Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, budaya
politik kebencian akan terus disemai pihak pembangkang dengan tujuan mencetuskan
perasaan benci terhadap kerajaan. “Makin dekat PRU13, lebih banyak budaya
kebencian, kemarahan, pecah belah, menyerang peribadi dan fitnah yang boleh
menjejaskan keselamatan negara dibawa mereka untuk menanam rasa benci rakyat
terhadap kerajaan,” katanya.
Tujuan Naib Presiden UMNO itu mengeluarkan
kenyataan tersebut ialah supaya seluruh rakyat Malaysia marah dan bencikan
pembangkang dan Pakatan Rakyat. Jadi siapa yang mencetuskan budaya politik
kebencian sebenarnya? Dalam dunia politik hari ini, jika kita melakukan perkara
yang sama kepada pihak lawan maka mempertikaikan pula perbuatan pihak lawan akan
menyerlahkan sifat hipokrit diri sendiri. Usah menyebut bahawa Pakatan
mencetuskan politik kebencian kalau semua media-media propaganda yang menjadi
perkakas BN saban hari menyiarkan berita buruk, fitnah dan putarbelit terhadap
Pakatan dan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan.
Usah juga
menyebut bahawa Pakatan menyerang peribadi kalau TV3 dan Utusan Malaysia setiap
hari menjadikan serangan terhadap peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
sajian wajib. Sekurang-kurangnya sehari satu fitnah baru terhadap Anwar
menjadikan jumlah setahun tidak kurang 365 fitnah yang berlainan dikenakan
terhadap Ketua Pembangkang itu.
Usah menyebut perihal kononnya BN difitnah
kalau di pihak mereka memfitnah Pakatan sudah menjadi ‘makanan ruji’ sehingga
busuk bumi Malaysia dengan fitnah jahat BN. Kononnya jika Pakatan menang maka
raja-raja Melayu dihapuskan, Islam bukan lagi agama rasmi, hak istimewa Melayu
dimansuhkan, LGBT dihalalkan, DAP jadi Perdana Menteri, bendera Jalur Gemilang
akan ditukar, hubungan diplomatik dengan Israel akan dijalin; bukankah itu
antara rentetan fitnah yang diulang-ulang tanpa henti?
Usah menyebut bahawa
pengawal Ketua Pembangkang ganas kerana mengacu pistol, walhal penyokong UMNO
yang menyekat laluan bas, membaling cat dan melakukan provokasi dengan pelbagai
kata-kata kesat, makian dan cacian.
Atas sifatnya sebagai Menteri Dalam
Negeri beliau mengecam Pakatan kerana tindakan yang dibuat boleh menjejas
‘keselamatan negara’. Bagaimana pula dengan tindakan pihak keselamatan
membiarkan samseng jalan penyokong BN menyekat laluan, memecahkan cermin
kenderaan, menyerang ibu pejabat parti pihak lawan, menyerang masjid, membiarkan
penyokong mereka membakar gambar pemimpin Pakatan, memijak dan kencing – tanpa
sebarang tindakan oleh pihak keselamatan. Dalam waktu yang sama cepat pulak
bertindak, sepantas kilat, jika sasaran serangan itu ialah pihak BN. Tidakkah
tindakan yang dilihat sebagai berat sebelah oleh pihak polis ini boleh
mencetuskan kemarahan rakyat yang mendorong kepada ancaman keselamatan dalam
negara?
Inilah bahananya jika pemimpin politik yang naik memimpin pentadbiran
kerajaan tidak dapat membezakan status antara kerajaan dan parti politik
pemerintah, antara rakyat dan penyokong pembangkang. Maka wujudlah dwi piawaian
peraturan atau undang-undang; segalanya haram untuk pembangkang dan segalanya
halal untuk penyokong BN selaku parti yang memerintah.
Cabaran terdekat untuk
Hishammuddin selaku Menteri Dalam Negeri itu ialah tindakan beberapa NGO dan
Pemuda PAS di seluruh negara tampil membuat laporan polis mendesak tindakan juga
diambil terhadap penghina gambar pemimpin Pakatan, seperti mana pantasnya mereka
bertindak terhadap penghina gambar Perdana Menteri.
Inilah masanya untuk kita
menilai kewibawaan pihak polis. Adakah mereka akan menyiarkan foto
samseng-samseng jalanan itu dalam media massa untuk diburu oleh seluruh rakyat
Malaysia seperti yang mereka lakukan tempohari? Adakah semua samseng jalanan
UMNO yang terbabit itu akan diheret di hadapan media dengan sedu sedan akan
memohon maaf atas kebiadapan mereka? Rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan
drama ini, walaupun harapan untuk menyaksikannya sangat tipis
sekali.
Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap
keselamatan dalam negara wajar meletakkan pasukan polis di tempat yang neutral,
tidak bertindak (atau berdiam diri) dan berpihak berasaskan pegangan politik
parti yang memerintah. Jika menteri yang berkaitan dengan perdagangan, wanita
atau urusan pertanian yang berat sebelah dalam menguruskan kementerian ia masih
boleh dianggap ‘biasa’ walaupun tidak demokratik. Namun jika urusan berkaitan
keselamatan ditadbir berasaskan piawaian politik kepartian, negara boleh huru
hara.
Mahkamah baru saja memutuskan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri
mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 adalah haram sebagai tidak betul. Setelah
kezaliman oleh kerajaan BN terhadap rakyat berlalu dalam suatu tempoh masa
sebelum, semasa dan selepas Bersih 2.0, baru kini mahkamah memutuskan bahawa
menteri itu tak betul, maka malang sungguh nasib rakyat yang menjadi mangsa
kezaliman itu.
Kini pelbagai drama politik keganasan yang dicetuskan UMNO dan
konco-konco mereka berlaku dalam negara. Kasihan nasib polis yang dilihat tidak
berupaya menyerlahkan sikap neutral mereka di kalangan rakyat untuk bertindak
adil kepada semua pihak. Ia berlaku gara-gara menteri yang menguruskan mereka
lebih mementingkan keselamatan politik BN dari keselamatan negara.
-sumber