Pemimpin militan Sulu Agbimuddin Kiram telah terbang ke kampung
halamannya di selatan Filipina kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral
Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin .
Beliau mengatakan pasukan keselamatan negara membuat kesimpulan tersebut selepas mengkaji maklumat risikan.
“Agbimuddin telah meninggalkan orang-orangnya dan terbang ke kampung halamannya,” kata Zulkifeli (gambar) dipetik
dari laman The Star Online bercakap dalam satu sidang akhbar bersama
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Ismail mengatakan, dari maklumbalas komander pasukan keselamatan
maklumat di bawah membuktikan Agbimuddin, adik kepada lelaki yang
mendakwa dirinya Sultan Sulu Jamalul Kiram III sudah tidak bersama
orang-orangnya.
Semalam seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan
mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil
di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.
Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang
menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki
Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang
dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.
Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso
berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya
PolisSabah Datuk Hamza Taib.
Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang
lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Ops Daulat.
Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh
militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.
“Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar
dari Kampung Tanjung Batu,” katanya yang turut mengesahkan bahawa
pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat
rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan
dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara
yang sesuai.
Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai
timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.
Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina
menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka
akan dihadapkan di mahkamah negara itu.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan
militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan
kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas
gagal.
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset
ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis
pencerobohan militan Sulu itu.
Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan
terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala
Sembilan anggota pasukan keselamatan cedera./~TMI