MANILA
25 Mac - Kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutannya ke atas
Sabah selepas Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima hari ini membayangkan
akan berbuat demikian.
Akhbar Filipina melaporkan, perkara itu
mungkin berlaku selepas De Lima mengesahkan bahawa Jabatan Kehakiman
telah mengemukakan satu cadangan daripada sudut undang-undang kepada
Presiden Benigno Aquino III berhubung tuntutan tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan dokumen berkenaan.
De Lima berkata, Filipina mungkin mengemukakan isu tersebut kepada 'tribunal berkaitan'.
"Persoalan yang timbul sekarang, adakah kami mempunyai alasan kukuh dan
sah jika membawa perkara ini kepada tribunal berkaitan," katanya kepada
wartawan di Persidangan Kumpulan Pakar Persaingan ASEAN di sini hari
ini.
Beliau berkata, Jabatan Kehakiman telah melakukan kajian
daripada aspek undang-undang berhubung tuntutan ke atas Sabah dan
mengemukakan cadangan itu kepada Aquino untuk diluluskan.
"Terpulang kepada Presiden sama ada beliau mahu menimbang kajian itu atau tidak," katanya.
Aquino sebelum ini dilapor menugaskan Jabatan Kehakiman dan Jabatan
Luar supaya meneliti kesahihan tuntutan Kiram ke atas Sabah.
Menurut beliau, isu pemilikan Sabah oleh pengikut Jamalul Kiram III
adalah satu pengulangan sejarah, ketika bekas Presiden, Ferdinand Marcos
melancarkan rancangan untuk menceroboh Sabah pada 1968, yang dikenali
sebagai pembunuhan Jabidah. - Agensi