SHAH ALAM - "I love you" adalah kata-kata terakhir diungkapkan pramugara
Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan kepada isterinya
Intan Maizura Othaman beberapa jam sebelum pesawat itu dilaporkan hilang
pada 8 Mac lepas.
Kata-kata itu jugalah akan sentiasa menjadi kenangan manis buat Intan
Maizura, 34, yang kini sarat mengandung anak kedua mereka.
Menceritakan mengenai detik beberapa jam sebelum pesawat dinaiki
suaminya hilang, wanita itu berkata Mohd Hazrin terlepas kenderaan
disediakan oleh pihak MAS untuk kakitangan bertugas pada malam 7 Mac.
Beliau berkata suaminya yang komited dengan tugas kemudian meminta
beliau menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Sepang.
Intan Maizura berkata dalam perjalanan ke lapangan terbang, mereka
bersembang seperti biasa dan Mohd Hazrin ada memegang tangan serta
mencium tangannya.
"Kata-kata terakhirnya pada saya malam itu ialah "I Love you".
Kata-kata itu akan sentiasa menjadi memori yang manis dengan dia.
"Mohd Hazrin bukan sahaja seorang suami malah adalah sahabat karib saya.
Saya terlalu merinduinya, namun saya redha dengan apa yang berlaku dan
menganggap dia pergi ke destinasi berikut seperti biasa tetapi jika dia
kini berada di Lautan Hindi, bersemadilah dengan tenang," katanya ketika
ditemui di kediamannya di sini malam ini.
Intan Maizura berkata anak sulung mereka, Iman, 4, kerap bertanya
mengenai bapanya sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan mengenai perkembangan terbaru penerbangan MH370 pada Isnin
lepas.
"Sehari selepas pengumuman itu saya beritahu anak saya bahawa bapa
pergi kerja dan kapal terbang dinaiki bapa rosak serta tidak akan balik
kerana bapa sudah berada di syurga.
"Bila dia (Iman) meminta berjumpa dengan bapanya, saya beritahu supaya
banyak berdoa dan akan berjumpa. Alhamdulillah, dia faham dan tidak
pernah bertanya lagi," katanya.
Walaupun sedih mendengar pengumuman Perdana Menteri bahawa penerbangan
pesawat dinaiki suaminya berakhir di Lautan Hindi, Intan Maizura redha
dan menerimanya dengan hati terbuka.
Wanita itu juga yakin beliau mampu meneruskan kehidupan terutama dalam
membesarkan anak-anaknya kelak dengan sokongan daripada anggota keluarga
serta rakan-rakan.
"Sebagai orang Islam, kematian itu sudah pasti dan merupakan janji
Allah jadi, kita harus redha serta sentiasa mendoakan orang tersayang,"
katanya. - Bernama