PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Wednesday, 12 September 2012

Krisis Najib-Muhyiddin: Khabar Angin Yang Bakal Menjadi Realiti

Jika dilihat kehadiran Najib bersama Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan semalam, seolah-olah tidak ada apa-apa masalah antara mereka berdua. Perdana Menteri dan timbalannya ini bagaikan gandingan erat yang sentiasa seia sekata serta sehati sejiwa.

Tetapi beberapa minggu sebelum itu, bertaburan poster-poster di Johor yang mahukan Muhyiddin sebagai PM sebelum PRU 13 ini bagi menyelamatkan UMNO dan BN berikutan Najib dilihat masih gagal untuk menarik sokongan rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Meskipun UMNO Johor dan UMNO Pagoh menafikan poster itu diterbitkan oleh mereka dan menyifatkan ianya taktik pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merenggangkan hubungan kedua pemimpin itu, hakikatnya jika pun wujud masalah antara Najib dan Muhyiddin, ia juga bukanlah sesuatu yang pelik dan di luar kebiasaan.

Selain watak dan pendekatan keduanya jelas berbeza, mereka juga berbeza pendapat dalam beberapa isu. Dalam Akta Keterangan yang baru diluluskan misalnya, suatu ketika Najib setuju ia dikaji semula setelah adanya pelbagai bantahan tetapi Muhyiddin mempertahankannya, termasuk bertindak memanggil dua timbalan menteri yang sebelum itu agak keras membantah akta itu.

Beberapa lama sebelum itu, di ketika Najib bangga dengan 1Malaysianya, Muhyiddin pula tetap meletakkan dirinya sebagai Melayu dahulu, kemudian baru diikuti sebagai rakyat Malaysia. Pendekatan yang jelas amat bertentangan dengan 1Malaysia.

Dalam beberapa isu lainnya pula, Muhyiddin juga dilihat tidak berapa bersungguh mempertahankan Najib seperti yang dapat dilihat dalam isu remaja menayang punggung dan memijak gambar Najib.

Sementara dalam UMNO pula, suara-suara yang merasakan Najib lebih sesuai memimpin UMNO dan kerajaan dalam suasana politik kritikal seperti sekarang ini sudah lama kedengaran. Najib, dengan watak sebagai anak bangsawan dilihat hanya sesuai menjadi pemimpin UMNO di ketika parti itu tidak bermasalah dan rakyat tidak berpecah.

Dalam keadaan UMNO berjuang antara hidup dan mati, UMNO tentunya memerlukan pemimpin yang tegas, berani dan kurang retorik. Muhyiddin sebaliknya telah terbukti berjaya menangani krisis UMNO Johor dan perpecahan Melayu ketika menjadi Menteri Besar Johor berikutan perletakan jawatan Musa Hitam pada 1986 dulu. Najib tidak ada rekod seperti itu dan baru disedari oleh banyak pihak beliau tidak sesuai menjadi pemimpin ketika ini.

Bertompoknya masalah dan isu yang tidak selesai sekarang ini sebahagaiannya adalah kerana daya kepimpinan Najib yang dilihat lemah, tidak tegas, tiada keberanian serta kurang kebijaksanaan.

Saya sendiri sudah mendengar perkara ini diperbualkan di kalangan ahli dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat sudah lama dan sudah pun menulisnya dalam buku Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib sebelum ini. Hakikatnya arus yang berkehendakan Muhyiddin berbanding Najib adalah sesuatu yang benar dan nyata.

Lebih dari itu, dalam sejarah perjalanan politik UMNO pula, krisis atau hubungan tak sebulu antara PM dan timbalannya bukanlah perkara yang pelik. Ia sudah kerap berlaku. Tun Mahathir berbalah dengan Musa Hitam, kemudian melantik Ghafar Baba sebagai pengganti tetapi kemudiannya merestui Ghafar Baba disingkirkan oleh Anwar. Mahathir kemudiannya berbalah dengan Anwar sehingga memecatnya walaupun sehari sebelum itu, pada 1 September 1998, keduanya dilihat begitu mesra ketika Mahathir mengumumkan tentang langkah kawalan mata wang negara.

Kemesraan Mahathir dan Anwar ketika itu tidak jauh bezanya dengan kemesraan Najib dan Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan semalam.

Mahathir hanya tidak berbalah ketika Pak Lah menjadi timbalannya tetapi setelah Pak Lah menjadi PM dan Mahathir terus mengganggu-gugatnya, perbalahan mereka akhirnya berterusan hingga kini.

Pak Lah dengan Najib pula tidak terlihat krisisnya tetapi apabila gelombang penolakan semakin kuat terhadap Pak Lah, Najib juga akhirnya menjadi tidak sabar untuk segera menjadi Perdana Menteri.

Yang jelasnya, kerenggangan hubungan antara pemimpin nombor satu dengan pemimpin nombor dua bukanlah sesuatu yang janggal dan di luar kebiasaan. Apatah lagi dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, selain beberapa perbezaan yang ketara dapat dilihat, Muhyiddin juga diketahui sebagai pemimpin yang bercita-cita tinggi dan tidak pernah menyatakan rasa puas hati sekadar menjadi orang nombor saja.

Selain itu, para penyokong Muhyiddin pula tentunya tidak pernah pudar keinginannya untuk melihat boss mereka itu menjadi Perdana Menteri pula.

Krisis Najib dab Muhyiddin ini boleh meletus bila-bila masa saja. Jika ianya dapat ditutup erat sebelum pilihanraya ini, ia mungkin sukar dipertahankan selepas keputusan pilihanraya nanti. Lebih-lebih lagi jika keputusan itu nanti tidak sebaik yang diharapkan.

Yang menariknya dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, kedua-dua mereka tidak pernah memberi komen mengenainya. Berbeza dengan Mahathir dulu, semua krisis dengan timbalannya dinafikannya tetapi akhirnya semua menjadi kenyataan.

Semua krisis itu pula bermula dengan khabar angin dan cakap-cakap orang bawahan. Namun terbukti kebanyakan peristiwa politik sememangnya bermula dengan khabar angin. Ini kerana kadang-kadang khabar angin itu sengaja dicipta untuk menjadikan ia kenyataan yang tidak terlalu mengejutkan suatu hari nanti.

Jika dulu ada pepatah, takkan pokok bergoyang tanpa angin tetapi pokok juga sebenarnya bergoyang jika ada kera yang sengaja menggoyangnya. Tambah pula dalam politik, kera boleh diupah untuk menggoyang pokok.

Krisis dan perbalahan antara pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor dua secara realitinya memang sukar dielakkan kerana meskipun keduanya saling melengkapi dan perlu memerlukan antara satu sama lain, mereka sebenarnya hanya bersahabat dalam berpolitik tetapi sentiasa bermusuh dalam kuasa.

-http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers