Oleh : M RAMLI
TANPA mengambil kira keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 tahun 2008 dan juga wakil rakyat katak yang lompat sini sana, dalam simpanan deposit BN ada 140 kerusi Parlimen dan 305 DUN.
Kemenangan 63% di Parlimen memberi hak BN untuk membentuk kerajaan, tetapi kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen meletakkan BN dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali Parlimen bersidang.
Angka-angka tersebut juga membentuk paras pencapaian minimum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengharungi PRU akan datang.
Istilah minimum digunapakai kerana Najib sedang pening kepala menguruskan senarai calon yang panjang lebar di kawasan-kawasan yang banyak kod warna sehingga ada calon yang putih pada bulan April, tiba-tiba jadi kelabu pada bulan Jun, masuk bulan Ogos entah silap siapa, nama yang sama jadi hitam.
Biar apapun yang dibicarakan mengenai calon atau kod warna kawasan, untuk memperoleh majoriti 2/3, BN perlukan tidak kurang daripada 148 kerusi Parlimen, dengan harapan kerahan tenaga mengejar majoriti 2/3 turut membawa kepada rampasan kembali tampuk kuasa di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor serta memberi legitimasi kepada 'kemenangan' BN di Negeri Perak.
Mungkin para pembesar di Putrajaya dan PWTC semakin merasai kepanasan rungutan penyokong BN di peringkat akar umbi mengenai permasalahan yang melanda kerajaan, sampai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memberi amaran bahawa mereka yang didapati cuba sabotaj calon parti dalam PRU akan disingkir.
Persoalannya, kenapa hanya beri amaran sekarang bila PRU 13 sudah hampir? Bukankah amaran sebegini akan menyukarkan lagi proses perpaduan di peringkat akar umbi atau amaran ini terpaksa diberi kerana para pembesar di Putrajaya dan PWTC sudah mengambil keputusan untuk menurunkan calon 'payung terjun' di kawasan-kawasan panas?
Untuk dicalonkan, seseorang itu mestilah mempunyai kualiti 'Winnable', maka meriahlah sembang di kedai kopi dan warung mengenai siapa 'WC' atau 'Winnable Candidate' yang berjaya memikat hati para pembesar parti, atau isteri-isteri pembesar tertentu. Definisi WC ini berbagai-bagai, tahap penerimaan mereka juga berbeza mengikut kawasan.
Oleh yang demikian, bagi member justifikasi kepada keputasan mengetengahkan bidan terjun, pujukan halus seperti “kepentingan parti mendahului kepentingan individu” dan “pengorbanan demi perjuangan parti” kini menanti giliran untuk dipaparkan menerusi media masa dan ucapan-ucapan pemimpin parti.
Bagaimanapun, para pembesar parti yang selama ini lantang berhujah mengenai perjuangan parti dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada agenda parti perlu sedar akan tanggungjawab lebih besar yang menanti mereka.
Sekiranya pengorbanan demi parti dituntut untuk memastikan parti terus gah dan bertakhta, kenapa pengorbanan itu hanya daripada satu pihak sahaja dan bukannya diteladani oleh para pembesar yang sudah lama berkuasa hasil sokongan kuat orang-orang di bawah?
Dalam erti kata yang lebih mudah, beranikah para pemimpin kanan parti dalam mempertaruhkan kekuatan politik dan populariti mereka di kawasan-kawasan hitam/kelabu hitam pada PRU akan datang demi menyelamatkan kawasan tersebut daripada terus dijajah oleh pihak pembangkang?
Beranikah mereka, atau pemimpin anak jantan sebegini sudah pupus dalam UMNO?
Pada PRU ke-6 yang berlangsung pada tahun 1982, President MCA pada masa tu, Datuk Seri Lee San Choon, memimpin parti beliau menentang serangan hebat daripada DAP.
Pada waktu itu, MCA berhadapan dengan krisis keyakinan daripada para pengundi Cina yang pada umumnya menganggap calon MCA hanya boleh menang dengan undi Melayu.
Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP pada masa itu, sering mengejek MCA dan memperkecilkan keupayaan MCA dalam meraih sokongan pengundi Cina. Malah, Kit Siang turut mencabar Lee San Choon untuk bertandingan di mana-mana satu daripada 12 kawasan majoriti pengundi Cina bagi membuktikan bahawa MCA bukan hanya mengharap ehsan pengundi Melayu.
