PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Friday, 17 August 2012

Raja- Raja Melayu harus teladani Sultan Kelantan

Versi lengkap artikel yang ditulis untuk editorial Harakah

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda dan para sahabat yang muttaqin.

Kita turut menumpang bangga dan terharu apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menganjurkan majlis qiamullail dalam satu program yang dinamakan 'Qiam With Me' di Istana Negeri Kubang Kerian.

Ribuan rakyat Kelantan membanjiri Dewan Jubli Perak, Istana Kubang Kerian untuk menunaikan qiamullail bersama Sultan Muhammad ke V pada  9 Ogos 2012.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat tarawih bersama Sultan Muhammad V, dihadiri Menteri Besar, Dato' Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus. Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Kita berbangga dan terharu kerana tidak pernah dalam sejarah Kesultanan Melayu moden, Sultan dan rakyat sama-sama bersujud memohon keampunan dari Allah dalam majlis seumpama itu.

Kerana sebelum ini, walaupun Raja-Raja Melayu berstatuskan Ketua Agama Islam negeri, dibacakan doa untuk mereka setiap kali selepas khutbah jumaat, namun ruh sebenar daripada kedudukan mereka tidak direalisasikan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Sebelum ini, dijaja dalam media pro kerajaan tentang kedudukan istimewa Raja, beza taraf mereka, kedudukan dan kemuliaan mereka berbanding rakyat kebanyakan. Malah di sesetengah negeri, golongan Di Raja dipamerkan tidak mewarisi ruh Islam sebenar, kerana terbabit dalam perkara-perkara yang mencemarkan.

Di dalam media massa kita, bagaimana tatkala Umno bersanggahan dengan istana, mereka memaparkan rencana dan berita-berita buruk mengenai institusi Raja, yang dikaitkan dengan perbuatan tidak bermoral dan sebagainya.

Walau apa pun persepsi dan tujuan ia disiarkan, sedikit sebanyak, paparan ini memberikan kesan di hati rakyat, sehinggakan ada sesetengah pihak meragui peranan Ketua Agama Negeri, dengan nilai moral yang sedemikian.

Namun, situasi ini ternyata berbeza di Kelantan, beberapa tahun kebelakangan ini, sejak mengambil alih takhta pemerintahan, Sultan Muhammad V, mempamerkan keperibadian yang berbeza berbanding dengan kebiasaaan yang diamalkan Raja-Raja Melayu yang lain.

Kita tidak menafikan, kebanyakan Raja-Raja kita 'berjiwa rakyat'. Tetapi kita melihat, keperibadian yang ditonjolkan oleh Sultan Muhammad V, dilakukan di luar kebiasaan resmi Raja, begitu dekat dan menyentuh hati nurani rakyat.

Baginda bukan sahaja menjadi Sultan yang memerintah negeri, malah mempamerkan keperibadian yang 'humble', menepati ciri-ciri seorang Sultan yang merealisasikan amalan Islam sebenar. Dan selaku Ketua Agama Islam Negeri, baginda benar-benar berusaha merealisasikannya di dalam penghidupan yang sebenar.

Bersedekah di bulan Ramadan, amalan biasa. Berbuka puasa bersama rakyat juga amalan biasa. Menghadiri majlis tilawah dan sebagainya, juga biasa dilaksanakan Raja-Raja Melayu. Yang luarbiasanya ialah apabila seorang Sultan mengajak rakyatnya bersolat malam bersama baginda.

Justeru, alangkah bahagianya rakyat Malaysia, jika program sebegini dapat kita nikmati bersama-sama di negeri masing-masing. Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri, menjadi peneraju utama dalam menyuburkan amalan Islam di negeri-negeri yang dinaungi mereka.

Tuanku al-Sultan Kelantan sudah mendahului, memberikan contoh terbaik, sebagai Raja yang sama-sama sujud ke hadrat Ilahi. Baginda memohon keampunan dan rahmat dari-Nya. Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Sultan Muhammad V ini, bukan sahaja merapatkan diri baginda dengan Allah SWT, malah semakin menyuburkan kasih sayang rakyat Kelantan terhadap beliau.

Mudah-mudahan suatu hari nanti, kita boleh sama-sama qiamuillail dengan Raja yang kita sayangi di Istana Selangor, Johor, Perak, Pahang dan sebagainya. Mudah-mudahan satu hari nanti, ianya akan menjadi realiti, insya Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers