Oleh: Shahbudin Husin
Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai
Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi
perbualan ramai.
Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang
mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang
kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat
pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.
Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro
pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan
kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.
Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor
menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu
lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan
bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.
Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji
dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud
tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan
wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan
kepadanya.
Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta
tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan,
telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset
dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh
dunia.
Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan
merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof
Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima
iaitu fardu haji ke Mekah.
Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco
Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi
Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik
kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah
dan memulihkan projek terbengkalai.
Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr
Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam
politik dan pengurusan.
Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA
adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan
Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan
atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak
negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.
Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini
semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang
perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin
dikurangkan tahun demi tahun.
Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan
oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya
dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.
Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih keci meskipun
Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu
yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu
rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.
Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai
menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet
pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya
hanya menjaga bas, lori dan teksi saja.
Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah
ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.
Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara.
Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan
seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan
luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.
Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli
Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik
sebagai penasihat di JPM.
Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata
sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya
dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya
boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.
Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai
penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada
nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah
pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.
Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin
tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak
penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan
kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya
dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang
bernilai berbilion-bilion ringgit pula.
Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai
wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi
Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai
jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas,
mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan
diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca SeMalaysia saja.
Oh Malaysia tanahairku!! - shahbudindotcom.blogspot.com