PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Thursday, 18 April 2013

Najib Memberi Jalan Mati Untuk Ghani Dan Mukhriz

Oleh: Shahbudin Husin

Diantara percaturan menarik yang dilakukan oleh Najib dalam pilihanraya kali ini ialah memindahkan Ghani Othman bertanding di Parlimen Gelang Patah untuk berhadapan dengan Lim Kit Siang dan meletakkan Mukhriz Mahathir bertanding di DUN Ayer Hitam serta dijanjikan kerusi Menteri Besar Kedah jika BN dapat menawan negeri itu.

Sekali imbas, tindakan meletakkan Ghani bertanding di Gelang Patah dilihat seperti keputuan yang berani dan menunjukkan pemikiran di luar kotak sebagai jalan terbaik untuk "membunuh" karier politik Lim Kit Siang tetapi ia juga boleh "membunuh" karier politik Ghani yang sudah empat penggal menjadi Menteri Besar Johor.

Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, calon MCA menang di Gelang Patah dengan majoriti 8851 undi tetapi dengan 54 peratus pengundi kawasan itu terdiri daripada pengundi Cina, laluan Ghani tidaklah seperti melalui karpet merah, tambahan lagi dengan perkembangan semasa yang menunjukkan pengundi Cina memang menolak BN dan mahukan perubahan.

Harapan Ghani untuk menang hanyalah bergantung kepada undi Melayu dan gahnya jawatan Menteri Besar yang disandangnya. Mungkin juga melalui beberapa perbelanjaan pembangunan dan lain-lain bantuan kewangan. Sebagaimana Lim Kit Siang, Ghani juga bukanlah orang tempatan Gelang Patah, jadi kesukaran sebagai orang luar agak seimbang. Kalau ada pun hubungannya dengan penduduk Gelang Patah, hanyalah atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Johor saja.

Diatas kertas, laluan Ghani memang nampak sukar. Tetapi laluan Lim Kit Siang juga tidaklah mudah. Ghani harus berusaha mengaut sebanyak mungkin undi Melayu dan menampung selebihnya dengan undi bukan Melayu. Namun kelebihan yang ada pada Penasihat DAP itu ialah jumlah pengundi Cina yang ramai dan kali ini pula mereka memang menolak BN dan mahukan perubahan. Jika Lim Kit Siang boleh memastikan majoriti undi Cina memihak kepadanya dan undi Melayu pula diperolehi melalui bantuan Pas dan PKR, harapannya untuk menang lebih cerah.

Jika Ghani menang dan BN pula kekal menguasai Putrajaya, Ghani mungkin akan diberikan jawatan menteri yang kanan, sesuai dengan jasanya menumbangkan tokoh besar DAP itu. Tetapi jika tewas, beliau akan terbiar begitu saja. Beliau akan dilupakan dan jasa-jasanya tidak akan disebut lagi. Kegagalannya lebih menjadi sebutan dan perbualan. Beliau akan dikenali sebagai Menteri Besar yang gagal.

Dan sebagai pemimpin yang pernah menjadi menteri pusat dan Menteri Besar Johor selama empat penggal, meletakkan beliau untuk berhadapan dengan lim Kit Siang tidak lebih seperti memberi jalan mati yang mempunyai gaung di hadapannya. Kemungkinan beliau untuk tewas dan "mati" adalah lebih besar daripada kemampuan untuk terus hidup dan bernyawa.

Persoalannya apakah bagi Najib membunuh karier politik Lim Kit Siang itu sangat penting sehingga Ghani dijadikan pertaruhan? Apakah juga jika BN tewas di Gelang Patah, bermakna Putrajaya akan terlepas sehingga menyebabkan kawasan itu begitu ingin dimenangi?

Bagi Mukhriz pula, tindakan Najib meletakkannya bertanding di Ayer Hitam serta dijanjikan jawatan Menteri Besar Kedah juga mengundang risiko yang tinggi dan sama seperti Ghani, beliau juga umpama diberikan jalan mati oleh Najib dalam pilihanraya kali ini.

Walaupun Mukhriz menang di Jerlun dalam pilihanraya 2008 lalu tetapi perjuangannya di DUN Ayer Hitam kali ini tidaklah semudah yang dijangka, tambahan pula kawasan itu dimenangi oleh calon Pas, Ghani Ahmad dengan majoriti 506 undi dengan menewaskan calon BN, Othman Aziz.

Mungkin dengan kerja kuat dan bantuan kempen oleh bapanya Mahathir, beliau boleh memenang di kawasan itu. Tetapi persoalan lain ialah bolehkah Kedah dimenangi oleh BN? Untuk mencapai hasrat meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Kedah, dua perjuangan harus diharungi iaitu menang di DUN Ayer Hitam dan kerajaan PR yang ada sekarang mesti ditumbangkan.

Dengan beberapa pergolakan di Kedah sebaik nama-nama calon BN diumumkan, ada bantahan dan protes di beberapa kawasan, ternampak usaha BN mahu menawan Kedah tidaklah semudah yang dijangka. Tambahan pula isu siapa bakal Menteri Besar Kedah pilihan Najib masih menjadi misteri walaupun Mukhriz lebih menjadi pilihan. Ini kerana Pengerusi UMNO Kedah, Ahmad Bashah yang bertanding di DUN Bakar Bata, turut mengidam jawatan yang sama.

Jika Mukhriz hanya menang di Ayer Hitam dan Kedah kekal ditangan PR, anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu akhirnya hanya akan menjadi ADUN biasa saja. Paling tidak pun menjadi Ketua Pembangkang di DUN Kedah.

Dalam kedua-dua kes, Ghani Othman di Gelang Patah dan Mukhriz Mahathir di Ayer Hitam, walaupun harapan Najib dan BN terhadap mereka sangat tinggi tetapi kemungkinan mereka kecundang juga sama tingginya. Mempertaruhkan keduanya di kerusi sukar seperti Najib sedang menyediakan laluan mati untuk mereka.

Jika mereka menang, mungkin ia suatu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh Najib dan BN tetapi jika tewas, Ghani akan dilupakan dan boleh memilih untuk bersara terus. Mukhriz pula, jika tewas dan cita-cita menjadi Menteri Besar tidak kesampaian akan menjadikan laluan politiknya tidak menentu tetapi yang paling nyata, ia mungkin paling mendatangkan kekecewaan kepada Mahathir yang sentiasa mengharapkan laluan mudah untuk anak-anaknya. (SH 18/04/2013)


- http://shahbudindotcom.blogspot.com

1 comment:

  1. Thanks fοr the auspicіous writeup. It if truth be told was
    a enjоyment acсount it. Glance comρlicated to mοre bгought agrеeable
    from you! However, how could we be іn contact?

    Here is my web site - where can I get nitroxin

    ReplyDelete

BERADABLAH KETIKA MENGOMEN... TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers