CUKUP bertuah anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini. Dek kesetiaannya
bekerja di sebuah syarikat hampir 10 tahun lamanya, dia kini sudah
berjaya menjawat jawatan sebagai Pegawai Kualiti di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Inilah yang dikatakan rezeki. Selagi mana kita berusaha dengan gigih, ALLAH SWT akan janjikan ganjaran.
Ketika ditemui Citra di lokasi kerjanya di KLIA, Zulfahimi Roslan, 28
berkata, dia sebenarnya tidak menyangka dengan apa yang berlaku dalam
kerjayanya kini, namun dia begitu gembira sekarang.
"Saya dulu hanyalah seorang mat despatch di Malaysia Airports Sepang
Sdn Bhd (Malaysia Airports). Usia pun muda lagi iaitu sekitar 18 tahun.
"Sambil menghantar surat di sekitar KLIA, saya luangkan masa sekejap
untuk menelaah. Maklumlah, ketika itu saya bekerja sambil belajar. Jadi,
tidak boleh terlalu buang masa kerana masa itu emas," ceritanya kepada
Citra.
Setahun menjadi despatch, Zulfahimi mula dinaikkan pangkat sebagai
pemandu di Bahagian Sumber Manusia. Tugasnya adalah menghantar ke mana
sahaja destinasi kakitangan Malaysia Airports ingin pergi, misalnya
menghantar kakitangan menghadiri mesyuarat dan bertemu pelanggan.
Setahun kemudian, tuah menyebelahi anak kelima daripada tujuh beradik
ini. Mungkin kejujuran yang ditunjukkan pada syarikat tersebut, dia
dinaikkan pangkat lagi sebagai pembantu tadbir/operasi di Bahagian
Sumber Manusia juga.
Penjaga tandas terbaik
"Saya kini bertugas di Bahagian Latihan Kakitangan. Semua kursus yang
berkaitan staf di bawah seliaan saya. Contohnya, kursus asas operasi,
induksi, kursus asas bomba, keselamatan kebakaran dan banyak lagi
dikendalikan saya.
"Tidak pernah kenal erti penat walau ketika itu saya bekerja sambil
belajar demi mencari masa depan yang cemerlang. Saya yakin, segala usaha
akan berbaloi," ujar graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) ini hasil penat lelah bekerja sambil belajar.
Setelah bersusah payah mengharungi pelbagai tugas di Malaysia Airports,
Zulfahimi dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Pegawai Kualiti di
KLIA. Dia dipindahkan ke Bahagian Operasi Terminal. Tugas utamanya
adalah memastikan kebersihan terminal, troli tidak bersepah di KLIA dan
sentiasa mencukupi serta persekitaran landskap di KLIA berada dalam
keadaan terbaik.
"Saya juga akan melakukan rondaan di semua tandas yang berada di
bangunan utama KLIA agar dalam keadaan bersih dan tiada masalah.
"Sepanjang bekerja di sini, memang banyak cabaran. Perlu bersikap
positif bila terima aduan daripada kakitangan atau orang luar, terutama
bab tandas.
"Tandas di terminal perlu sentiasa bersih dan wangi. Bau tiada dan tisu
mencukupi. Sebab itulah saya bertanggungjawab untuk pastikan tandas
sentiasa bersih 24 jam," katanya yang digelar penjaga tandas terbaik
dalam kalangan rakan setugas dek keprihatinan dia menjaga semua tandas
di KLIA.
Gemar mendaki gunung
Walau sibuk dengan kerja di KLIA, namun Zulfahimi akan pastikan beberapa hobi yang diminati akan dibuat.
Dia yang gemar melibatkan diri dalam sukan rekreasi dan mendaki gunung
itu tetap akan luangkan masa juga walaupun sehari untuk berekreasi.
"Sudah banyak sukan saya terlibat. Daripada yang biasa hinggalah kepada
yang lasak. Semua itu dilakukan secara persendirian dan juga
berkumpulan.
"Untuk pendakian pula, beberapa gunung dalam dan luar negara telah pun
di daki. Antaranya, Gunung Gayong, Gunung Datuk, Gunung Bujang Melaka
dan Gunung Korbu.
"Manakala di luar negara, antara yang didaki, Gunung Kalapathar dan
Everest Base Camp (Nepal), Gunung Merapi, Rinjani, Krinci dan Merbabu
(Indonesia) dan Gunung Annapurna Base Camp (Nepal)," katanya.
Beritahu Zulfahimi, setiap pendakian gunung itu memang mencabar dan
cabaran itulah yang menjadi penguat semangat untuk dia terus bekerja di
Malaysia Airports.
Info
Zulfahimi ialah pekerja aktif di Malaysia Airports seperti menjadi
sukarelawan pada setiap program kendalian syarikat, dilantik sebagai
tenaga pengajar di situ dan aktif dengan sukan anjuran Malaysia
Airports.
Menjadi Pengerusi Kelab Rakan Muda Putrajaya (2007 - 2011), Exco Majlis
Belia kawasan Putrajaya, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung Putrajaya (GPMS), Naib Ketua Pemuda Umno cawangan Dahlia dan
ahli jawatankuasa rukun
tetangga Blok D, fasa 4B, Presint 8, Putrajaya.
Pencapaian: Anugerah Belia Negara peringkat Kuala Lumpur (2008 &
2009 - saguhati), Anugerah Belia Negara peringkat Kuala Lumpur (2010 -
Johan) dan mendapat sijil Malaysia Book of Record kerana berjaya
mengibarkan bendera Malaysia di puncak Gunung Kinabalu.//(sinarharian)