Oleh : MD IZWAN
KUALA
LUMPUR : Ahli perniagaan Datuk Mohd Taufik Omar mengakui syarikatnya
menyediakan jet eksekutif kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan berkata ia tidak menjadi kesalahan besar kerana mereka hanya
menjalankan urusan perniagaan.
Menurut laporan The
Star hari ini, Mohd Taufik menafikan dia adalah pemilik jet tersebut dan
enggan mendedahkan jumlah wang yang dibayar bagi khidmat menyediakan
jet itu.
“Syarikat
saya hanya menguruskan jet peribadi. Oleh kerana ia jet peribadi, maka
ia harus menjadi perkara rahsia,” katanya dalam The Star.
Mohd
Taufik merupakan presiden Persatuan Judo Malaysia, juga pengerusi LD
Sports Sdn Bhd, Kenangan Nilam Sdn Bhd, Asiana Inspirasi Sdn Bhd, KN
Capital Sdn Bhd dan T Corp Labuan.
Beliau
juga pengarah dalam syarikat Health Solutions (SE Asia) Sdn Bhd,
CltlTower Sdn Bhd, Aliran Modern Sdn Bhd dan Vasseti Bhd.
Anwar,
sebelum ini, dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa
pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan,
Sabah pada tarikh tersebut.
Menurut
pendedahan blog yang memetik kenyataan akaun Twitter naib presiden PKR
Tian Chua beberapa hari lalu, jet eksekutif itu dinaiki Anwar
bersama-sama para pemimpin pembangkang lain ke Labuan dan Kota Kinabalu,
dipercayai bagi menyambut perayaan Hari Malaysia.
Malah,
kehadiran Anwar ke Labuan juga turut menyaksikan kemasukan bekas
bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin ke dalam PKR. (TMI)