KUALA LUMPUR 28 September: Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan bajet yang tidak berhemah dan
‘ole-ole’ pilihan raya BN untuk membeli undi rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri
berkata, ia jelas kerana Najib tidak berminat untuk mengubahnya kepada
perbelanjaan berimbang, sebaliknya menumpu kepentingan mempertahan
survival politik BN berbanding kesengsaraan yang ditanggung rakyat.
“Najib tidak pernah berusaha untuk mengubah perbelanjaan kepada
seimbang, tetapi tetap sama seperti tahun lepas dan tahun-tahun
sebelumnya dengan bajet defisit,” katanya.
Najib dalam bajet tersebut mengumumkan defisit kerajaan pada 2013 dijangka sebanyak 4 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2012.
Manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM201.9 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM49.7 bilion.
“Rakyat dan anak-anak muda yang terpaksa menanggung hutang kerajaan yang semakin menebal,” katanya kepada Keadilan Daily.
Azmizam berkata, jika perkara ini berterusan, bermakna sudah sampai
masa Umno BN memberikan laluan kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) menerajui
negara.
“Najib
tidak pernah fikir masa depan negara, ini buktikan beliau bukan pembela
rakyat. Contohnya semasa kata-kata pembukaannya, beliau cukup takbur
mengatakan rakyat memberi kepercayaan kepada Umno BN tadbir negara
dengan kemenangan 12 kali dalam pilihan raya.
“Bermakna untuk pilihan raya ke 13, rakyat akan berikan pula mandat
kepada Pakatan. Najib jangan terlalu riak kerana mandat yang ada
sekarang adalah milik Tun Abdullah Badawi,” ujarnya.
Azmizam juga bimbang kerana tidak ada keyakinan yang dilakukan oleh
kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan secara berpanjangan.
“Pandangan awal pada bajet tersebut memang nampak cantik tetapi
sebenarnya ia tidak dapat diterjemaahkan dalam bentuk tindakan yang
lebih baik. Rakyat akan sentiasa tertipu dengan helah kerajaan itu dalam
bajet terakhirnya sebelum PRU 13,” katanya.
Dalam pembentangannya petang tadi, antara lain Najib mengumumkan
‘gula-gula’ pilihan raya termasuk menyediakan pemeriksaan percuma
bernilai RM200 juta kepada 1.4 juta ahli Perkeso, diskaun separuh harga
bayaran pasport kepada warga emas RM150 untuk lima tahun dan RM80 untuk
dua tahun dan 40,000 tangki air akan dibekalkan di pedalaman Sabah dan
Sarawak.
Beliau juga menawarkan rebat kepada belia (21-30 tahun) RM200 untuk
pembelian telefon pintar 3G selain bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M)
RM250 kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan
bawah RM2,000 termasuk pemberian bonus sebulan setengah kepada penjawat
awam.
-sumber