong cetus kekecohan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengutuk keras, tindakan penyokongnya atau negeri-negeri lain yang membuat kekacauan dan bergaduh sesama sendiri.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, para penyokong yang terlibat dalam membuat kekacauan akan berdepan tindakan tegas.

Menurutnya, tindakan persengketaan dan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan seperti itu bukan sahaja boleh memecah-belah bangsa Melayu, malah boleh dipandang rendah oleh bangsa lain.

“Segala persengketaan, provokasi dan hina-menghina ini tiada manfaatnya dan sekiranya diikutkan perasaan hasad dengki, tiada kesudahannya.

"Jangan terlalu mudah bangsa Melayu berpecah-belah, sehingga diperlekehkan oleh bangsa lain.

“Kepada para penyokong Johor dan negeri-negeri lain yang menjaga disiplin dan tingkah laku, syabas saya ucapkan kepada anda semua.

“Tetapi kepada penyokong Johor dan negeri-negeri lain yang membuat kekacauan, saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers, di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, dalam semua penyokong memberi sokongan kepada pasukan masing-masing, sebaiknya mereka mengelak daripada terlibat dalam insiden pergaduhan sesama sendiri.

“Apa yang lebih penting, adalah para penyokong hendaklah memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dan elakkan daripada bergaduh sesama sendiri, sesama umat Islam,” katanya.

Tunku Ismail turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan Pahang dan mengharapkan JDT boleh berusaha lebih gigih untuk saingan perlawanan seterusnya.

“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Pahang. Kepada pasukan Johor, berusaha lebih gigih lagi pada masa akan datang,” katanya.//(sinarharian)
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers