Oleh Haris Zuan
PERTAMA kali saya mengenali beliau hanya beberapa bulan sebelum PRU-13. Parti politik adalah ranah baru buat saya yang selama ini sangat selesa bergerak melalui NGO dan komuniti budaya. Pengalaman bersama masyarakat sivil membuatkan saya menjadi sangat skeptikal kepada mana-mana ahli politik, baik daripada kalangan parti pemerintah, mahupun pembangkang – pada akhirnya ahli politik ini hanya mahukan kuasa; percaya saya.
Oleh yang demikian tidak ramai ahli politik yang saya hormati apatah lagi kagumi. Namun berbeza dengan seorang YB yang sering memakai kasut but keselamatan (safety boots), seluar jeans dan kemeja ringkas. Jika sekali pandang pastinya kita akan menyangka, pak cik setengah umur ini menjual sayur di pasar tani Tanjung Bungah.
Bukan itu sahaja, YB ini juga sering berbasikal ke setiap ceruk kawasannya untuk melihat masalah masyarakat. Tindakan beliau berbasikal itu bukan hanya gimik politik untuk memancing populariti murahan kerana beliau lakukannya bukan sekali dua dengan kehadiran wartawan tetapi sehingga tahap beliau digelar YB basikal! Malah bukan suatu yang janggal untuk beliau hadir ke mana-mana majlis atau jemputan dengan basikalnya. Bagi menunjukkan komitmennya berbasikal, beliau melekatkan plat ADUN yang biasanya dilekat pada plat kereta YB pada basikal beliau.
Itulah ADUN Tanjung Bungah, YB Teh Yee Cheu. Jangan silap, bukan kerana safety boots atau basikal itu yang menerbitkan rasa kagum saya kepada beliau – tetapi kesungguhan beliau bekerja membantu masyarakat dan memperjuangkan apa yang beliau percaya. Beliau tidak akan segan untuk mengotorkan tangan ikut sama bergotong-royong menanam bakau umpamanya (dan bukan hanya dibuat ketika merasmikan program, tetapi sehingga tamat!). Beliau juga dikenali kerana usahanya memperjuangkan nasib peneroka bandar dan penempatan semula kampung nelayan. Bagi berlaku jujur, saya rasa beliau bukanlah seorang yang terlalu sophisticated pemikirannya. Beliau hanya lakukan perkara yang beliau rasakan baik dengan bersungguh-sungguh – termasuk memperjuangkan hak asasi manusia.
Namun bukan berkenaan YB ini sangat yang ingin saya ceritakan. Saya ingin bercakap berkenaan Hazreen Shaik Daud yang tiba-tiba jadi bualan ramai orang. Ya, apa kaitan YB Teh ini dengan Hazreen? Baru-baru ini, YB Teh telah melantik Hazreen sebagai Setiausaha Politik beliau dan jelas itu bukan isunya, isunya Hazreen adalah seorang transgender atau dalam istilah kasarnya, pondan. Pada awalnya, saya tidak berminat untuk ikut pusing dengan perkara ini, namun apabila membaca komen yang ditinggalkan di portal berita internet dan juga tulisan dalam blog (ya, masih ada yang menulis dan membaca di blog) saya jadi resah dan dalam masa yang sama simpati bercampur jengkel, entah perasaan mana yang lebih kuat, tidak dapat saya tentukan dan tidak pula berminat untuk saya cuba tentukan.
Komen yang saya maksudkan adalah yang mendakwa tindakan Teh itu sebagai usaha halus untuk mengiktiraf Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini. Mereka menuduh Teh mempromosikan LGBT dan ingin menghalalnya daripada segi perundangan. Kenyataan ini benar-benar tidak punya asas jika menggunakan laras akal yang sihat dan amat bersandar kepada emosi semata-mata.
Kepada mereka yang berfikiran sebegini saya ingin bertanya, apakah yang seharusnya kita lakukan kepada golongan transgender ini? Hukum mereka? Jika hukum, apakah hukuman yang terbaik buat mereka dan bagaimanakah hukuman ini dapat membaiki kehidupan kita dalam bermasyarakat?
