LAHAD DATU – Anggota keluarga individu tempatan yang dipercayai tali
barut pengganas Selatan Filipina dan dikenali sebagai ‘Mat Bom’,
mendakwa mereka langsung tidak tahu dan tidak terlibat dengan kegiatan
lelaki itu kerana tinggal berasingan dan sudah lama tidak berjumpa.
Seorang daripada lapan anak Mat Bom mendakwa dia dan anggota keluarga
yang lain tinggal di Kampung Tanjung Labian manakala bapanya pula di
Kampung Tanduo.
“Kami tahu polis cari ahli keluarga Mat Bom. Kami dengar dari cerita
orang kampung yang Mat Bom ini dikehendaki, tapi kami langsung tidak
tahu apa-apa mengenai aktivitinya,” katanya kepada Bernama di Pusat
Pemindahan Embara Budi di Felda Sahabat 17.
Wanita itu dan ibunya yang mendakwa ditahan pasukan keselamatan sejak
20 hari lepas, telah dibebaskan dan dibawa ke pusat itu semalam.
Mat Bom dipercayai terlibat dengan pengganas Sulu dengan menyebarkan
risalah menghasut penduduk Sabah berketurunan Sulu supaya menyertai
mereka dalam kegiatan menentang negara.
Mat Bom, seorang warga emas bersama lapan pengikutnya dipercayai
saki-baki pengganas ditahan ketika cuba memasuki pusat penempatan Embara
Budi itu pada 8 Mac lepas dengan menyamar sebagai penduduk kampung.
Menurut penduduk kampung, gelaran Mat Bom diberi kepada pengganas itu
kerana suka mengugut orang kampung dengan ugutan bom jika ingkar atau
cuba melawannya.
Sementara itu, seorang cucu Mat Bom berkata apa yang berlaku
melibatkan kegiatan Mat Bom tiada kena-mengena dengan anggota keluarga
yang lain.
“Polis datang cari kami dan bawa kami ke Lahad Datu untuk ditahan.
Kami bagi tahu yang kami tiada kaitan walaupun kami ahli keluarga.
“Kami sudah lama tidak ke Kampung Tanduo kerana tinggal di Kampung
Tanjung Labian. Kami tidak tahu yang Mat Bom terlibat dengan pengganas,”
katanya.
Cubaan untuk mendapatkan reaksi isteri Mat Bom gagal kerana
difahamkan wanita itu kurang fasih berbahasa Melayu dan keadaannya uzur.
Anggota keluarga Mat Bom lain yang kebanyakannya wanita itu kelihatan
takut dan enggan ditemuramah selain masalah komunikasi dan bahasa
pertuturan.
Sementara itu menurut seorang anggota pasukan keselamatan yang berada
di pusat penempatan itu, keluarga Mat Bom dijangka diasingkan daripada
penduduk lain untuk tujuan keselamatan. – Bernama