RANCANGAN jahat menghapuskan orang Islam di Republik Afrika Tengah menyebabkan krisis kemanusiaan semakin meruncing sejak awal tahun lalu.
Kira-kira 1.4 juta penduduk minoriti Islam menjadi sasaran keganasan
kumpulan militia Kristian yang menggelar diri mereka sebagai
anti-Balaka.
Penasihat kanan Amnesty International, Joanne Mariner berkata, militia
anti-Balaka melancarkan kempen pembersihan orang Islam secara
besar-besaran di negara terbabit dan menyelar kumpulan pengaman
antarabangsa kerana gagal menghalang perbuatan itu.
“Walaupun terdapat kira-kira 1,600 askar Perancis ditempatkan di negara
bergolak itu bersama 6,000 anggota pasukan pengaman Kesatuan Afrika
(Misca), mereka masih gagal menghentikan pertelagahan antara kedua-dua
puak tersebut,” tegasnya.
Difahamkan, insiden keganasan etnik pada kali ini adalah paling buruk
sejak bekas Presiden Michel Djotodia meletak jawatan pada 10 Januari
lalu.
Selain itu, ada pihak mendakwa, faktor utama menyebabkan keganasan
etnik itu kerana negara Barat dan sekutunya tidak senang dengan
perkembangan Islam di negara tersebut.
Pengusiran secara paksa
Kumpulan hak asasi manusia (HRW) menyatakan, serangan ke atas penduduk Islam sememangnya sudah dapat dijangka.
Menurut laporan Amnesty, lebih 100 penduduk di barat dan utara negara
itu menjadi saksi kekejaman ke atas orang Islam selepas kumpulan
pelampau Kristian tersebut meneruskan rancangan menghapuskan dan
mengusir orang Islam secara paksa dari negara itu.
Keganasan paling teruk direkodkan adalah di bandar utara Bossemptele,
di mana sekurang-kurangnya 100 orang termasuk warga emas dan seorang
imam lingkungan 70-an dibunuh, Januari lalu.
Selain itu, beberapa bandar lain seperti Bouali, Boyali dan Baoro turut
menjadi sasaran serangan militia anti-Blaka sejak akhir tahun lalu.
Keganasan itu menyebabkan banyak pihak mula khuatir jika insiden
pembunuhan beramai-ramai seperti di Rwanda hampir 20 tahun lalu kembali
berulang.
Rencana kemanusian terburuk
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres
memberitahu, beliau telah menyaksikan bencana kemanusiaan terburuk dan
sentimen anti-Islam di Republik Afrika Tengah.
Menurutnya lagi, sebahagian daripada penduduk Islam masih terperangkap
di dalam negara itu akibat tindakan pengepungan kumpulan militia
anti-Balaka.
Sementara itu, Pengarah Kecemasan HRW, Peter Bouckaert memaklumkan etnik minoriti tersebut turut berhadapan ancaman bunuh.
“Sebelum konfl ik itu tercetus, populasi orang Islam mencecah sehingga 30,000 orang.
Namun, kini jumlahnya kurang daripada 500 orang selain tujuh daripada
lapan masjid dimusnahkan sewenang-wenangnya,” jelasnya lagi.
80 peratus pelarian di dunia adalah orang Islam
Negara berkeluasan 623,000 kilometer persegi ini didiami kira-kira lima juta penduduk.
Sejak lima dekad lalu, Republik Afrika Tengah berada di bawah
pemerintahan kuku besi selepas mendapat kemerdekaan dari Perancis pada
1960.
Ia turut disenaraikan sebagai negara termiskin di dunia walaupun kaya dengan emas, kayu balak, berlian dan uranium.
Penduduk Islam minoriti di negara itu hanya 15 peratus atau 750,000
orang namun, mereka mampu menguasai bidang ekonomi dan perdagangan.
Bagaimana kekacauan tercetus
Gabungan kumpulan Islam, Seleka pimpinan Michel Djotodia menggulingkan
bekas Presiden Francois Bozize dalam rampasan kuasa, Mac tahun lalu.
Beberapa bulan sebelum itu, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan
kerajaan perpaduan yang akan dipimpin oleh beliau.
Bagaimanapun, perjanjian damai tersebut gagal dilaksanakan selepas
kumpulan Seleka semakin mara dan menawan beberapa bandar termasuk ibu
negara. Ketegangan yang memuncak menyebabkan Bozize terpaksa melarikan
diri ke Cameroon. Difahamkan, beliau pernah mengetuai rampasan kuasa,
kira-kira 10 tahun lalu dan memenangi pilihan raya pada 2005 serta 2011.
Apa berlaku selepas Bozize digulingkan
Negara itu menjadi huru-hara akibat krisis politik. Menurut laporan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 400,000 orang kehilangan
tempat tinggal dalam tempoh beberapa bulan.Bagaimanapun, konfl ik
semakin meningkat selepas kebangkitan kumpulan anti-Balaka yang
melancarkan kempen penghapusan etnik Islam hingga menyebabkan pasukan
pengaman antarabangsa terpaksa campur tangan.
Pada 10 Januari lalu, Djotodia akhirnya meletak jawatan, selepas banyak
pihak mempertikaikan kredibiliti beliau kerana gagal menamatkan
pertumpahan di Republik Afrika Tengah. Susulan daripada pengunduran
Djotodia, bekas Datuk Bandar Bangui, Catherine Samba-Panza menjadi
wanita pertama dilantik sebagai presiden sementara pada 23 Januari lalu.
Berapakah jumlah korban keganasan etnik tersebut
Kaki tangan Palang Merah Antarabangsa melaporkan, lebih seribu mayat
ditemui bergelimpangan di sekitar ibu negara sejak 5 Disember lalu.
Selain itu, kira-kira 133 kanak-kanak dibunuh sejak dua bulan lalu dan
sebahagian daripadanya turut dipancung dan anggota tubuh mereka
dikudungkan.
Bagaimana nasib penduduk Islam
Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di negara jiran dan beberapa
lokasi di seluruh negara termasuk lapangan terbang di Bangui. Jumlah
pelarian semakin meningkat dikhuatiri menyebabkan bencana kemanusiaan
terburuk kerana bekalan makanan dan ubat-ubatan semakin berkurangan
akibat sekatan daripada kumpulan militia, anti-Balaka. Kebanyakan
pelarian juga jatuh sakit dan mengalami trauma.//(sinar)