PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Wednesday, 25 July 2012

KENAPA PAIRIN GILAP KASUT MUSA DAN NAJIB?

Oleh : JEFRON JAIMIN

SETIAUSAHA Agung, Datuk Henrynus Amin, menyelar Datuk Dr. Jeffrey Kitingan kerana Dr. Jeffrey menegur abangnya, Tan Sri Pairin Kitingan yang tidak berhenti-henti menghimpunkan pujian ke atas Ketua Menteri Datuk Musa Aman dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, PBS pastinya kecewa dengan tindakan terbaru Dr Jeffrey Kitingan yang mengkritik abangnya sendiri yang merupakan presiden PBS, anggota Parlimen Keningau dan anggota Dewan Undangan Negeri Tambunan, kerana memuji kepimpinan BN negeri dan persekutuan.
"Apa salahnya untuk menyatakan penghargaan parti kepada kepimpinan BN negeri dan persekutuan atas semua perkara baik yang telah dilakukan demi manfaat rakyat Sabah?" soalnya. “Ini mencerminkan keyakinan PBS terhadap kepimpinan dan dasar-dasar Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah.”

Saya ingin menjawab soalan Henrynus, seperti berikut:

Para pemimpin atasan PBS nampaknya tidak sedar atau sengaja tidak menerima hakikat, bahawa sebenarnya kedudukan mereka di hati rakyat, terutama rakyat Kadazandusun dan Murut di Sabah, sudah lama luntur, pudar dan basi.

Kita tidak lagi nampak apa-apa yang membanggakan dengan tindakan Pairin yang mempunyai imej pengampu, berdiri di belakang Musa dengan senyum akur, menyokong dan memuji para pemimpin Umno, seolah-olah Pairin sudah menemui satu barisan idola yang disembahnya; yang kasut mereka mesti digilap siang dan malam.

Orang KDM sudah lama memandang ini sebagai sesuatu yang sangat memalukan bangsa mereka! Mereka malu Huguan Siou mereka bersikap pengampu, seperti kerbau dicucuk hidung, seolah-olah Huguan Siou itu telah kehilangan pedangnya, telah tumpul giginya dan telah bisu mulutnya.

Paling terasa juga, Pairin sebagai Huguan Siou, ketara sudah buta matanya kepada kehilangan maruah bangsanya dan telah pekak telinganya kepada rentetan 1001 rungutan, resah gelisah, kekecewaan, frustrasi dan ketakutan mereka sebagai satu bangsa gagah berani yang telah mewarisi tanah Kinabalu ini sejak zaman puntung berasap!

Apa erti 'Huguan Siou'? 'Hugu' (lugu) bermakna teras (bahagian keras di bahagian tengah batang kayu) dan 'Siou' bermakna berani. Maka 'Huguan Siou' bermakna 'Yang Paling Berani'.

Di zaman dahulu 'Huguan Siou' di Penampang adalah 'Ketua Pejuang' untuk melindungi wilayah yang diduduki oleh orang Kadazan daripada serangan musuh. Dia berani berkorban, berani berperang, berani mati semuanya untuk kepentingan bangsanya.

Dalam makna perjuangan yang agak berbeza, tetapi dengan konsep yang sama, Huguan Siou hari ini juga diharapkan untuk berjuang menentang apa juga pihak yang cuba menjatuhkan bangsa Kadazandusun sama ada secara halus atau terang-terangan.

Dalam keadaan Pairin, Umnolah musuhnya sejak dari mula, Umnolah yang telah mengganggu gugat pemerintahan PBS sejak 1985 hinggalah kuasa PBS yang diperolehi dari undi sah telah dirampas oleh Umno pada tahun 1994.

Sejak itu juga Umnolah yang berusaha menjatuhkan kedudukan KDM sebagai peneraju kepimpinan di Negara Kinabalu. Orang Semenanjung selalu berkata bangsa Kadazan adalah ”Bangsa yang paling degil di Malaysia”; semenjak zaman Donald stephens dan Peter Mojuntin, maka bangsa perlu dikontrol dan diajar.

Kerana satu masa dulu KDM merupakan bangsa yang majoriti di Sabah dan jumlah dan susunan kawasan pilihanraya negeri memberi kelebihan bagi KDM untuk membolehkan mereka memerintah, maka Umno telah mengubah kembali sempadan-sempadan pilihanraya. Sekarang sudah mustahil kawasan KDM boleh melebihi yang lain dan memerintah sebagai kumpulan majoriti.

Di samping itu Kuala Lumpur juga telah melaksanakan Projek IC secara rahsia. Tetapi rahsia ini sudah terbongkar dan semua orang tahu inilah yang telah menyebabkan penduduk Sabah meledak begitu dahsyat (meningkat 400% sejak 1970-an) hingga kita sekarang dibanjiri oleh para pendatang dari Filipina dan Indonesia.

Akhirnya Umno telah berjaya 'mengajar' orang KDM dan sekarang kita bukan lagi bangsa yang paling degil tetapi bangsa yang sudah ditundukkan, sudah patah, sudah jinak, sudah kalah. Untuk hidup mesti mahu pandai mengampu pada Umno!

Dalam keadaan ini Pairin yang dipanggil 'Huguan Siou' dengan senyum lebar telah meletakkan senjata dan tunduk dan mengampu kepada bekas musuhnya yang terus memotong kaki KDM, menikam kita dari belakang dan dari depan, terus berusaha untuk menjatuhkan maruah dan kedudukan KDM.

Sekarang dengan secara halus dan rahsia Umno sedang membantu orang Pakistan, Suluk dan Bugis untuk menjadi lebih kukuh kedudukan mereka di Sabah. Orang Bugis sekarang menuntut untuk diiktiraf sebagai Bumiputera dan juga anak Negeri (Native). Manakala Pairin terus berdiam diri.

'Huguan Siou' dengan ekor disembunyikan di celah-celah kangkangnya, terus senyum lebar dan mengangguk-angguk dan akur pada setiap cadangan dan perbuatan Umno.

PBS mendakwa ia berunding dengan Umno (Henrynus berkata mengadakan 'constructive engagement') untuk kebaikan KDM. Ini satu pembohongan besar yang dibuat hanya sebagai alasan untuk terus menikmati gaji, elaun, pencen dan segala kesitimewaan yang mereka nikmati dalam kerajaan BN. Sama ada bangsa mereka terus ditindas dan terus tenggelam itu tidak penting bagi mereka!

Itulah hakikatnya! Huguan Siou di sana sini dianggap oleh bangsa KDM sebagai 'Huguan Talau' (Raja Penakut).

Di sebaliknya Dr. Jeffrey, adiknya, pula yang paling lantang menentang rejim Umno/BN, mendedahkan segala rupa penindasan dan penipuan yang dilakukan oleh Umno.

Sejak 1980-an beiau telah mendedahkan perlanggaran-perlanggaran terhadap 20 Perkara; ditangkap dan masuk penjara dan kini terus bersikap sebagai pejuang dan pembela yang tidak pernah lelah.

Saya berpendirian bahawa 'Huguan Siou' sebenar ialah Datuk Dr. Ffrjeey Kitingan, bukan Pairin yang penakut dan tidak bertanggungjawab. Pairin telah mengkhianati bangsanya sendiri.

Maka saudara dan saudari sebangsa saya, itulah sebabnya 'Sangat Silap' bagi Pairin tunduk dan terlalu memuji Musa dan Najib. Pairin harus sedar bahawa setiapkali dia memuji begitu, maruah bangsanya turun selangkah lagi dan mereka merasa bertambah malu, kecewa dan terhina oleh perbuatan ’Huguan Siou’ mereka sendiri! Henrynus berkata, ”Apa salahnya memuji?” Nah sekarang dia sudah dapat jawapannya.

Henrynus harus sedar bahawa dia juga adalah pengkhianat bangsanya. Dia pelakon pintar yang terus mengangkat kaki, untuk kepentingan sendiri!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers