PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Thursday 4 July 2013

Ibrahim Ali nak pandu teksi? Jangan melawak!

Oleh: Aspan Alias

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali telah memecahkan kesunyian beliau dengan memberi khabar yang beliau mahu menjadi pemandu teksi bagi menyara kehidupan beliau.

Saya terbaca berita ini melalui Free Malaysia Today (FMT) hari ini. Beliau berkata beliau akan memohon permit teksi dan memandu teksi bagi menyara kehidupan beliau. Beliau ingin hidup secara sederhana sahaja kata beliau.

Berita ini sangat menarik perhatian saya kerana Ibrahim ini sudah saya kenali dengan rapat sejak 42 tahun yang lalu, dan saya rasa tidak percaya kenyataan ini keluar dari mulut beliau.

Tetapi mungkin juga beliau serius kerana manusia ini berubah mengikut umur dan kematangan masing-masing.

Kalau beliau serius untuk menjadi pemandu teksi saya juga serius untuk memberikan nasihat yang jujur terhadap sahabat saya selama 42 tahun ini.

Setahu saya Ibrahim tidak begitu cekap memandu, takut-takut ramai pula penumpang teksi yang beliau pandu itu masuk hospital. Bagi saya jika di nilai dari cara pemanduan beliau, Ibrahim sepatutnya tidak dibenarkan menjadi pemandu teksi bagi menjamin keselamatan penumpang-penumpang teksi beliau.

Bagi saya Ibrahim hanya layak untuk menjadi taukeh syarikat teksi dan tidak boleh jadi pemandu teksi pula.

Kalau ada masa sehari dua ini saya akan berjumpa untuk menasihatkan beliau supaya membatalkan sahaja niat beliau untuk menjadi pemandu teksi, demi menjaga keselamatan penumpang dan pejalan kaki di jalanraya.

Lagi pun takut-takut penumpang-penumpang terpaksa mendengar Ibrahim berceramah pula sambil memandu.

Takut beliau tidak memberikan tumpuan untuk memandu dengan selamat.

Kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) elok perhatikan jika ada Ibrahim memohon untuk lesen PSP yang diperlukan untuk membolehkan beliau memandu teksi.

Kalau terjumpa permohonan beliau untuk lesen PSP itu, tolaklah permohonan beliau itu. Jangan bahayakan jalan raya dengan membenarkan Ibrahim Ali menjadi pemandu teksi.

Saya tahu Ibrahim tidak serius, itulah sebabnya saya menulis dengan santai sahaja. Kepada Ibrahim, janganlah buat lawak pula kerana beliau mampu melakukan kerja lain yang lebih sesuai untuk beliau.

Saya menulis ini hanya untuk mengusik Ibrahim sahaja. Jangan ambil hati. Saya bersahabat sejak 4 dekad dahulu dan saya tahu Ibrahim Ali tidak serius untuk memandu teksi, dan beliau sendiri tahu yang beliau bukanlah seorang pemandu yang cekap.

Beliau sendiri tahu yang beliau akan membuatkan ramai penumpangnya dalam ketakutan jika beliau yang memandu teksi itu. - 4 Julai, 2013. (TMI)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers