Di luar jangkaan ramai, kerusi Parlimen Pasir Mas menyaksikan
pertembungan satu sama satu antara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan
calon PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak menteri besar Kelantan.
Persaingan
kedua-duanya disebabkan calon BN untuk kerusi tersebut, Che Johan Che
Pa, tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon biarpun
hadir sama pagi ini.
Presiden PERKASA mendapat sokongan bulat
daripada mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan
kerusi tersebut.
BN sebelum ini memilih Che Johan walaupun
Ibrahim disebut-sebut bakal terpilih sebagai calon, seperti naib
presidennya dalam PERKASA Datuk Zulkifli Noordin.
Ibrahim pada
16 April, hari yang sama selepas BN mengumumkan calon, dengan kecewa
akhirnya mengisytiharkan akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon
bebas.
Justeru, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, pemerhati
politik berpendapat, keadaan yang berlaku tidak akan menguntungkan BN
dan berpotensi memecahkah undi mereka sendiri.
Ia pasti
mewujudkan keadaan serba-salah bagi penyokong mereka sama ada mengundi
BN atau Ibrahim - wakil rakyat lama mereka yang pro-BN./malaysiakini