Berhadapan dengan serangan politik bertubi-tubi daripada pembangkang dan demi mengembalikan semangat ahli-ahli parti dalam berhadapan dengan para pengundi Cina, Lee San Choon menjawab cabaran Kit Siang dengan mengambil keputusan berani untuk bertanding di Parlimen Seremban, iaitu salah satu kubu kuat DAP pada waktu itu yang menjadi 'jajahan' Pengerusi DAP, Dr Chan Mon Hin.
Ironinya, Kit Siang yang kuat mencabar orang memilih untuk tidak menyahut cabaran San Choon dengan alasan Seremban kawasan Mon Hin. Lantaran dengan itu, pertandingan di kawasan Parlimen menemukan dua gergasi politik Cina dalam satu pertarungan yang bakal menentukan hidup-mati parti masing-masing.
Semangat anak jantan Lee San Choon memilih untuk berhadapan dengan musuh kuat di kawasan paling hitam membuahkan hasil lumayan kerana bukan sahaja beliau menewaskan Pengerusi DAP di Seremban, strategi beliau bertanding di kawasan hitam juga menaikkan semangat ahli-ahli parti di setiap peringkat untuk berjuang habis-habisan bagi memenangkan parti di seluruh Negara.
Pada PRU tersebut, MCA di bawah pimpinan Lee San Choon memenangi 27 kerusi Parlimen, menjadi kemenangan di Seremban satu bonus yang cukup bersejarah dan dihormati para pengundi Cina.
Melihat pada konteks masa kini di mana perang saraf dan kempen PRU sudah jauh berbeza berbanding tahun 80-an, semangat dan keberanian Lee San Choon sudah tidak banyak kelihatan dalam diri pemimpin sekarang.
Rata-ratanya pemimpin besar UMNO cukup selesa dengan jawatan besar masing-masing dan undi pos yang memberi jaminan kemenangan, bolehlah mereka berceramah besar mengenai betapa pentingnya ahli parti melakukan pengorbanan demi kelangsungan perjuangan parti.
Persoalannya, kenapa ahli-ahli parti yang menaikkan pemimpin-pemimpin besar ini kerap dikorbankan, pemimpin besar pula selamba rumah besar isteri dua dan bercuti sakan di London?
Mengapa setiap kali dibicarakan mengenai isu perjuangan parti dan memenangkan kawasan hitam/kelabu hitam, tidak pernah biar pun sekali ada pemimpin besar yang merelakan diri untuk bertanding di kawasan-kawasan tersebut bagi memberi nafas baru kepada ahli-ahli parti dan jentera parti?
Kawasan-kawasan putih mengelit yang selama ini dipegang para pembesar kerajaan seperti Pekan, Pagoh, Bagan Datoh, Sembrong dan Sungai Sibuga sudah gagah dan kuat dengan jentera yang mantap dan sokongan pengundi yang kukuh. Kemenangan di situ sudah menjadi satu perkara yang lazim dan hanya faktor majoriti kemenangan sahaja yang menjadi topik perbualan.
Tetapi dari segi matematik politik, para pembesar kerajaan tidak sedar akan peranan mereka dalam membantu memenangkan lebih banyak kerusi untuk parti. Seharusnya dengan populariti mereka yang tinggi dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan mereka yang begitu kuat seperti mana laporan berita media masa, mereka boleh menang di mana-mana sahaja kawasan yang mereka tandingi kerana mereka cukup popular dan diterima rakyat.
Oleh yang demikian, sudah sampai masanya para pemimpin yang popular tersebut mengambil pendekatan yang lebih strategik dalam menambah kerusi kemenangan UMNO, iaitu dengan bertanding di kawasan hitam/kelabu hitam.
Strategi sebegini bukan baru kerana pada tahun 80-an, Lee San Choon telah melakukan perkara yang sama dan menang. Yang berbeza sekarang ialah Lee San Choon tidak begitu popular pada waktu itu seperti mana Najib, Muhyiddin dan Ketua-Ketua Menteri, malahan Menteri Dalam Negeri yang cukup popular (bukan persepsi dan tiada kompromi) kerana mempunyai pengikut Tweeter dekat 200 ribu dan cukup diminati artis-artis jejaka termasuk Aaron Aziz dan Anuar Zain.
Maka sudah tentu aura populariti mereka di kalangan masyarakat akan memperkuatkan lagi semangat jentera di kawasan-kawasan hitam/kelabu hitam, reputasi nasional mereka juga akan menambat hati dan minda para pengundi dengan mudah sejajar dengan prestasi mereka mentadbir negara/negeri.
Para pembesar-pembesar kerajaan selama ini tidak sedar bahawa mereka mampu melakukan sumbangan yang jauh lebih besar daripada mempertahakan kerusi-kerusi putih mereka.
Pada hakikatnya sekiranya mereka dapat menjana sokongan rakyat di kawasan hitam/kelabu hitam menerusi populariti mereka di peringkat nasional, setiap kerusi yang mereka menangi adalah bonus besar kepada UMNO/BN bukan sahaja dari segi menaikkan moral ahli parti, tetapi sekali gus menambah kerusi yang dimenangi dan membantu UMNO/BN kembali memeluk majoriti 2/3.
Harus diingat, strategi itu telah membuahkan hasil bukan sahaja kepada Lee San Choon dan MCA pada tahun 80-an, tetapi juga kepada parti pembangkang seperti DAP.
Walaupun bergerak sebagai pembangkang dengan masalah kekurangan sumber dan organisasi jentera yang mantap seperti UMNO/BN, para pemimpin kanan DAP berperang secara 'Gorilla' iaitu menawan kubu lawan satu per satu.
Jenderal perang mereka akan sentiasa berada di barisan hadapan dan meninggalkan kawasan yang telah mereka tawan supaya mereka dapat meneruskan misi perang di kawasan lawan yang lain.
Rekod PRU ke-12 jelas mencerminkan keberhasilan tinggi strategi pihak pembangkang. Lim Guan Eng mengambil risiko bergerak dari Melaka ke Pulau Pinang dan DAP menempah kejayaan paling besar dalam sejarah parti di utara Semenanjung. Pada masa yang sama, DAP tetap gagah di Melaka dengan memenangi 1 daripada 2 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 5 kerusi DUN daripada 8 kerusi yang ditandingi.
Jelas bahawa Lim Guan Eng mewarisi DNA bapa dia, Lim Kit Siang. Kit Siang masyur dengan sejarah bertanding di beberapa negeri bermula daripada Melaka, lalu ke Selangor, kemudiannya ke Pulau Pinang dan terbaru di negeri Perak di mana Kit Siang menang besar di Parlimen Ipoh Timur dengan majoriti 21ribu undi.
Hulubalang-hulubalang seperti Kit Siang dan Guan Eng tidak mempunyai rekod tanpa kalah. Dalam sejarah penglibatan PRU mereka, ada juga peristiwa di mana mereka kalah teruk kepada calon daripada BN.
Tetapi mereka terus berjuang dan yang paling penting, pendekatan berani mereka merempuh kubu kuat BN telah berjaya memperkuatkan parti dan membuka ruang kepada generasi baru kepimpinan parti untuk bertapak di kawasan-kawasan tradisi UMNO/BN.
Kepada para pembesar-pembesar UMNO, mungkin sudah tibanya masa untuk menilai kembali tanggungjawab masing-masing terhadap survival parti dan bukan hanya mengorbankan ahli-ahli parti untuk selamat diri sendiri. Mungkin benar bahawa di jentera peringkat akar umbi masih tenat dengan isu-isu dalaman. Tetapi sekadar memberi ucapan mengenai survival parti dan kepentingan parti sudah tidak berkesan lagi.
Kepimpinan itu bukan satu retorik tetapi satu kewajipan dan satu amanah yang perlu diterjemahkan kepada tindakan. Pada masa dan ketika survival parti berada di persimpangan, para pembesar parti harus melakukan lebih daripada menuntut pengorbanan daripada ahli-ahli akar umbi.
Sudah sampai masanya para pembesar parti mengepalai serangan barisan hadapan dan bukannya duduk mengarah jentera kempen di kawasan putih yang UMNO/BN boleh menang biarpun 'diletakkan songkok sahaja'.
Demi survival parti, demi menaikkan semangat jentera dan demi tujuan keramat menawan kembali kerusi yang pernah menjadi kubu kuat parti, para pembesar Putrajaya perlu meninggalkan kawasan putih masing-masing dan bertanding di kawasan hitam/kelabu hitam di PRU akan datang.
Sebagai contoh, Najib selaku Pengerusi Perhubungan BN Selangor merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang rajin turun padang, kuat bekerja dan jauh lebih popular daripada mana-mana pemimpin pembangkang. Sekiranya Najib bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, PKR sudah pasti akan kehilangan seorang 'heavyweight' di situ kerana tidak mungkin MB Selangor yang tidak mampu urus air dalam negeri dan ada masalah dengan Timbalan Presiden parti sendiri mampu menandingi aura dan rekod khidmat cemerlang Najib.
