PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Friday, 29 November 2013

Aidila tidak murtad

KUALA LUMPUR: “Sehingga ke saat ini, saya masih umat Nabi Muhammad SAW. Tidak pernah terlintas langsung untuk murtad. Sampai hati mereka fitnah saya macam ni.” Itu tegas Aidila Hanani, wanita Melayu yang bukan saja dikatakan murtad, malah ditohmah menjadi pendakwah Kristian di Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, walaupun menetap di negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian dia masih berpegang teguh pada ajaran Islam malah setiap hari mendidik suaminya, seorang warga AS tentang agama Islam.

Dia mendakwa khabar angin mula tersebar selepas dia menghadiri sebuah program komuniti yang diadakan di sebuah gereja di kawasan kediamannya. Beberapa minggu selepas itu gereja berkenaan mengeluarkan sebuah artikel dalam penerbitan mingguannya yang mendakwa Aidila atau lebih dikenali sebagai Adila Mcghee telah memeluk agama kristian dan menjadi pendakwah di gereja berkenaan.

“Ia sebenarnya silap faham gereja dan penulis artikel berkenaan mengenai kehadiran saya ke sana. Saya ingin tegaskan saya diundang ke program komuniti itu sebagai salah seorang penceramah untuk berkongsi cerita mengenai cara hidup masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” ujarnya yang mengeluarkan kenyataan menerusi seorang rakan baik di negara ini.

Katanya, dia ada membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja di situ. Dari situlah dia mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia

.“Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain. "Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.

 “Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh memandu,” katanya.Adila dan suaminya F McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.

Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC. berkata, keluarganya yang berada di Malaysia turut menerima tempias fitnah berkenaan sehingga menyebabkan mereka malu apabila beberapa kenalan mula bertanya tentang kesahihan khabar angin yang tersebar di laman Facebook dan WhatsApp.

“Lebih menyedihkan lagi apabila kisah peribadi mengenai perkahwinan terdahulu saya dijaja kononnya menjadi punca murtad. Demi Allah, hati saya tetap dengan Islam,” kata lulusan pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan berasal dari Ipoh itu.Bekas pelajar Kolej Islam Klang (KIK) Selangor itu mendakwa gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.

“Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” ujar Adila. Sementara itu, rakan baik Aidila yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah berkata, dia amat terkejut apabila membaca dakwaan berkenaan menerusi mesej WhatsApp yang dihantar seorang rakan beberapa hari lalu.“Saya segera menghubungi Aidila dan memberitahunya mengenai perkara itu.

Dia terkejut dan amat sedih atas tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya dan tidak menyangka kehadirannya di gereja berkenaan disalah ertikan sebagai murtad,” katanya ketika dihubungi semalam.Maznah berkata Aidila kerap kembali ke Malaysia, sekurang-kurangnya setahun sekali, untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan dan tidak pernah menunjukkan sebarang petanda bahawa dia sudah keluar dari Islam, malah suaminya juga amat berminat untuk mendalami Islam.

“Saya harap pihak yang masih menyebar khabar angin ini agar berhenti segera kerana Aidila memberitahu saya bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika masih ada yang menuduhnya murtad,” jelasnya. -(hmetro)

Tuesday, 26 November 2013

Saya hanya menumpang, kata PM

SHAH ALAM - Setelah lama berdiam diri berhubung dakwaan pembangkang bersabit perbelanjaan bil elektrik yang tinggi, akhirnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan beliau hanya "menumpang" di Kompleks Seri Perdana.

Najib berkata, kompleks di Putrajaya itu adalah milik rakyat dan hanya digunakan jika ada acara berprestij.

"Saya cuma tumpang sekali sekala. Presiden China (Xi Jinping) datang sini dan kita buat jamuan makan malam (di Seri Perdana).

"Kita hendak makan dalam gelapkah? Kita makan dalam cahaya lilinkah?

"Bolehkah saya kata ini romantik?," katanya dipetik akhbar Berita Harian, hari ini.

Sebelum ini, ahli Parlimen Seremban-DAP, Anthony Loke meminta penjelasan daripada kerajaan untuk menyenaraikan bil elektrik dan air di kompleks kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Menjawab kepada pertanyaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bil elektrik RM2.2 juta dan RM300,000 untuk 2012.

Meskipun begitu, ia meliputi seluruh kompleks itu dan bukan kediaman perdana menteri semata-mata.

Loke mendakwa perbelanjaan itu adalah pembaziran yang dilakukan pimpinan negara sementara meminta rakyat berjimat cermat.

"Bagaimana Najib boleh minta rakyat berjimat cermat, sedangkan beliau setiap hari melakukan pemborosan, membazirkan elektrik RM8,500 setiap hari bagi bil elektrik.

"Saya rasa ia keterlaluan, tidak ada rasa untuk kurangkan perbelanjaan tersebut, mereka tidak menunjukkan contoh yang baik dengan perbelanjaan bil elektrik tersebut.

"Kalau di Amerika, 'White House' itu bukan sahaja kompleks kediaman rasmi Presiden Amerika, tetapi pejabat rasmi, tetapi di Malaysia, Kompleks Seri Perdana hanya kediaman rasmi tapi ada lagi pejabat perdana menteri ada pejabat lain, itu perbelanjaan lain," katanya./(sinar harian)

Sunday, 24 November 2013

Guru didakwa dalang soalan SPM bocor

KUALA LUMPUR - Seorang guru yang juga tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen di ibu kota didakwa bertanggungjawab ke atas kebocoran soalan bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2013.

Soalan-soalan berkenaan didakwa ‘dibocorkan’ melalui beberapa siri seminar khas yang dijalankan di sebuah masjid, menjelang hari-hari akhir tarikh peperiksaan berlangsung.

Malah aktiviti berkenaan dikatakan berlaku sejak 2007 lagi dan telah ada laporan yang dibuat namun tiada sebarang tindakan ke atas individu berkenaan sehingga kini.

Perkara itu didedahkan Mohd Husaine Jaslee, 30, kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selepas menerima maklumat daripada sekumpulan pelajar dan juga calon SPM, sebaik selesai kertas Matematik pada 18 November lalu.

Menurutnya, sekumpulan pelajar dari sekolah menengah di Zon Keramat itu memaklumkan mereka mendapat maklumat berhubung soalan bocor daripada rakan mereka yang menghadiri seminar berkenaan.

“Soalan dan susunannya sama bagi Matematik kertas II tetapi urutan soalan diubah-ubah bagi kertas satu. Setiap ayat, nombor, diagram dan apa sahaja dalam kertas soalan memang sama dengan apa yang dibocorkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab, Mohd Husaine kemudiannya mengumpulkan bukti dan melaporkan ke Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Katanya, disebabkan maklumat soalan bocor itu diperolehi selepas kertas Matematik, dia diminta mendapatkan bukti kertas Matematik Tambahan sebelum peperiksaan kertas itu dijalankan bagi memastikan perkara itu benar-benar terjadi (kebocoran soalan).

“Pada 20 November, seminar sama diadakan iaitu sehari sebelum kertas Matematik Tambahan dijalankan, namun tiada tindakan diambil dan saya dimaklumkan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia tidak mempunyai kuasa dan hanya menunggu laporan seterusnya.

“Lima minit sebelum kertas dua Matematik Tambahan dijalankan, saya menerima tiga keping gambar dipercayai soalan dan jawapan untuk kertas dua subjek itu dihantar seorang pelajar melalui ‘Whatsapp’.

“Saya terus ke Unit Keselamatan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan mencetak gambar itu sebagai bukti,” katanya.

Tambahnya, setelah diteliti kembali soalan kertas dua Matematik Tambahan, dia mendapati soalan nombor dua bahagian A kertas tersebut adalah sama dengan maklumat bergambar yang diterima pada awalnya.

“Saya dipanggil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan dimaklumkan mereka akan menyiasat perkara itu dan saya akan dijadikan saksi,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, kelmarin.
-sinar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers