GALERI GAMBAR
Selepas berlangsungnya lapan siri perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara, kini perhimpunan kesembilan dan terakhir yang digelar 'Perhimpunan Suara Rakyat 505' - akan berlangsung di Petaling Jaya jam 5 petang ini.
Perhimpunan, di mana NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) adalah antara penganjur utamanya, diadakan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya dan salahlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi (kanan) dilaporkan berkata perhimpunan hari ini merupakan "satu tindakan provokasi" dan tidak mengikut peruntukan di bawah APA.
Perhimpunan sebelum ini telah menarik puluhan ribu orang -
yang terbesar diadakan di stadium Kelana Jaya tidak jauh dari tempat perhimpunan hari ini. Kira-kira 120,000 orang membanjiri perhimpunan pada 8 Mei itu - sama ada di luar atau di dalam stadium yang penuh sesak.
Bagi perhimpunan hari ini - di Dataran Petaling Jaya - mempunyai kapasiti maksimum kira-kira 80,000. Jika mengambilkira perhimpunan sebelum ini, maka ia juga dijangka dibanjiri puluhan ribu hadirin.
LAPORAN LANGSUNG
8.00pm: Hujan renyai-renyai tetapi orang ramai masih tidak berganjak, dan ada yang membuka payung.
7.30pm: Jumlah hadirin meningkat kepada 10,000 orang dan jumlah itu kurang daripada yang dijangkakan oleh pihak penganjur.
7.15pm: Ketua NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, berucap menggesa peserta mengajak rakan-rakan mereka menyertai perhimpunan tersebut.

Badrul Hisham, yang dipercayai dikehendaki pihak polis kerana didakwa membuat "ucapan berunsur hasutan", berkata penganjur perhimpunan itu berkempen untuk tiga isu:
1. Bahawa semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan jawatan;
2. Pilihan raya diadakan semula di kawasan di mana berlaku penipuan; dan,
3. Menubuhkan tribunal rakyat untuk membolehkan orang ramai melaporkan penipuan pilihan raya.
Selepas Badrul Shaharin bercakap, majlis itu ditangguhkan seketika untuk solat maghrib.
6.45pm - Aktivis pelajar KS Bawani, yang menjadi terkenal kerana ungkapan "Listen, listen, listen" yang turut berucap, menggesa hadirin supaya mengajak rakan-rakan dan saudara-mara mereka supaya menyertai perhimpunan untuk menegakkan hak rakyat.
6.40pm: Pengacara majlis, aktivis mahasiswa Ekhsan Bukharee menggesa peserta yang berada di kawasan tengah padang agar tidak merokok demi keselesaan peserta wanita dan golongan lain yang tidak merokok.
6.27pm: Seorang pelawak Leman Raja Lawak dan artis Abby Abadi turut muncul di pentas pidato petang ini.

"Tanya sama Rosmah, kenapa rambut kembang, nanti jawab Rosmah, tupai buat sarang," kata Leman yang menyanyikan lagu 'Tanya Sama Pokok' dengan lirik diubah suai.
6.20pm: Timbalan ketua menteri Pulau PInang Rashid Hasnor ketika berucap mendakwa Pakatan telahpun memenangi pilihan raya umum ke-13 apabila meraih 51 peratus undi popular.
"Walaupun kita tewas, tapi sebenarnya kita menang," katanya.
Beliau juga meminta orang ramai agar terus menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Satu undi untuk Pakatan adalah satu undi bagi Anwar menjadi PM,katanya.

Menurut Azmin, beliau hadir ke himpunan ini pada sebelah petang kerana akan menghadiri majlis di Batu Caves anjuran ADUN Batu Caves, Amir Shari pada sebelah malam.
5.45pm: Seorang wakil dari NGO menuntut bayaran Royalti minyak kepada Kelantan dalam ucapannya menggesa agar SPR diletakkan di bawah tanggungjawab parlimen dan bukannya di bawah jabatan perdana menteri.
"Kami, anak muda Malaysia, mahu pilihan raya umum diadakan semula," katanya.
5.40pm: Imam masjid yang pernah dipenjarakan kerana membaling selipar kepada hakim, Imam Hoslan dalam ucapannya memberitahu orang ramai isterinya melahirkan anak ke-11 mereka sewaktu beliau dipenjarakan.

5.30pm: Hanya beberapa orang anggota polis dilihat berkawal di perhimpunan hari ini. Sebilangan anggota tersebut dilihat mengawal lalulintas.
5.27pm: Aktivis siswa Safwan Anang menjadi individu pertama berucap.
“Ada sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini kenyataan bodoh, betul atau tidak?," katanya yang disambut dengan laungan "Ya" oleh para peserta.

Malah, individu yang dilihat sedang menyeberang jalan dari kompleks Amcorp Mall juga berhenti di tengah jalan dan berdiri tegak sewaktu lagu kebangsaan dinyanyikan.
5.15pm: Pengerusi majlis memulakan acara dengan mengumumkan tiga tujuan utama untuk mengadakan perhimpunan hari ini:
- menuntut pemimpin SPR meletak jawatan.
- menuntut pilihan raya diadakan semula di kawasan yang disyaki berlaku penipuan
- menyokong tribunal BERSIH untuk menyiasat dakwaan kes penipuan pilihan raya.
4.45pm: Jumlah peserta meningkat kepada kira-kira 500 orang dalam suasana yang semakin meriah.
Salah seorang peserta, Yusri Mohd Yusof berkata perhimpunan ini bagi menyatakan kemaharan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya atas dakwaan penipuan yang berlaku dalam pilihan raya.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa perhimpunan hari ini tidak menepati keperluan Akta Perhimpunan Aman 2012, Yusri berpendapat sebaliknya.
Katanya, para peserta tidak menyebabkan kekacauan atau mengadakan perhimpunan jalanan.
"Kita hanya berhimpun di sini secara aman," katanya.
4.42pm: Salah satu gerai yang dibuka di kawasan perhimpunan ini didapati cuba mengumpul 100,000 tandatangan individu yang menuntut demokrasi.

4.30pm: Kelihatan beberapa trak FRU yang melalui jalan dekat padang Dataran PJ.
Bagaimanapun, tidak ada anggota polis dilihat berhampiran padang.

Kira-kira 50 peserta protes berbaris Persiaran Barat, melaungkan "Reformasi", "Hidup Rakyat" dan beberapa slogan lain.
Mereka menggesa kereta yang melalui jalan utama untuk membunyikan hon tanpa sokongan.
Pemimpin DAP, Hew Kuan Yau aka 'Superman' menjual baju-T yang memaparkan foto wajahnya bersama logo Superman. Dari masa ke semasa, penceramah popular itu diminta peminatnya untuk bergambar.
3.01pm: Kira-kira 100 orang kini berada di sekitar dataran tersebut, kebanyakannya berpakaian hitam dan mencari perlindungan dari pancaran panas matahari yang sekitar 33 darjah Celsius dengan yang terang.
Ada yang memilih untuk membeli-belah di Amcorp Mall yang berhawa dingin di seberang jalan, dengan berpakaian baju hitam perhimpunan Blackout 505.

Walaupun notis mempromosi perhimpunan itu - yang diedarkan melalui media sosial - termasuk amaran "Vuvuzelas diharamkan", tetapi ia masih dapat didengar.

Lalulintas masih lancar di kawasan itu, tetapi jalan empat lorong di luar padang semakin sesak apabila lebih banyak kereta diletak di tepi jalan, memaksa trafik menggunakan hanya satu lorong di setiap arah.
[Berita lanjut menyusul]
- Malaysiakini