KUALA LUMPUR 21 Sept: Selepas gempar dengan kemewahan ‘aksesori’
Datin Seri Rosmah Mansur melalui pendedahan cincin RM24 juta dan beg
tangan RM28,000, kini tersebar pula gambar isteri Perdana Menteri itu
memakai jam tangan yang dikatakan bernilai RM350,000.
Jam tangan yang dipakai Rosmah ketika menghadiri satu majlis di
Vietnam itu dilihat menyerupai jenama jam tangan antara paling mahal di
dunia iaitu
Franck Muller.
Berdasarkan beberapa blog, jam tangan itu dikatakan bernilai antara
RM350,000 hingga RM500,000. Rosmah sebelum ini dikatakan memiliki 11 beg
tangan mewah jenama Birkin yang setiap satu dianggar bernilai minimum
RM638,000 dan maksimum RM5,192,000.
Sehubungan itu, Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail mencabar
Rosmah mendedahkan aset peribadinya kepada rakyat jika dakwaan mengenai
kemewahannya tidak benar.
“Sahut cabaran agar dedahkan aset peribadi kepada rakyat kerana tak
masuk akal untuk seorang isteri pemimpin kerajaan mampu memiliki
aksesori semahal itu.
“Jika lihat laporan yang tersebar di internet, dengan aset bernilai
ratusan ribu begitu membuatkan kita kesal kerana isteri pemimpin
berboros tatkala rakyat dihimpit keadaan ekonomi yang membebankan.
“Ternyata
slogan wassatiyah yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak hanya retorik
politik semata-mata untuk menagih simpati rakyat,” katanya kepada
Keadilan Daily, hari ini.
Sebelum ini, Rosmah dan Najib dilapor berbelanja sehingga
RM17,118,650.58 sepanjang lawatan rasmi mereka dalam tempoh 2008 hingga
2011.
Dewan Rakyat sebelum ini dimaklumkan kos keseluruhan lawatan rasmi
Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh yang ditanggung kerajaan
berjumlah RM134,317.76.
Malah, Rosmah dikaatkan berbelanja hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah di Atlantis, Dubai hanya untuk satu malam.