Ya, saya akui dan faham daripada mana datangnya ketidakselesaan (atau yang sebenarnya marah) pada golongan ini. Mereka ini disifatkan sebagai deviant atau menyimpang daripada segi moral masyarakat. Malangnya, bukan sahaja kita gagal mendekati dan memahami situasi mereka, kita lekas-lekas mahu menghukum, kerana apa? Kerana menghukum itu seringkali lebih mudah – tidak perlu banyak kerja. Maka, sebelum tulisan ini ikut dihukum sama, marilah kita jernihkan fikiran untuk bersikap lebih adil, biar pun hanya sebentar.
Pertama sekali, mengapa ada stigma terhadap golongan ini? Pastinya ramai yang mengaitkan mereka ini dengan masalah sosial termasuk pelacuran dan sebagainya. Namun, apakah pilihan mereka jika masyarakat tidak memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang halal yang selayaknya dengan kemampuan serta kelulusan mereka? Mahu bekerja secara terhormat dihalang, namun mereka tetap perlu hidup. Malah, tidak salah saya katakan bahawa sebahagian daripada mereka ini yang terjebak sebagai pekerja seks adalah kerana sikap kita sendiri yang akhirnya membuatkan mereka tidak punya banyak pilihan.
Kedua, apakah dengan menafikan hak mereka untuk mendapatkan pekerjaan sebagaimana orang lain atau menyelesaikan masalah ini? Pada hemat saya, inilah sikap sebahagian masyarakat kita yang sangat merugikan – apabila kita tidak melihat mereka ertinya mereka tidak wujud. Umpama kita melihat gajah di depan mata kemudian percaya gajah itu telah lenyap apabila kita menutup mata kita. Apakah jika kita menerima hakikat bahawa mereka wujud, akan berbondong-bondonglah anak Melayu (ya, kalau anak Cina dan anak India itu bukan masalah kita) bertukar menjadi pondan dan bapuk? Betapa dangkalnya fikiran begini. Sedangkan, dalam kebanyakan tradisi budaya dan agama, golongan ini punya tempatnya.
Malah, dalam tradisi Islam sekalipun, kedudukan mereka dalam ritual dan amalan lainya sangat jelas – contohnya kedudukan mereka dalam saf solat berjemaah, namun adakah ini membawa kepada kesimpulan bahawa Islam mengiktiraf LGBT – sudah tentu itu satu lagi perbincangan yang terpisah.
Lalu bagaimanakah seharusnya kita meletakkan sikap dalam hal ini? Pada pandangan saya, kita boleh sahaja menerima mereka dalam masyarakat meskipun tanpa perlu bersetuju dengan orientasi seksual mereka. Bahkan, pada hemat saya, ini boleh menjadi satu pendekatan ‘dakwah’ yang jauh lebih menguntungkan berbanding menyisih dan mengeji golongan ini. Mengapa saya katakan demikian?
Golongan ini memerlukan sokongan moral daripada kalangan masyarakat. ‘Kecelaruan identiti’ yang mereka depani bukanlah satu persoalan yang mudah dan pasti menumbuhkan pergolakan emosi yang bukan kecil. Maka jika masyarakat yang mendakwa diri mereka ini normal dan rasional tidak membantu golongan ini, sudah pasti mereka akan menuju kepada kumpulan mereka sendiri. Tambah malang jika kemudiannya mereka berakhir di lorong-lorong belakang.
Tambahan pula dengan memastikan mereka ini kekal diterima dalam masyarakat, pastinya ini merupakan kesempatan untuk kita mendekati, memahami dan seterusnya ‘membetulkan’ fikrah mereka – bukankah jalan dakwah itu mesti menerusi hikmah? Sikap menghukum kita tidak akan menyelesaikan apa-apa malah sebaliknya hanya memburukkan lagi keadaan. Oleh yang demikian, saya mengkagumi tindakan YB Teh dan semoga masyarakat kita akan semakin berlapang dada untuk merayakan perbezaan dan menghormati kepelbagaian. – Roketkini.com