AYER KEROH - Usaha bagi mengenal pasti kewujudan harta karun di Pulau
Nangka, semakin menampakkan hasil apabila pintu ke bilik yang menyimpan
harta berkenaan disahkan sudah ditemui.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kejayaan itu
bakal membuktikan sama ada kewujudan harta karun hanya satu mitos atau
sebaliknya.
Menurutnya, pihaknya sudah dimaklumkan bahawa syarikat dilantik, Smart
Partnership International Sdn Bhd berjaya menemui pintu berkenaan
selepas kajian dijalankan di pulau terbabit.
“Sekiranya tiada aral melintang, saya dan wakil kerajaan negeri akan ke
pulau berkenaan pada 28 April ini untuk membuka pintu ke bilik itu.
“Berdasarkan perkembangan ini, saya yakin mereka dapat sampai ke bilik
itu menjelang 30 April iaitu tarikh akhir yang diberikan kerajaan negeri
kepada syarikat ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan
Mesyuarat Exco di sini, semalam.
Idris berkata, penemuan pintu ke bilik rahsia itu merupakan satu
kejayaan memandangkan usaha mencari harta berkenaan telah dilakukan
sejak 1980, bagaimanapun gagal.
Mengikut kajian, katanya, terdapat lebih 20 bilik di sebalik pintu
berkenaan yang menyimpan pelbagai harta dipercayai milik Kesultanan
Islam Melaka.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menyerahkan tugas-tugas mengeluarkan
harta berkenaan kepada Jabatan Warisan Negara apabila ia berjaya
ditemui.
Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan berkongsi harta
berkenaan dengan Kerajaan Melaka apabila selesai tugas mengeluarkannya,
memandangkan hasil dari harta berkenaan boleh digunakan untuk
pembangunan negeri ini.
Malah, katanya, kerajaan negeri telus dalam menyenaraikan setiap
barangan yang ditemui di dalam bilik itu kelak dan akan diumumkan kepada
orang ramai.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak kelak membuat tuduhan bahawa kita
mengambil barangan di dalam bilik itu untuk diri kita sendiri," katanya.
Beliau berkata, fasa kedua nanti membabitkan usaha mengenal pasti sama
ada harta ditemui ini merupakan harta peninggalan Kesultanan Melaka atau
sebaliknya.//(Sinar)