Sebagai satu pendekatan tambahan bagi memantapkan lagi jentera UMNO/BN Selangor dan memberi impak 'Double-Punch' pada PRU akan datang, Hishamuddin Hussien dilihat sebagai rakan setia Najib yang paling berkaliber dalam membantu misi Najib menawan semula Selangor.
Dengan sokongan dan rangkaian maklumat daripada agensi-agensi utama seperti PDRM, RELA, JPAM, Skuad Muda KDN dan pengikut Tweeter hampir 200 ribu dan dibantu rakan-rakan artis tampan molek, Hishamuddin yang cukup masak dengan situasi semasa di Selangor dan berdekad menjadi pemegang 'Permit Masuk' di Ampang, dilihat mampu meneruskan sokongan kuat beliau kepada Najib dengan bertanding di Parlimen Ampang yang dimenangi calon PKR pada PRU yang lepas.
Parlimen Ampang dilihat cukup ideal bagi Hishamuddin kerana komposisi pengundi mengikut kaum di Ampang (56% Melayu, 34% Cina, 8% India) menyerupai komposisi pengundi di Parlimen Sembrong (54% Melayu, 36 Cina, 9% India).
KDN selama ini telah melakukan banyak inisiatif mengurangkan jenayah di negeri Selangor dan berjaya mencatat penurunan dari segi kadar jenayah (bukan persepsi). Kelebihan ini merupakan satu prestasi tinggi yang meletakkan Hishamuddin di satu kedudukan yang amat selesa dan sangat sangat popular di Ampang.
Bertanding di Parlimen Ampang juga akan membantu Hishamuddin menyukarkan kempen PKR di DUN Bukit Antarabangsa yang dimenangi Azmin Ali pada PRU yang lepas. Berasaskan kepada tahap populariti yang tinggi dan pengalaman hidup Hishamuddin di Ampang, beliau bukan sahaja mampu memberi sumbangan besar kepada misi Najib dalam menawan semula Selangor, memenangi satu lagi kerusi bonus untuk UMNO/BN tetapi juga membantu dalam melemaskan jentera politik PKR di Selangor.
Melihat kepada isu ketandusan pemimpin berkaliber dalam Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, seharusnya Muhyiddin mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di salah satu kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur selama ini dianggap sebagai kubu kuat parti pembangkang dan ketiadaan heavyweight UMNO untuk menentang pembangkang di Kuala Lumpur secara konsisten telah menjadikan jentera UMNO di Kuala Lumpur lebih bersifat jentera berniaga daripada jentera politik.
Sekiranya Muhyiddin sudi memimpin misi serang UMNO di Titiwangsa atau di Wangsamaju, sudah tentu pembangkang akan hilang arah dan dikorbankan jentera kempen Muhyiddin yang turut diperkuatkan dengan sokongan kuat para guru.
Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mungkin sudah sampai masa untuk tidak menggelabah dengan keputusan kajiselidik Merdeka Centre. Tidak usahlah mahu bergantung kepada kenyataan Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk melepaskan diri daripada situasi politik Sabah yang sudah cukup tenat dan mencabar.
Hakikatnya, kalau sudah dibuktikan tidak popular, maka terimalah hakikat dan carilah jalan untuk memperbetulkan keadaan. Tiada lagi alasan untuk terus berselindung di sebalik persabahatan dengan para pembesar di Putrajaya. Segala permasalahan kepimpinan di Sabah yang tidak putus-putus sehingga makin ramai meninggalkan UMNO/BN tidak berlaku secara spontan.
Ahli-ahli parti di akar umbi faham benar bahawa sudah tiba masanya Musa tampil berhadapan dengan masalah yang beliau cetuskan sebelum UMNO/BN tenggelam di PRU akan datang.
Demi memastikan UMNO/BN terus selamat dan berkuasa di Sabah, Musa yang merupakan anak kelahiran Beaufort perlu kembali ke kampung kelahiran beliau untuk memastikan kerusi Parlimen Beaufort tidak jatuh ke pangkuan pembangkang di PRU akan datang.
Sekiranya Lajim Ukim bukan satu faktor yang boleh melemahkan UMNO Sabah seperti yang diwar-warkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, maka Musa harus yakin dan percaya bahawa beliau juga akan menang besar walaupun bertanding di Beaufort. (sabahkini.net)