PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Saturday, 29 June 2013

Pelakon terbabit kes dadah pukul jurugambar

PELAKON lelaki yang ditahan sekali lagi membabitkan kes dadah dilaporkan bertindak kasar terhadap juru gambar bagi mengelak gambarnya dirakam, semalam.

Memetik laporan Utusan Online, anak kepada pelakon veteran ini mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa juru gambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif.

Dia menumbuk kepala seorang jurugambar sebuah syarikat akhbar dan turut menepis beberapa kamera juru gambar lain.(harianmetro)

Friday, 28 June 2013

Pecerobohan Lahad Datu : Koperal Hassan Beri Maklumat Pergerakan Pasukan Keselamatan

KOTA KINABALU – Maklumat berhubung pasukan keselamatan akan memasuki Kampung Tanduo, Lahad Datu pada pukul 12 tengah malam, diperoleh melalui pintasan percakapan telefon antara Datu Amirbahar Hushin Kiram dan ketua kumpulan pengganas Kiram, Datu Agbimuddin Kiram.

Saksi kedua yang dilindungi identitinya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa maklumat tersebut diberikan oleh seorang anggota polis cawangan khas.

Dia memberikan keterangan melalui talian terus menggunakan alat komunikasi khas kepada Hakim, P. Ravinthran.

Keterangan tersebut ditaip semula oleh jurubahasa di dalam komputer yang dapat diakses oleh semua peguam dan pendakwaan dalam perbicaraan kes terhadap tertuduh Koperal Hassan Ali Basari didakwa dengan sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas di Lahad Datu.

Saksi itu yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan mahir dalam Bahasa Suluk dan Bajau memintas percakapan itu pada pukul 10.31 malam, 25 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan kemudiannya memintanya membacakan catatan itu kepada mahkamah.

“Pada 25 Februari 2013, jam 22:31 (10:31 malam), Datu Amirbahar menyatakan dia mendapat tahu daripada Hassan yang merupakan anggota polis bahawa pihak berkuasa Malaysia akan masuk pukul 12 tengah malam nanti. Raja maklum dan memberitahu mereka telah bersedia. Datu Amirbahar memberitahu Hassan dan Hussin merupakan adik-beradik dan mereka juga merupakan ahli keluarga kita. Raja maklum.”

Hassan yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu antara Januari dan 3 Mac lalu.

Datu Amirbahar yang juga anak saudara kepada Jamalul Kiram III dan merupakan komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat Jeneral yang menceroboh Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu ditangkap pada 23 Mac lalu di kawasan paya bakau di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 19 April lalu atas dua tuduhan, iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

    -http://www.suaragenerasibaru.com/?p=83676

Dakwat kekal pewarna makanan, apa kata Dr Agus

KUALA LUMPUR: "Kelmarin saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya," tulis penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di facebooknya.


Hari ini, beliau terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.



Berikut tulisan beliau.



KELMARIN saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya.



HARI INI saya terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.

Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan dakwat kekal? Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh menteri yang bertanggungjawab dan SPR. Oleh itu, kenyataan menteri di atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga.

Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain? Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini.

Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?

Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?

YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat. Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.(harakahdaily)

Thursday, 27 June 2013

Benjy Ditangkap Lagi, Positif Dadah Jenis Syabu

Benjy pernah ditahan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumahnya pada tahun 2010.


PETALING JAYA: Pelakon Khaeryyl Benjamin Ibrahim, atau Benjy sekali lagi ditahan pada pagi Rabu atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa dekat sini.

Utusan Online melaporkan, anak kepada pelakon, Azean Irdawaty itu ditangkap pada kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Pihak polis akan memohon perintah reman terhadap pelakon itu pada Khamis di bawah Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil pemeriksaan polis ke atas pelakon tersebut ketika serbuan bagaimanapun tidak menemui dadah yang dibawa bersamanya," kata sumber polis. (mstar)

AWAS DAGING DARI TAHI MANUSIA

SATU pasukan penyelidik dari Jepun yang diketuai oleh Mitsuyuki Ikeda dari Makmal Okayama telah mencipta satu cara untuk mengitar najis manusia jadi makanan dalam bentuk daging.



Konsep baru yang sangat menjijikkan ini ditemui apabila Ikeda telah diminta untuk melihat pelbagai kegunaan yang boleh diperolehi dari bahan kumbahan.


Dia tidak merasa jijik ketika melakukan tugasan itu, malah rasa teruja bila mendapati kawasan kumbahan mengandungi banyak protein disebabkan oleh bakteria yang ada di situ.



Idea ini kedengaran sangat teruk dan menjijikkan bukan? Tetapi ia bukan lah seperti 'daging' dicipta dengan mengambil tahi dan terus meletakkannya ke atas burger. Proses itu melibatkan mengekstrak protein daripada kumbahan kemudian menggabungkannya dengan 'reaction enhancer' dan memasukkannya ke dalam 'exploder.' Magik sains pun lengkap dan dapatlah hasilnya - 'daging tahi'.



