1. Seketika dulu YAB Perdana Menteri dan BN mungkin beranggapan bahawa
langkah melengah - lengahkan pembubaran kabinet adalah meletihkan
pembangkang dan menguntungkan mereka. Saya juga berpandangan demikian
pada awalnya. Setelah lebih 11 kali meramal tarikh bubar kabinet sejak
tahun lepas, semuanya tidak menjadi. Terasa bodoh pula diri, menunggu
saban fajar bilakah detik kabinet atau parlimen dibubarkan. Pastinya
pihak BN girang mempersenda PR yang termangu - mangu menanti tarikh
bubar seperti pengantin menunggu detik imam tiba untuk aqad nikah.
2.
Lebih menarik, PM sanggup melanjutkan tarikh pembubaran tanpa sebarang
pengumuman atau penetapan tarikh melepasi period 5 tahun tempoh antara 2
pilihanraya iaitu 8 Mac 2008 hingga 23 Mac 2013 [sehingga kenyataan ini
ditulis].
3. Negara kini dilanda demam bubar. Ia bukan lagi satu
persendaan tetapi rakyat mendesak dan menuntut supaya PM berani
membubarkan kabinet secepat mungkin untuk rakyat memperbaharui mandat
kepimpinan dan pemerintahan negara. Jika anda rajin belayar di laut
cyber, 1001 jenaka, tuntutan, xpresi, rayuan dan permohonan supaya
kabinet dibubarkan dan PRU 13 dipanggil segera.
4. Selesema bubar
ini bukan hanya membuatkan penyokong Pakatan Rakyat berair hidung
tetapi penyokong Barisan Nasional juga mula bersin tidak menentu. Mereka
pun naik hairan kenapa PM masih "keras kepala" tidak mahu membubarkan
kabinet dan lebih penting tidak mahu mengisytiharkan tarikh pembubaran
itu lebih awal.
5. Menurut pengamatan saya, semakin lama keadaan
ini berlangsung, rakyat makin bosan dan muak dengan sikap PM. Tanda
tanya terus bersarang dalam kepala mereka, kenapa PM masih tidak mahu
membubarkan kabinet ? Apakah PM hilang keberanian ? atau PM tidak
bersedia menghadapi kemungkinan ? Apakah UMNO masih lemah ? masih kronik
kah pertelagahan dalaman BN ? Makin lama, makin banyak tanda tanya itu
timbul dibenak rakyat.
6. Fenomena ini sebenarnya menguntungkan
Pakatan Rakyat. Dimana rakyat seperti mula menghidu kelemahan besar yang
sedang dilindungi oleh Barisan Nasional menyebabkan PM sehingga kini
dilihat tidak bersedia mengisytiharkan tarikh pilihanraya meskipun
terdapat beberapa buah negeri terpaksa bubar secara automatik kerana
tamat tempoh.
7. Mahu saja saya mencadangkan agar PM juga tidak
perlulah isytihar tarikh bubar sebaliknya biarlah ia bubar sendiri
secara automatik menjelang 28 April nanti. Sementara itu PM boleh cipta
sejarah. Malah ia sangat baik untuk Pakatan Rakyat terus menghimpit
Barisan Nasional ketepian gelanggang dan rakyat akan terus meng"booo"
mereka atas kegagalan membubarkan kabinet pada masa yang tepat dan
sesuai.
8. Saya sendiri tidak tahu, kesempatan bagaimana lagi
yang ditunggu oleh PM setelah pelbagai langkah popular telah diambil
oleh beliau untuk memenangi dan membeli hati rakyat. Apa lagi yang lebih
besar dari BR1M yang menelan kos puluhan jutaan ringgit. Himpunan
ulamak dan umarak telah selesai, Himpunan sejuta belia pun sudah.
Terbaru himpunan wanita juga sudah diselesaikan. Buku Rosmah juga telah
dilancar. Ilham apa lagi agaknya yang ditunggu oleh PM, melainkan rakyat
semakin cuak dan give up menunggu dan menanti. Penantian itu satu
penyeksaan.
9. Saya kira, rabu depan bersamaan 27 Mac 2013, YAB
PM bolehlah memanggil mesyuarat terakhir kabinet seperti rutinnya dan
sebelum itu, YAB PM naik mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk perkenan
tarikh bubar kabinet. Sejurus selesai mesyuarat kabinet, PM boleh segera
umumkan kepada rakyat pembubaran kabinet bagi membolehkan SPR
menetapkan tarikh PRU ke 13. Saya kira, rakyat masih mampu bersabar
menanti tarikh 27 Mac ini.
10. Jika 27 Mac 2013 ini, YAB PM masih
tidak bersedia untuk bubarkan kabinet. Saya boleh gambarkan wajah -
wajah rakyat negara ini yang semakin cuak dan muak dengan game UMNO dan
BN. Wajah kusam yang tension dalam penantian. Mungkin penyokong BN
sendiri akan boring dengan situasi seperti itu. Sehari dua ni pun sudah
ada gerakan kempen BP1M [Bubar Parlimen 1 Malaysia]. Andai ia masih
berlarutan, kempen ini akan membesar dan saiznya akan mencetus gelombang
baru yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap BN dan PM sebagai
kerajaan dan pemerintah yang tiada keyakinan diri. Justeru itu, kepada
YAB Perdana menteri, dengarlah nasihat saya, bubarlah segera dan paling
lewat 27 Mac ini. Jika tidak, YAB PM akan berdepan dengan situasi yang
lebih sukar. Percayalah !
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM