Saya mulakan ulasan ini dengan mengungkapkan setinggi-tinggi syukur saya ke
hadhrat-Nya kerana menunjukkan saya jalan-Nya yang lurus ini, iaitu iman dan
Islam. Namun begitu, saya turut ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa atas
sikap serta perangai buruk sesetengah mereka yang kononnya mengaku beriman dan
seorang Islam tetapi dalam masa yang sama telah berkali-kali menodai kesucian
dan maruah agama ini tanpa segan dan malu. Memang benar sekali, penghinaan
terang-terangan terhadap Islam di negara kita dimulai sekitar tahun 1980-an
lagi; malah, ketika pentadbiran sebelumnya, kalau adapun berlaku perselisihan
faham PAS-Umno mengenai agama, tidaklah begitu tersiar secara eksklusif.
Justeru, rasanya umum sudah tentu boleh mengagak, siapakah sebenarnya punca
terhadap gejala tidak bermoral ini.
Juga, kenyataan Tun Mahathir yang
pernah disiarkan dalam stesen televisyen pada Februari 1996 mempersenda hukum
hudud jelas sekali mencerminkan kedangkalan penghayatannya terhadap rukun iman
itu sendiri, apatah lagi sanggup mempersenda sunnah Rasulullah SAW menyimpan
janggut, umpamanya. Walhal, dalam masa yang sama, mereka jugalah yang
bersandiwara sehingga kini kononnya merekalah pemimpin dan pentadbir Islam agung
yang patut dicontohi, dengan menyajikan slogan dan program-program kosmetik
semata-mata.
Bukankah jelas pada zaman Tun Abdullah
(Pak Lah) dengan pendekatan Islam Hadharinya, dan kini, YAB PM pula dengan
konsep wasatiyahnya, masalah umat Islam kita tidak selesai, malah makin parah?
Lebih menyedihkan, kedapatan pula mereka yang dipanggil "ulama" sanggup
bersengkongkol.
Sedangkan pada masa yang sama ada kalangan mereka yang
benar-benar ikhlas jiwanya ingin berbakti kepada negara hanya kerana Allah,
apabila mengulas hukum-hakam dengan sebenarnya, boleh dimusuhi pula? Nah,
bukankah ini tindakan hipokrasi (munafiq) namanya? Juga, bagaimana pula dengan
sesetengah menteri yang berhujah menggunakan dalil naqli untuk menegakkan benang
basah yang turut disokong para “ulama” ini, menyebabkan kita sekalian menjadi
lebih keliru?
Oleh itu, pada hemat saya, hikmah di sebalik penerbitan
filem 'The Innocence Of Muslims' yang tidak bertanggungjawab itu ialah,
setidak-tidaknya membangkitkan kembali keinsafan umat Islam, khasnya kita di
Malaysia ini, akan gejala buruk golongan kafir dan munafiq yang ingin terus
memastikan nur Islam ini terhapus, sekaligus timbul rasa sensitif kita untuk
mempertahankan kesucian nur Allah ini. Dengan itu, saranan Naib Presiden PAS itu
sewajarnya direnung dengan penuh keseriusan, dan marilah kita bersama-sama
mengenepikan sebarang perbezaan dan sentimen remeh-temeh serta bertaubat
kepada-Nya. Semoga setelah ini, umat Islam dan negara Malaysia tercinta ini akan
aman sentosa beroleh berkat, ampunan, rahmat dan redha-Nya dunia dan akhirat
- wargamarhaen