PARIT BUNTAR - Tindak tanduk mencurigakan 'lembaga hitam' yang
tergesa-gesa keluar dari pekarangan sebuah rumah di Taman Sempadan,
dekat sini, kelmarin membongkar beberapa kes kecurian pakain berjenama
dan aksesori kenderaan sebelum ini.
Semuanya terbongkar setelah tertangkapnya lembaga hitam yang juga
seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dikesan sedang memanjat pagar
untuk masuk ke dalam rumah mangsa lebih kurang jam 5 pagi.
Ahli Pasukan Keselamatan Daerah Kerian, Lee Sin Chew berkata, pada hari
kejadian, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk taman
itu lebih kurang jam 5.15 pagi yang melaporkan telah menyaksikan
perbuatan seorang lelaki tidak dikenali sedang memanjat pagar rumah
jirannya.
Menurutnya, susulan laporan itu, pihaknya segera menghubungi polis,
manakala beberapa anggota lain bergegas ke rumah mangsa untuk mengesan
suspek.
“Setibanya kami di sana, suspek didapati sedang mengutip beberapa
pakaian berjenama milik keluarga mangsa yang disidai di ampaian setelah
mengumpil keluar beberapa aksesori dalaman kereta.
“Suspek cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran kami,
bagaimanapun gagal melepaskan diri berikutan jumlah kami dan penduduk
setempat yang turut sama begitu ramai,” katanya sewaktu ditemui media di
sini semalam.
Sin Chew berkata, mangsa cuba bertindak agresif sewaktu dicekup orang
ramai, bagaimanapun berjaya ditenangkan setelah polis hadir ke tempat
kejadian.
Menurutnya, kejadian penangkapan suspek dijangka membantu menyelesaikan
sebilangan besar kes kecurian pakaian berjenama dan aksesori dalaman
kenderaan yang sering berlaku melibatkan kawasan sempadan Parit Buntar
dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Kes kecurian melibatkan taman perumahan di daerah ini dan daerah bersempadan semakin kerap berlaku sejak awal tahun 2014.
“Kegagalan mewujudkan kawasan rukun tetangga (KRT) dan Skim Rondaan
Sukarela (SRS) dilihat antara punca kes sebegini semakin meningkat
berikutan penduduk tidak boleh terlalu bergantung harap kepada polis
semata-mata.
“Saya menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan memantau rumah sendiri terutama pada waktu awal pagi,” katanya.//(sinarharian)