Senarai itu dikumpulkan pada 2009 dan mengandungi 122 nama pemimpin dunia, bermula dengan Abdullah dan berakhir dengan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko kerana ia disusun mengikut abjad.
Pemimpin lain termasuklah Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Syria, Bashar al-Assad.
Menurut akhbar itu, dokumen itu tidak memberikan maklumat yang cukup untuk menentukan bentuk pengawasan, manakala NSA pula tidak memberikan sebarang komen mengenainya.
Laporan Spiegel yang disiarkan pada Sabtu menyatakan bekas ejen CIA, Edward Snowden adalah sumber kepada dokumen rahsia tersebut.
Menurut Snowden, hanya 12 nama yang dikongsikan dengan Spiegel, termasuk Merkel, dan pada tahun lalu, telefon bimbit pemimpin Jerman itu turut dirakam oleh NSA.
Akhbar itu juga melaporkan, agensi keselamatan British, Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) menceroboh masuk firma internet Jerman dan arahan mahkamah diperolehi oleh NSA untuk mengintip Jerman.
Pendedahan baharu ini dibuat selepas kira-kira sebulan Putrajaya memanggil diplomat Amerika dan Australia di Kuala Lumpur atas dakwaan terlibat dengan rangkaian perisikan yang diketuai Amerika di Asia, termasuk China dan Indonesia.
Berdasarkan pendedahan Snowden, laporan meluas dibuat menyatakan Kedutaan Australia di Asia digunakan untuk merakam panggilan telefon dan data.
Sebelum ini, Der Spiegel menyiarkan peta bertarikh Ogos 2010, yang menunjukkan kehadiran 90 kemudahan perisikan elektronik di seluruh dunia, termasuk di Kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Snowden mendakwa, Singapura membantu aktiviti perisikan ini, dengan menggambarkan negeri itu sebagai pihak ketiga yang utama memberikan laluan kepada sistem komunikasi Malaysia.
Snowden adalah pusat kepada pendedahan 200,000 dokumen yang menunjukkan pencerobohan Amerika ke seluruh dunia, antaranya menunjukkan Washington menjalankan stesen pengawasan di kedutaannya di Kuala Lumpur bagi merakam dan mengawasi telefon dan rangkaian komunikasi.
Ketika Pak Lah menjadi perdana menteri, keluarganya dikaitkan dengan skandal minyak untuk makanan di Iran di samping syarikat Scomi yang dipimpin oleh anaknya dikaitkan dengan pakar nuklear Pakistan.
Kerajaan beliau juga tidak stabil ekoran serangan bertalu-talu daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – 30 Mac, 2014.//(TMI)