BATU PAHAT – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendakwa
terpaksa membayar RM45 hanya untuk tiga gelas air minuman yang
dinikmatinya bersama dua lagi rakannya, di sebuah warung di sini.
Mohd Hamidi Mad Tap, 37, berkata, dia bersama dua rakannya ketika itu
dalam tugasan untuk membuat pemotongan bekalan elektrik di warung
berkenaan.
Sementara melaksanakan tugasan itu, dia memesan tiga jenis minuman
iaitu teh ais, milo ais dan teh O, di warung tempat proses pemotongan
bekalan utiliti dibuat.
“Saya ke warung itu adalah untuk memotong bekalan elektrik yang
tertunggak sejak tujuh bulan lalu. Sementara menunggu urusan selesai,
saya dan rakan memesan tiga jenis air untuk diminum.
“Kami hanya minum sahaja dan tidak memesan sebarang makanan, atau apa
sahaja yang ‘special’ di situ. Bagaimanapun kami terkejut dengan jumlah
bayaran iaitu sebanyak RM15 untuk setiap jenis air.
“Lebih menyakitkan hati saya, apabila baki sebanyak RM5 setelah saya
menghulurkan wang RM50 itu dipulangkan dengan wang syiling,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Hamidi tidak menolak kemungkinan peniaga terbabit bengang
dengannya yang bertindak memotong bekalan elektrik di warung tersebut.
“Apa pun alasannya, perkara ini tidak patut terjadi kerana kami juga
sebagai pelanggan di warung terbabit, dan saya meminta resit bagi setiap
air yang telah kami pesan.
“Saya juga memerhatikan, warung berkenaan juga tidak mempunyai papan
tanda harga yang sepatutnya menjadi garis panduan buat pelanggan seperti
saya ini,” katanya.
Menurut Hamidi, dia meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya menyiasat dan mengambil
tindakan yang tegas.
Selain itu katanya, peniaga warung berkenaan juga hanya mengeluarkan
resit biasa sahaja yang ditulis dengan tangan, selain tidak mempunyai
nama atau alamat warung berkenaan.
Dakwanya lagi, jika ia benar-benar istimewa, ia perlu mempunyai resit
yang dicetak menggunakan komputer, sebagaimana restoran makanan segera.
“Peniaga terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya sebagai memberi
pengajaran kepadanya serta peniaga lain dan tidak melakukan kesalahan
dengan menindas pelanggan lain pula,” katanya.
Sinar Harian kemudiannya, melakukan tinjauan di warung berkenaan dan
cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik warung berkenaan,
namun dia enggan mengulas lanjut insiden terbabit./(sinar harian)