PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Tuesday, 7 May 2013

Saya buat keputusan 3 hari sebelum mengundi - TGNA

(TG Nik Aziz bercakap kepada wartawan di atas tangga masjid di sebelah rumahnya selepas solat Zohor tengahari tadi)

PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau telah membuat keputusan untuk tidak menjadi Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Rakyat menguasai negeri itu tiga hari sebelum PRU 13 baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil berikutan beliau merasakan tidak begitu bertenaga lagi dari segi fizikalnya untuk menjawat jawatan yang tinggi di peringkat kerajaan.

Beliau juga turut mengakui di hari mengundi beliau turun berkempen sehingga ke Pasir Mas, meninggalkan kawasan sendiri dan tidak sempat dilawati hingga ke hari ini.

“Hari itu memang saya tersangat letih, saya rehat di sebuah musallah,”ujarnya.

Bagaimanapun, beliau bersedia memikul tanggungjawab Mursyidul Am dan Pesuruhjaya sekiranya parti masih memerlukan khidmat beliau untuk memegang dua jawatan itu di peringkat negeri dan Pusat.

Jika sebaliknya, beliau akur dengan keputusan jemaah kerana perlantikan itu dilantik oleh PAS Pusat.

Beliau berkata demikian kepada media di Masjid Pulau Melaka selepas menunaikan solat Zohor tengahari tadi.

Katanya, jika diukur dengan tempoh aktif dalam politik sejak tahun 1997 bermula dengan Ahli Parlimen, kadang-kadang terpaksa membawa kenderaan sendiri dari Kota Bharu-Kuala Lumpur, makan juga tidak teratur menyebabkan beliau kini semakin tidak berdaya.

“Maka saya bagitahu pada timbalan saya supaya menerima tanggungjawab itu dan saya syukur Tuanku Sultan Kelantan memahami dan menerima keputusan saya. Junjung kasih saya ucapkan pada Tuanku.

“Sekiranya di Kelantan ini tidak ada orang berkelayakan saya sanggup memegang lagi jawatan itu sampai matipun, tetapi apabila saya meneliti memang ramai lagi, jadi saya sanggup berundur,”ujarnya.

Beliau juga yakin orang yang menggantikannya mampu menjaga negeri di samping mempunyai ilmu agama yang tinggi.

Pada masa yang sama, Tuan Guru mengucapkan tahniah kepada pengundi muda yang pulang untuk mengundi demi membuat perubahan.

“Insyaallah merekalah benih-benih untuk menyuburkan gerakan Islam pada masa depan,”ujarnya.

Berhubung dengan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu, beliau akan meneruskannya sebagaimana biasa memandangkan ianya diumpamakan ‘nasi beras’ di akhirat nanti.

Ketika ditanya berhubung harapan pada saf anggota exco yang baru, beliau mengharapkan mereka lebih baik memacu pentadbiran kerajaan Kelantan.

“Tentu saya mengharapkan yang lebih baik, tetap saya yakin sebab mereka mempunyai ilmu dan pengalaman yang tidak sedikit, tenaga muda untuk melihat Islam lebih bertenaga,”ujarnya.

Ketika ditanya berhubung bekas anggota exco Datuk Husam Musa yang tidak dilantik sebagai exco kali ini, beliau enggan mengulas lanjut.
- harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers