KOTA
KINABALU : Pencerobohan warga selatan Filipina di Lahad Datu awal
Februari lepas tiada kaitan dengan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) bagi menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah, kata Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Beliau berkata polis membuat pertemuan dengan penceroboh dan perkara itu tidak ada kaitan dengan RCI.
"Kita
telah mengenal pasti mengapa mereka mendarat di Lahad Datu. RCI bukan
punca kejadian ceroboh itu," katanya menjawab soalan anggota panel
Suruhanjaya bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor
Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon.
Hamza
juga berkata pencerobohan itu merupakan contoh kebanjiran pendatang
asing ke Sabah boleh mengancam keselamatan di negeri itu kerana mereka
yang terlibat mendapat sokongan rakan senegara yang mempunyai ikatan
kekeluargaan atau kenalan yang bermastautin Sabah.
Menjawab
soalan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, Hamza
berkata ancaman keselamatan negara bukan sahaja berpunca daripada
pendatang asing malah warga tempatan.
"Penceroboh
ini juga dapat masuk ke negara ini kerana mendapat sokongan daripada
rakyat tempatan, tetapi yang terlibat itu tidak ramai," katanya ketika
menjawab soalan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar
Sabah Tan Sri Herman J.Luping
Hamza,
yang dilantik ke jawatan tertinggi polis di Sabah pada 2010, juga
menafikan penceroboh dapat masuk ke negeri ini kerana mereka memiliki
kad pengenalan.
"Saya
terlibat dalam kes pencerobohan Lahad Datu ini sejak dari awal lagi.
Saya yakin 100 peratus bahawa penceroboh orang Suluk itu adalah
pendatang tanpa izin, mereka tidak mempunyai kad pengenalan," katanya
sambil menambah penceroboh sudah ditahan mengikut Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta didakwa di
mahkamah.
Menjawab
soalan peguam pemerhati dari Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk John
Sikayun, Hamza berkata beliau tidak boleh memberi jawapan sama ada
pencerobohan di Sabah akan berlaku lagi.
Bagaimanapun,
pegawai polis itu yakin penubuhan ESSCOM mampu mencegah kemasukan
pendatang tanpa izin sejajar matlamat penubuhannya bagi memastikan
kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sabah.
Kepada
soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Hamza berkata Indeks Jenayah
melibatkan warga asing di Sabah kurang daripada 30 peratus sejak tahun
2000 hingga 2011.
Beliau berkata situasi itu pada pandangannya adalah tidak membimbangkan.
"Kalau
kita lihat peratus indeks jenayah yang dilakukan pendatang tanpa izin
ialah antara 20 hingga 25 peratus, ia tidak mencecah 30 peratus,"
katanya.
Hamza
juga tidak bersetuju dengan cadangan Manoj bahawa peratusan jenayah
yang dilakukan warga asing dan warga tempatan adalah sama, iaitu 50-50.
"Sebagai
contoh, bagi Januari hingga Disember 2000, jumlah tangkapan ialah 1,258
dan yang melibatkan warga Filipina ialah 151 orang , Indonesia 153
orang manakala 934 warga tempatan," katanya.
Beliau
berkata bagi menangani masalah pendatang tanpa izin, polis Sabah yang
berkekuatan lebih 6,000 anggota menjalankan pelbagai operasi selain
bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen bagi
kesalahan melibatkan dokumen perjalanan.
Ditanya
pengerusi Suruhanjaya itu, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang bekas
Hakim Besar Sabah dan Sarawak sama ada polis mempunyai logistik dan
anggota yang mencukupi dalam menangani jenayah oleh pendatang tanpa
izin, Hamzah mejawab 'setakat ini cukup'.
Pada peringkat ini, Manoj dengan nada bergurau berkata "jika anda ingin meminta jumlah anggota polis ditambah, inilah masanya".
Menjawab
soalan John, saksi itu berkata jika polis mendapati pendatang tanpa
izin yang ditahan memiliki kad pengenalan yang meragukan, mereka akan
merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa lain seperti Jabatan
Imigresen. (Bernama)