KOTA KINABALU, 23 JULAI: DAP mencadangkan penubuhan jawatankuasa
kebangsaan yang dianggotai semua parti politik dan NGO utama untuk
memastikan tragedi hitam 13 Mei tidak akan berulang.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mengemukakan cadangan itu
berkata, beliau masih menunggu respon daripada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, beliau juga menanti jawapan kedua-dua pemimpin itu
terhadap cadangannya untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat
bekerjasama bagi memastikan dan menjamin bahawa tragedi 13 Mei tidak
akan berulang dalam pilihanraya umum akan datang.
“Jika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjanji dengan ikhlas
untuk memastikan tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya
umum yang akan datang, ertinya, peristiwa hitam ini pasti tidak akan
berlaku.
“Mengapa Muhyiddin dan Najib masih membisu sekiranya mereka berdua
tidak mahu tragedi 13 Mei berulang?” soal beliau dalam satu kenyataan di
Tenom, Sabah, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur telah mendedahkan bahawa
UMNO dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kini menggunakan
fitnah dan taktik kotor 4R iaitu “Race, Religion, Malay Rulers and
Riots” (Kaum, Agama, Raja Melayu dan Rusuhan (ancaman 13 Mei) untuk
terus menyerang DAP dan Pakatan Rakyat.
Katanya, fitnah dan 4R itu menjadi modus operandi UMNO-BN
bagi menghadapi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah negara ini
dalam usaha terdesak mereka untuk kekal berkuasa.
Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, puak-puak propagandis
UMNO dengan menggunakan dan memanipulasi media arus perdana serta media
sosial dan alam-alam sesawang, telah menggunakan taktik kotor 3R iaitu Race, Religion and Malay Rulers (Kaum, Agama dan Raja Melayu) untuk menfitnah dan menghitamkan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Raja Melayu.
Namun, jelas beliau, ia tidak banyak memberi kesan kepada rakyat
kerana teknologi maklumat yang lebih telus berjaya membuktikan tohmahan
UMNO adalah palsu dan fitnah.
“Sejak penubuhan 46 tahun yang lalu dalam 1966, DAP telah memberi
komitmen untuk menjadi parti politik bagi semua rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum, agama atau negeri.
“Dalam pilihanraya 1969 yang pertama kali ditandingi DAP, kami telah
meletakkan calon-calon Melayu di mana dua calon Melayu dipilih sebagai
Ahli Dewan Undangan Negeri – satu dari negeri Perak dan satu lagi dari
Negeri Sembilan.
“DAP juga mempunyai beberapa Ahli Parlimen dari kalangan orang
Melayu, terutama sekali bekas Presiden CEUPACS Ahmad Nor yang dipilih
sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.
“Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa DAP menjadi parti
terkemuka sebagai parti se-Malaysia dengan cawangan-cawangan yang telah
ditubuhkan serta beroperasi berlandaskan rukun politik bukan sahaja di
semua negeri di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” tambah
beliau.
Menurut Kit Siang, semua usaha itu menyangkal terus serangan senjata
3R UMNO terhadap DAP dengan melabelkannya sebagai anti-Melayu,
anti-Islam dan anti-Raja Melayu yang jelas tiada kredibiliti atau asas.
“Sokongan DAP terhadap sistem raja-raja berperlembagaan tidak boleh
dicabar atau dipertikaikan kerana Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat
jelas menunjukkan komitmen ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk
menghormati, menyokong dan menjunjung cirri-ciri asas perlembagaan –
termasuklah peruntukan atau provisi berhubung dengan agama Islam sebagai
agama Persekutuan Malaysia dan sistem rara-raja Melayu”, tambahnya.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada pemimpin UMNO dan puak-puak
propagandis mereka yang telah sedar bahawa senjata fitnah 3R mereka
terhadap DAP sudah gagal, maka kini mengeluarkan senjata keempat dengan
ancaman satu lagi R iaitu rusuhan sekiranya UMNO-BN kehilangan kuasa
persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang. – Roketkini.com
Salam,
ReplyDeleteBlog sdr sudah pun dilinkkan, terima kasih...
terima kasih sahabat
Delete