PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Sunday, 23 February 2014

'Kami rindu mak abah' kata pelajar Tahfiz Amal

Gelagat pelajar PTA cuba melarikan diri sempat dirakam.
YAN - “Kami nak balik... kami rindu mak abah...,” demikian rintihan beberapa pelajar Pusat Tahfiz Amal (PTA) dekat Jalan Yan - Kuala Kedah, di sini, yang diarahkan menghentikan operasi berkuat kuasa pada 10 Februari lalu.

Walaupun pada mulanya cuba mengelak dari media dan cuba menyembunyikan diri tetapi akhirnya mereka datang untuk meluahkan perasaan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati pintu pagar masuk ke PTA dikunci dan orang luar tidak dibenarkan masuk untuk sebarang urusan.

Pemerhatian mendapati, pelajar yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun itu, sedang melakukan aktiviti bebas di persekitaran sekolah sebelum melarikan diri ke suatu kawasan sebaik wartawan tiba di pintu pagarnya.

Beberapa minit kemudian, beberapa orang pelajar menghampiri wartawan dan menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Kami tak boleh balik, tapi kami rindukan mak abah. Sudah lama kami tak berjumpa dengan mak abah. Kali terakhir jumpa dengan mak abah pun sudah lama,” katanya kepada wartawan, semalam.

Luahan isi hati pelajar berkenaan amat terasa di hati apabila kelihatan pada riak wajah mereka seperti bersedih dan sebak.

Perbualan sekitar lima minit itu terhenti apabila ada pelajar lain yang memanggilnya supaya beredar dari pintu pagar tersebut. Tindakan itu dipercayai menerima arahan daripada individu tertentu.

Apabila ditanya mengenai aktiviti dan sesi pembelajaran di PTA, murid berkenaan terkedu seketika dan tidak tahu jawapan yang hendak diberikan.

“Saya tak tahu. Kami juga belajar baca surah Yasin,” katanya.

Kesempatan berbual dengan pelajar berkenaan digunakan sebaik mungkin dengan bertanyakan mengenai aktiviti jualan amal yang sering melibatkan pelajar PTA di sekitar negeri ini.

“Hari ini kami tidak keluar jual barang. Saya sudah pandai jual barang. Tugas saya cuma perlu pergi bank dan ambil duit untuk anak-anak yatim.

“Tetapi kawan-kawan lain ada juga yang masih jual barang. Tapi hari ini mereka tidak keluar,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, PTA itu diarah menghentikan operasinya oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) berkuat kuasa serta merta.

Menurut laporan tersebut, notis arahan penutupan itu dikeluarkan pada 10 Februari lalu, atas alasan menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran mengikut Seksyen 12 (1) Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

Jaik juga pernah mengeluarkan notis sama bertarikh 1 Januari 2007 yang mengarahkan supaya operasi tersebut dihentikan.//(sinar harian)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers