PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Monday, 13 August 2012

Khairy, keringkan hingus dahulu sebelum bercakap besar

Oleh: Aspan Alias


Khairy Jamaludin memberikan reaksi kepada penghijrahan Ahli-Ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat seperti orang yang sedang merasakan perasaan ‘jilted’ dan bercakap benar-benar seperti ‘attribute’ yang ada pada UMNO. Khairy bercakap besar dengan mengatakan penghijrahan orang-orang UMNO dan pemimpin BN itu tidak menjejaskan BN kerana mereka semua adalah orang tidak laku dalam BN khususnya UMNO.
 
Kalau mereka semua tidak laku kenapa Khairy bercakap seperti seorang yang kena ‘jilted’? Bunyi kenyataan yang tersiar di dalam akhbar-akhbar perdana hari ini memaparkan sikap sebenar pemimpin UMNO apabila mereka di tinggalkan dan memberikan reaksi seperti seorang yang ‘sour grape’. 
 
Khairy sendiri bukannya laku sangat dalam UMNO kalau hendak dikaji secara terperinci dan sekarang beliau sedang menjadi seorang kembiri politik yang tersohor, mengambil kesempatan penghijrahan pemimpin-pemimpin BN di Sabah dan tindakan Tamrin Tun Ghaffar keluar dari UMNO.
 
Saya tidak kisah jika pemimpin lain dalam UMNO bercakap seperti yang dikatakan oleh Khairy itu kerana pemimpin-pemimpin lain di dalam UMNO itu merupakan pemimpin-pemimpin yang tidak laku kepada rakyat yang ramai-ramai ini. Khairy ini ibarat seorang anak muda yang julung berkeris. Baru kenal selangkah dua batang pisang pun beliau hendak sanggah.
 
Siapa sebenarnya yang tidak laku? Saya berpendapat Khairy sendiri orang yang tidak laku. Kenapa beliau terlupa yang beliau menduduki kerusi Ketua Pemuda dengan sokongan kurang dari 50 peratus dari perwakilan sedangkan beliau telah menggunakan kedudukan beliau sebagai menantu Perdana Menteri habis-habisan dalam pertandingan itu?
 
Kenapa Khairy tidak mengindahkan rungutan pengundi beliau di Rembau sendiri? Kalau Khairy menilai diri beliau betul-betul, apakah yang menyebabkan beliau boleh duduk ditengah gelanggang UMNO tetapi membuka langkah silat yang tidak berjawab kerana dia adalah menantu Perdana Menteri semasa itu. Kalau dia sama seperti ahli UMNO yang lain nescaya Khairy tidak mungkin menang untuk menjadi pemeriksa kira-kira cawangan.
 
Khairy harus sedar yang UMNO itu sendiri tidak laku dan tidak ada maknanya jika dia laku di dalam UMNO. Apa faedahnya laku dalam UMNO jika UMNO itu sudah tidak laku lagi?  Umum faham yang mereka yang baik dan sepatutnya menjadi pemimpin tidak boleh lama dalam UMNO kerana budaya UMNO itu hanya mengambil pemimpin yang kurang berguna atau pun pemimpin yang mempunyai pengaruh keluarga mereka semata-mata.
 
Kalau Khairy anak penoreh getah atau anak kepada seorang penyapu sampah di Majlis Perbandaran Rembau beliau tidak mungkin dikenali oleh sesiapa waimma dari seorang buruh kasar.
 
Sekarang elok kita ingatkan Khairy agar sedar diri sedikit semasa berada dalam UMNO itu. Sesungguhnya Khairy mempunyai penyokong yang ramai di luar UMNO. Di dalam UMNO Khairy adalah orang tidak laku kerana beliau bukannya ada sokongan yang ‘legitimate’ dalam parti itu. Beliau masih boleh bersuara sedikit ialah kerana kejayaan beliau mendapat kurang dari 40 peratus undi dari perwakilan pemuda beberapa tahun dahulu. Itu sahaja. 
 
Khairy sepatutnya memberikan tumpuan kepada pergerakkan Pemuda yang beliau pimpin itu. Khairy harus sedar yang UMNO menjadi lemah kerana pemuda-pemuda nya di cawangan-cawangan UMNO tidak bergerak dan tidak di hormati oleh masyarakat dalam kariah masing-masing. Dulu-dulunya UMNO kuat kerana peranan pemuda di akar umbi. Keadaannya zaman Khairy memimpin ini, Pemuda hanya bergerak jika ada pemimpin besar melawat atau jika ada duit untuk bergerak.
 
Yang Khairy kritik ini adalah pemimpin-pemimpin yang telah banyak bersusah payah untuk menegakkan UMNO dan BN. Semasa mereka bergerak dahulu Khairy belum lahir lagi dan semasa mereka berada dipesada kepimpinan Khairy masih berak dalam lampin lagi. Khairy semasa itu belum pun kenal yang mana satu tangan kanan untuk makan dan yang mana satu tangan kiri untuk bersuci selepas keluar dari jamban.
 
Pemimpin-pemimpin yang Khairy kritik ini bukannya dipecat oleh BN. Mereka keluar kerana tidak berpuas hati dengan perjuangan BN khususnya UMNO yang sudah menyimpang dari perjuangan asalnya. Mereka keluar UPKO dan BN kerana BN sudah tidak relevan lagi.
 
Kita ramai-ramai ingin sangat hendak tengok kemana Khairy kesudahannya, kerana dia begitu sombong dan angkuh. Belum pun tahu dan faham tentang UMNO hendak bercakap seolah-olah beliau hebat dan laku di mana-mana.
 
Saya pernah label Khairy sebagai apam tebal…masak diluar mentah di dalam. Kalau Khairy benar-benar seorang yang laku pastikan yang beliau tidak di sabotaj oleh ahli-ahli UMNO di Rembau sendiri, kerana dia bukannya laku sangat pun dalam UMNO itu.
 
Yang Khairy anggap tidak laku dalam UMNO dan BN itu, sangat laku kepada rakyat ramai. Ramai di antara yang Khairy anggap tidak laku inilah yang akan menurunkan UMNO dari memimpin negara dalam PRU yang akan datang ini.
 
Seperti matematik, formula itu penting. Dalam politik sekarang ini, mereka yang kuat dalam UMNO itu akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang ini. Mereka yang tidak laku dikalangan pemimpin UMNO itu akan menjadi laku dalam PRU yang akan datang.
 
Apa faedahnya laku dalam UMNO, tetapi tidak laku kepada rakyat? Khairy elok keringkan hingusnya dahulu dan terus melakukan introspeksi diri secara intensif. Lama kelamaan dia akan akhirnya faham siapa beliau sebenarnya dalam UMNO itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers