SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Saya
mendoakan Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada
ALLAH SWT.
Ingin saya sampaikan bahawa saya memahami keadaan Datuk Seri yang
mungkin tersasul semasa memberikan ucapan di Kemaman tempoh hari.
Saya akui, saya juga tertawa kecil, tapi dalam masa sama, saya sedar
kita semua manusia, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.
Bagaimanapun, Datuk Seri perlu sedar, apa yang Datuk Seri katakan itu
cumalah salah satu daripada banyak kenyataan yang keluar daripada mulut
Menteri Kabinet Malaysia kebelakangan ini. Dulu, Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah
berkata, “jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga
pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan
jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. “Bagi
mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak
gunakan jalan tersebut.”
Datuk Seri, cuba tanyakan soalan ini dengan ikhlas kepada diri Datuk
Seri sendiri, adakah ini kenyataan daripada mereka yang prihatin dengan
masalah rakyat? Laporan media arus perdana mengatakan kadar inflasi di
Malaysia sudah mencapai kemuncaknya pada 2.9 peratus pada November 2013.
Rakyat negara ini sudah lali dengan berita ini. Tetapi, tugas kerajaan
bukan sahaja untuk mengawal kadar inflasi ini, tetapi juga untuk memberi
penerangan kepada rakyat apakah makna inflasi ini, bagaimanakah kadar
inflasi ini dikira dan seterusnya, apakah kesan-kesannya kepada rakyat.
Sebagai ahli ekonomi, saya percaya Datuk Seri tahu akan kepentingan
Indeks Harga Konsumer (CPI) kepada penentuan kadar inflasi ini.
Rakyat marhaen dapat melihat harga barang semakin meningkat dari hari
ke hari, tapi perkara ini tidak langsung dicerminkan dalam kadar
inflasi. Mengikut perkiraan pakar ekonomi, kadar inflasi yang sebenar di
Malaysia berada pada kira-kira 8 peratus.
Dalam soal gaji dan upah, pekerja Malaysia juga jelas terseksa dengan
kadar gaji rendah. Pada ketika ini pekerja Malaysia cuma menikmati 28
peratus daripada KDNK, berbanding keuntungan perniagaan pada 67.1
peratus. Bandingkan dengan negara jiran kita, Singapura yang pada 1997
mempunyai pecahan gaji berbanding KDNK sebanyak 42 peratus. Nampaknya
pecahan ini amat tidak seimbang. Jika kita bandingkan dengan beberapa
negara maju lain, pecahan ini lebih besar, contohnya pekerja-pekerja di
Jepun menikmati gaji dan upah sebanyak 52 peratus daripada KDNK
keseluruhan.
Datuk Seri, saya pelawa Datuk Seri sendiri turun melihat sendiri
keadaan rakyat. Baru-baru ini, saya ternampak sebuah iklan jawatan
kosong di sebuah restoran makanan segara yang popular, menawarkan gaji
RM900 sebulan. Saya ingin tanya, bagaimanakah seseorang itu boleh hidup
di kawasan Lembah Kelang dengan gaji RM900 sahaja? Pada hemat saya komen
tentang kangkung tempoh hari melihatkan betapa Datuk Seri dan Kabinet
Datuk Seri terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen. Masalah
pendapatan ini juga membawa kepada suatu masalah yang lebih besar. Orang
miskin nampaknya tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada
belenggu kemiskinan, kerana pendidikan yang berkualiti tiada dalam
jangkauan mereka.
Saya fikir, sekiranya mahukan Malaysia yang terus-menerus mengeluarkan
sumber manusia berkualiti secara mampan, isu pendidikan perlu diberi
perhatian secara serius, bukan sekadar penukaran kosmetik.
Datuk Seri, saya juga amat bimbang sekali dengan retorik perkauman
serta sentimen kebencian yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan isu-isu keagamaan
sudah menjadi permainan ahli-ahli politik yang tidak peduli akan hak-hak
kemanusiaan sejagat. Saya amat bimbang anak-anak Malaysia akan
terpengaruh dengan sikap perkauman yang melampau, sehinggakan ada
semakin berani guna kata-kata kesat atau berbaur ugutan ke atas
bangsa-bangsa lain.
Justeru, Datuk Seri perlu menjadi pemimpin kepada semua rakyat
Malaysia. Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat
ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat. Apakah dengan mendiamkan
diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna
yang Datuk Seri sendiri inginkan? Pilihan di tangan Datuk Seri. Tepuk
dada, tanya selera.
- NURUL IZZAH ANWAR