Persatuan Veteran Umno mengeluarkan arahan kepada anggotanya supaya
memboikot perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X
berikut kenyataan seorang pegawai tinggi syarikat AirAsia X yang didakwa
mencerca akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.
Laporan edisi
hujung minggu akhbar tersebut hari ini memetik kenyataan setiausaha
Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub yang mahu anggota persatuan tersebut
menunjukkan reaksi balas itu atas sikap yang ditunjukkan ketua pegawai
eksekutif AirAsia X Azran Osman-Rani.
Tindakan itu juga ekoran
kegagalan AirAsia X memecat Azran dari jawatan tersebut, kata Mustapha
yang menganggap dakwaan cercaan ke atas Utusan itu sebagai penghinaan ke
atas kaum Melayu.
"Kenyataan Azran benar-benar menghina Melayu.
Oleh kerana AirAsia X tidak mahu menghukumnya, maka veteran UMNO akan
menghukum AirAsia X dan AirAsia dengan memboikot kedua-dua syarikat ini.
"Bagi
kami Azran adalah lambang Melayu yang lupa identiti bangsanya. Inilah
Melayu yang dikatakan kacang lupakan kulit. Individu seperti inilah yang
menjadikan Melayu hilang identiti malah sanggup menggadai maruah bangsa
sendiri," katanya.
Menurut Utusan, Azran dalam tulisannya di
Facebook menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by
Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman.
Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan),"
Azran juga
mengumumkan untuk menarikh balik iklan AirAsia, di Utusan Malaysia dan
menyebut: "Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca merosot
kerana minda pengarang sempit. Utusan tidak mewakili Melayu Malaysia."
AirAsia merupakan antara pembeli ruang iklan utama di media Malaysia. (Malaysiakini)