Setelah itu, daging ini akan diletakkan pewarna merah dan rasa dipertingkatkan dengan protein soya. Produk yang telah siap dipecahkan seperti berikut: 63% protein, 25% karbohidrat, lipid 3%, dan 9% mineral. Tetapi bagaimanakah rasanya? Menurut laporan awal, rasanya seperti daging lembu.


Bahagian paling sukar dari idea pelik ini ialah mengajak orang ramai untuk makan daging ini. Menurut Profesor Ikeda, matlamat utama adalah untuk meyakinkan orang ramai bahawa makan daging tahi tidak seburuk yang disangka dan akan membawa kebaikan pada alam sekitar.


Sekarang produk ini berharga 10-20 kali ganda lebih mahal berbanding harga daging biasa disebabkan kos penyelidikan./Sabahkini

Wednesday, 26 June 2013

Pilihan raya kecil peluang baik untuk Pakatan – Anwar

KUALA LUMPUR 26 JUN: Ketua Parlimen Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, ‘kekosongan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan memberi peluang baik kepada Pakatan Rakyat ekoran penyandangnya meninggal dunia, hari ini.

Dr Abdul Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), akibat kanser paru-paru.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, pilihan raya kecil (PRK) memberi peluang selesa kepada Pakatan kerana BN hanya memperoleh kelebihan dua kerusi membentuk kerajaan Terengganu.

“Saya anggap PRK kali ini kritikal kerana majoriti yang diperolehi Umno pada kerusi tersebut agak memberangsangkan.

“Bagaimanapun situasi ini tetap memberi peluang yang baik untuk PAS menempah kemenangan pada kekosongan itu.

“Pakatan akan sokong calon yang akan diletakkan PAS,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pada PRU 13 lalu, Abdul Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

Abdul Rahman mendapat 8,809 undi berbanding Napisah, 6,375 undi.

Anwar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergiannya dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=53815

Kenapa kadi tidak bertindak ke atas tarian gelek?

SEGAMAT: "Kenapa penganjuran tarian gelek sebelum ini pejabat kadi tidak bertindak? Tetapi apabila kuliah agama Ustaz Azhar Idrus pula mahu disekat?"

Inilah antara perkara yang dibangkitkan Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod kepada Kadi daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman berhubung larangan membenarkan Ustaz Azhar Idrus menyampaikan kuliah di sebuah madrasah, di Segamat, 22 Jun lalu.

Beliau turut mencabar pihak kadi tersebut untuk menahan Ustaz Azhar pada malam tersebut jika benar bersalah dan bertegas untuk meneruskan majlis ilmu tersebut yang kemudiannya mencatat kehadiran lebih dari 10,000 hadirin.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Firdaus berkata beliau kesal dengan keadaan itu, yang mana kuliah agama yang membawa kepada kebaikan cuba disekat, sebaliknya tidak berbuat apa-apa terhadap tarian gelek yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Kadi daerah itu menghantar surat kepada pihak penganjur kuliah ini agar menghentikan majlis itu atau berhadapan dengan tindakan undang-undang dari Kadi Daerah.

"Ini yang berlaku di Johor, mereka takut dengan ustaz-ustaz yang ada nama yang mereka anggap boleh mempengaruhi orang ramai.  Kalau pengaruh untuk perkara baik, tiada masalah.  Tapi, isu tauliah yang dibangkitkan bagi menyekat kuliah agama," tegas beliau yang membantu adiknya menguruskan madrasah tersebut.

Arahan pembatalan ini dikeluarkan oleh Kadi Daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman pada 20 Jun lepas.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pihak kami tiada menerima apa-apa permohonan kebenaran dan pihak kami juga tiada mengeluarkan apa-apa kebenaran dan tauliah bagi program tersebt.

"Justeru itu adalah dikehendaki agar tuan menangguhkan ceramah tersebut atau pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tulis Kadi daerah itu dalam suratnya bertarikh 20 Jun yang ditujukan kepada Pengerusi Madrasah Ibnu Mas'ud, Kampung Tasik, Segamat.

Bagaimanapun, kata Firdaus, majlis ilmu itu tetap diteruskan dengan kuliah diberikan oleh Ustaz Azhar dan pihak madrasah tidak menerima sebarang surat susulan ekoran keingkaran terhadap arahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan isu tauliah yang diberikan kepada pendakwah di setiap negeri dikaji semula.

Biarpun mengakui keperluan pentauliahan untuk mana-mana pendakwah bagi mengelakkan sebarang penyebaran ajaran sesat, Firdaus berkata sudah sampai masanya ia dipermudahkan dengan mekanisme-mekanisme tertentu.

"Kita akui bukan mudah seseorang itu diberikan tauliah, kita akui itu. Cuma mungkin perlu dipermudahkan dengan penyelarasan di seluruh negara," kata beliau.

Cadang beliau, biarpun pemberian pentauliahan itu terletak di bawah kuasa undang-undang negeri, ia mungkin boleh digunapakai di mana-mana negeri di seluruh negara.

"Mungkin apabila seseorang pendakwah itu mendapat tauliah dari negeri Selangor, tauliah itu juga turut terpakai di negeri-negeri lain di Malaysia," kata beliau.(harakahdaily)

Tuesday, 25 June 2013

Penculikan di Kg. Tanagian, Lahad Datu : SANDIWARA ATAU TRAGEDI?

Saudara Pengarang,



PADA 17 Jun 2013, sekitar jam satu petang, tiga orang cucu Buyung sedang bermain-main di bawah rumahnya yang terletak di tepi jalan raya simpang jalan Kg Tanagian, Tg Labian.



Buyung dan isterinya tidak ada di rumah kerana ada urusan di bandar Lahad Datu. Tiba-tiba datang sekumpulan lebih kurang 15 orang yang tidak dikenali berpakaian 'ala- militan Sulu' dan terus menculik salah seorang daripada tiga orang budak perempuan berumur 14 tahun.


Lelaki bertopeng hitam itu bersenjata pistol dan yang lainnya tidak bertopeng menggunakan lambang khas pada pakaian mereka bersama dua karung yang berisi senjata berat yang tidak dikenalpasti jenisnya.


Setelah berita ini dilaporkan kepada Kem Askar di Tg Labian, maka Pasukan Keselamatan segera bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak perempuan itu sudah ditinggalkan Militan dan diikat ke sebatang pokok di Kg Tanagian Lama.


Menurut kanak-kanak perempuan itu, Militan berkenaan bertanyakan dua nama tetapi dikenalinya. Kanak-kanak perempuan itu dan beberapa orang penduduk Kampung Tanagian Lama terpaksa membuat laporan polis di Balau Polis Cenderawasih.


Pada kesokannya kanak-kanak perempuan itu terpaksa menyambung kenyataannya sebelum sekali lagi terpaksa memberi keterangan yang sama di Balai Polis Lahad Datu.


Walaupun keterangan kanak-kanak itu sama dan tidak berubah-ubah namun agak aneh polis mengklasifasikan kes berkenaan sebagai kes rogol dan bukannya kes penculikan. Jika rogol siapa yang rogol dan bagaimana dengan 15 penculik bersenjata berkenaan? Apakah kali ini memang benar-benar sandiwara?


Oleh itu, sebagai penduduk Tg Labian, saya inginkan kepastian dan kejujuran polis berhubung kes ini agar tidak ada pihak yang memandang seorang kepada polis dan menabur fitnah bahawa kononnya kami bekerjasama dengan polis menutup kes penculikan berkenaan.


Salam Hormat,



KUNSUL NAHUL

Sunday, 23 June 2013

'Awak gemuk tapi comel' : Kata-kata sebelum dicabul..

KUANTAN - “Awak ni gemuk tapi comel." Itulah antara ungkapan diucapkan seorang pemandu teksi sebelum bertindak mencabul seorang penumpang wanita yang menaiki teksinya ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat membeli-belah di bandar ini, kelmarin.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wanda berkata, kebiasaannya dia akan duduk di bahagian belakang setiap kali menaiki kenderaan awam itu, namun disebabkan cuaca panas terik pada hari kejadian, dia memilih untuk duduk bersebelahan pemandu kerana lebih dekat dengan penghawa dingin.

Tambahan pula katanya, dia sendiri tidak sangka pemandu teksi itu akan bertindak sedemikian kerana nampak seperti seorang berpendidikan agama.

“Pada awalnya, kami hanya berbual kosong. Namun selepas itu, topik perbualan menjadi agak pelik kerana dia tiba-tiba mengatakan saya seorang wanita gemuk dan perlu jaga pemakanan.

"Perbuatan pemandu teksi itu mengundang rasa tak selesa untuk berbual lebih lanjut. Malah melalui ekor mata, saya perhatikan dia kerap menjeling pada saya," katanya.

Wanda berkata, dia hairan apabila pemandu itu berbicara mengenai topik berkenaan kerana pemandu itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan mereka tidak kenal antara satu sama lain.

Katanya, lebih memeranjatkan lagi apabila pemandu itu bertindak memegang tangan dan mencubit pipinya sambil mengatakan 'awak ni gemuk tapi comel' sebelum dia keluar daripada teksi tersebut.

"Selepas diperlakukan sedemikian, saya menjerit dan terus keluar daripada teksi itu lalu menelefon suami.

"Dia nampak alim, tapi saya tak sangka dia berani pegang tangan dan cubit pipi saya sambil mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, atas desakan suami, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan.

“Saya nasihatkan golongan wanita agar lebih berhati-hati dan seboleh-bolehnya elak menaiki teksi seorang diri. Kita juga jangan mudah percaya dengan penampilan seseorang.

"Bersongkok dan nampak baik belum tentu dia seorang yang baik dan menghormati wanita. Ambil pengajaran dengan apa yang terjadi pada diri saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.(Sinarharian)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers