BN SABAH SEMAKIN LEMAU?
Oleh Abdul Rahman Hashim
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dikhabarkan akan
terbang ke Sabah sabtu ini (28 Julai). Walaupun beliau akan terlibat
dengan beberapa program berbuka puasa bersama rakyat di sana, namun yang
pasti beliau juga akan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO/BN negeri
Sabah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang badai yang bakal
melanda politik UMNO Sabah, terutama melibatkan dua Ahli Parlimen BN
yang dikatakan akan meninggalkan parti masing-masing untuk menyeberangi
'Pakatan Rakyat' dalam masa yang terdekat ini.
Keributan politik Sabah yang semakin kencang sekarang ini melibatkan
Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Ahli Parlimen Beaufort yang menjadi
Timbalan Perumahan dan Kerajaan Tempat daripada UMNO dan yang terbaru
melibatkan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing, Ahli Parlimen
Tuaran yang juga Timbalan Presiden, United Pasokmomugun Kadazan Dusun
Organization (UPKO).
Kedua-dua tokoh politik Sabah ini dikatakan akan membuat pengumuman
penting tentang masa depan politik mereka pada hari Ahad ini di Sabah.
Wilfred sendiri yang telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi BN
Parlimen Tuaran baru-baru ini dikatakan akan membuat pengumuman penting
penyertaannya di dalam PKR di dalam satu majlis di Dalit, Tuaran.
Difahamkan Lajim Ukin juga akan membuat pengumuman muktamad untuk
meninggalkan UMNO pada hari yang sama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijangka akan berada di Sabah Ahad ini
untuk menyertai 'majlis sayonara BN' yang melibatkan Wilfred dan Lajim.
Apakah kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah sehari lebih awal
daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memujuk kedua-duanya supaya
tidak mengkhinati Barisan Nasional.
Kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam misi memujuk ini bermakna
Barisan Nasional Sabah bakal ditimpa musibah, kerana difahamkan
kedua-dua tokoh berkenaan ini amat berpengaruh dan mereka mampu pula
untuk memecahkan tembok besar yang boleh merobah lanskap politik Sabah,
malah senario ini juga memberi impak yang besar buat BN yang
mengharapkan Sabah terus dominan sebagai 'deposit tetap' kepada Barisan
Nasional untuk penerusan talian hayatnyamenjelang PRU13.
Apakah akan ada lagi siri mensayonarakan Barisan Nasiponal selepas
Wilfred dan Lajim melakukan kejutan ini? Apa yang pasti ialah Wilfred
dan Lajim bukan berseorangan dalam merangka tindakan politik ini, malah
sebelum ini Datuk Yahya Lampong juga telah pun meninggalkan UMNO. Mantan
Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam juga telah mendahului Lajim dan
Wilfred meninggalkan UMNO/BN. Potensi beberapa orang lagi Ahli Parlimen
BN Sabah yang akan urut melompat semakin bertiup kencang. Kelibat
seorang Ahli Parlimen UMNO yang sering menyambut Anwar di Lapangan
Terbang Kota Kinabalu juga indikasi yang kuat bahawa akan ada lagi yang
menyusul untuk menyertai PKR.
Sama-samalah kita menantikan apakah hasil yang boleh Muhyiddin lakukan
dalam misinya Sabtu ini. Kegagalan Muhyiddin juga bermakna Anwar telah
berjaya memuktamadkan Lajim Ukin & Wilfred Bumburing berada di dalam
Pakatan Rakyat. Kejayaan BN memenangi 24 kerusi daripada 25 kerusi
parlimen yang dipertandingkan dalam PRU12 yang lepas mungkin sukar lagi
dicapai, malah kemelut ini semakin membuatkan Najib tidak lagi konsisten
untuk mengilhamkan tarikh PRU13. Semakin dilewatkan PRU13, BN bagaikan
biskut yang lemau akibat serangan angin menembusi peti besi.