KOTA MARUDU: Senator Datuk Maijol Mahap tidak yakin terhadap
kewibawaan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang diumum Datuk Seri Najib Razak,
pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Bercakap di perhimpunan Angkatan Perubahan Sabah (APS) di Kota
Marudu, beliau berkata, rakyat Sabah menunggu bertahun-tahun lamanya
tetapi masalah pendatang tanpa izin tidak pernah selesai.
Justeru, katanya, bekas Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu mengisytihar keluar BN kerana tiada sebab
untuk beliau yakin dengan pengumuman pada saat-saat akhir yang dibuat
Perdana Menteri itu.
Pada 11 Ogos lalu, Najib mengumumkan pembentukan RCI berhubung
pendatang tanpa izin di Sabah dan akan dipengerusikan oleh mantan Ketua
Hakim Sabah dan Sarawak, Steve Shim dan dianggotai empat lagi panel.
Dalam majlis itu, Maijol menyatakan beliau meninggalkan BN adalah
kerana hilang keyakinan bahawa BN benar-benar bersungguh-sungguh mahu
membela nasib penduduk Sabah.
“Saya tidak ingin dimaki oleh generasi akan datang kerana tidak
berjuang,” katanya yang turut mengumumkan untuk meninggalkan semua
jawatannya dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan .
Turut hadir, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden,
Tian Chua; dan pengasas APS, Datuk Seri Wilfred Bumburing.
Dalam
pada itu, Bumburing dalam ucapannya berkata, Najib hanya mengumumkan
pembentukan RCI apabila protes untuk meninggalkan BN mencapai tahap
tertinggi.
“BN kata Sabah adalah fixed deposit (simpanan tetap). Saya nak tanya,
fixed deposit daripada siapa? Orang Sabah atau pendatang tanpa izin?”
katanya lagi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34453