Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini diberitahu bahawa bekas penuntut
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhdalena Ahmad berkongsi
delusi dengan lelaki yang mendakwa dirinya 'Imam Mahadi'.
Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hosital Bahagia, Ulu
Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh, 58, berkata Muhdalena menghidap penyakit
mental kemurungan psikotik dan pada hari kejadian emosinya tidak stabil.
"Pesakit (Muhdalena) berkawan dengan Khalil Afendi Abd Hamid melalui
Internet dan terpengaruh dengan pemikiran Khalil Afendi," katanya ketika
memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes
Muhdalena yang menghadapi empat pertuduhan berhubung kejadian amuk di
perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas.
Dr Rabaiah berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada
Muhdalena, suaminya dan kenyataan beramaran Muhdalena, pada pandangannya
Khalil Afendi merupakan orang utama yang menghidap sejenis penyakit
mental yang serius, kemungkinan schizophrenia atau manic.
"Pesakit mencari ketenangan jiwa. Dia (Muhdalena) terpengaruh dengan
ideologi Khalil Afendi dan pada hari kejadian, apa yang dilakukannya
(Muhdalena) disebabkan dia taksub dengan kepercayaan yang dibawa Khalil
Afendi," katanya.
Dr Rabaiah berkata pada masa kejadian, Muhdalena dalam keadaan tidak
waras dan tidak sedar akan akibat perbuatannya disebabkan gejala
psikosis.
"Apa yang dibuat (oleh Muhdalena) adalah perbuatan disebabkan pemikiran
yang psikotik. Elemen psikotik adalah berkongsi delusi dengan Khalil
Afendi iaitu delusi yang dia melakukannya kerana perlu membantu 'Imam
Mahadi' untuk menyelamatkan dunia," katanya ketika disoal peguam M.
Visvanathan yang mewakili Muhdalena.
Katanya Muhdalena juga ada gangguan suara halus yang bercakap dengannya.
Dr Rabaiah berkata Muhdalena dimasukkan ke Hospital Bahagia pada 12 Okt
2012, berada di sana selama tiga minggu dan keluar hospital pada 5 Nov
2012.
Menurutnya sepanjang Muhdalena berada di hospital, beliau serta dua
pegawai perubatan menemu bual, memeriksa dan membuat pemerhatian yang
rapi terhadapnya.
Dr Rabaiah berkata beliau juga ada memberikan rawatan kepada Muhdalena iaitu memberi ubat antidepresan serta kaunseling.
"Hasil daripada temu bual, pemeriksaan dan pemerhatian yang rapi,
laporan perubatan bertarikh 5 Nov 2012 dibuat dan saya membuat
kesimpulan Muhdalena menghidap sejenis penyakit mental iaitu kemurungan
psikotik dan semasa kejadian dia tidak waras dan tidak sedar akibat
perbuatannya," katanya.
Dr Rabaiah tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nadia
Mohd Izhar bahawa Muhdalena hanya melakukan malingering
(kepura-puraaan).
Katanya, Muhdalena mengalami gejala penyakit kemurungan iaitu perasaan
susah hati, masalah tidur, tiada masa depan untuknya, kurang selera
makan dan kerap mengenangkan perkara negatif dalam kehidupan.
Pada 10 Januari lepas, Muhdalena, 29, diperintah oleh Mahkamah Sesyen
membela diri terhadap empat pertuduhan iaitu didakwa melakukan ugutan
jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad serta memiliki
sebilah parang.
Dia juga didakwa mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata
dan gagal mematuhi nasihat menteri supaya mendapatkan pas atau permit
sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan di
Kompleks B, JPM pukul 2.30 petang, 9 Julai, 2012.
Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar Kompleks
JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan
Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.
Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun
Keseksaan, Muhdalena berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau
denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan
Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara
maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda
RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan
Larangan 1959.
Hakim Mohamed Kamil Nizam menetapkan 7 Mac untuk sambung perbicaraan.
-Bernama