Polis siasat kemungkinan wujud unsur sabotaj
PUTRAJAYA - Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk
kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap semua insiden yang melibatkan
Malaysia Airlines (MAS), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
Ia ekoran insiden terbaharu melibatkan pesawat MAS MH192 yang membuat
endaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
awal hari ini pada saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum
terjawab, katanya.
"Kita akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyiasat semua
perkara berkaitan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran
Persidangan Akademi Persatuan Polis Antarabangsa (Interpa) kali ketiga
di sini hari ini.
Majlis tersebut dilancarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Interpa Prof. Dr. Remzi
Findikli.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kenyataan
pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein, yang meminta pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang
kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap MAS.
Pesawat MH192, yang bertolak ke Bangalore, India, dengan membawa 159
penumpang serta tujuh anak kapalnya melakukan pendaratan kecemasan
selepas pesawat itu mengalami masalah pada gear pendaratan.
Pesawat itu yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam tadi dan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi ini.
Kecekapan juruterbang pesawat itu yang melakukan pendaratan dengan baik dan lancar mendapat pujian penumpang pesawat berkenaan.
Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, pula
hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada
pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas ketika berada di Laut China
Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang
sama. - Bernama