PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Wednesday, 20 March 2013

UMNO sedang alami ‘Brain Death’ Oleh Aspan Alias

SETENGAH pendapat sekarang ini Parlimen sepatutnya telah terbubar jika dikira daripada tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada 8 Mac 2008 lalu.

Setengah pendapat lagi Parlimen dan Dewan Legislatif sesebuah negeri itu terbubar dengan sendirinya jika dikira daripada tarikh persidangan Dewan Legislatif yang pertama selepas PRU 2008 itu.

Kalau dikira daripada sudut mana pun Perdana Menteri sudah kehilangan moral politik kerana beliau selama ini bukan seorang Perdana Menteri yang “legitimate” kerana mandat yang beliau arak ke hulu ke hilir sekarang ini adalah mandat Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Semalam Najib meminta rakyat memberi beliau mandat yang besar kerana beliau belum lagi mendapat mandat itu.

Menurut Najib, jika beliau dan BN tidak dapat mandat besar lebih-lebih lagi jika BN kalah pada PRU-13 nanti segala perancangan untuk mentransformasi kerajaan dan negara akan terganggu dan punah.

Jika itulah yang dipinta Najib, kita boleh membuat persepsi “conclusive” yang beliau akan kempunan untuk mendapatkan mandat itu, jauh sekali untuk mendapatkan mandat yang besar.

Rayuan Najib itu memberi bayangan jelas yang beliau selama ini tidak memanggil pilihan raya lebih awal ialah kerana takutkan kekalahan.

Najib tersalah langkah sejak awal lagi. Oleh kerana beliau menangguhkan pilihan raya itu sampai ke penghujung penggal maka isu terhadap kerajaan dan terhadap beliau sendiri bertambah dan bercambah sehingga beliau sudah tidak ada apa lagi alasan untuk meyakinkan rakyat yang beliau dan UMNO masih relevan.

Penangguhan pilihan raya menyebabkan beliau tertekan daripada rakyat yang mahukan perubahan dan yang lebih menyakitkan beliau ialah tekanan terhadap beliau oleh pimpinan dan ahli UMNO sendiri.

Adalah wajar bagi Najib untuk memandang ke dalam daripada memandang jauh keluar dan mengganyang parti pembangkang pada setiap ucapan beliau.

Najib sebenarnya mempunyai banyak masalah dalam partinya sendiri.
Najib ibarat panglima perang yang besar dalam mana kumpulan dan kabilah beliau adalah kabilah yang terlalu berpecah dan mempunyai masalah dalamannya sendiri.

Beliau adalah panglima perang yang tidak mendapat dukungan daripada kumpulannya sendiri. Bukan kurang jumlah bala tenteranya yang mahukan beliau terkorban dan banyak bukti yang ramai di antara tentera yang beliau pimpin akan mengacukan senjata ke arah beliau daripada belakang apabila sampai waktunya.

Masalah besar UMNO akan bermula pada hari pengumuman calon dan selepas setiap calon mendapat surat watikah untuk bertanding mewakili UMNO itu. Sabotaj mensabotaj calon parti sendiri akan menjadi lebih hebat sekali dan saya melihatnya sebagai satu fenomena besar dalam UMNO ketika PRU-13 nanti.

Seruan Najib meminta beliau diberikan mandat besar itu merupakan satu mimpi di siang hari kerana penangguhan pilihan raya kali ini adalah penyebab kenapa rakyat sudah hilang keyakinan yang lebih teruk lagi.

Penangguhan itu memberi makna UMNO takut menghadapi PRU dan ketakutan itu membuatkan rakyat tidak yakin lagi kepada parti itu.

Rakyat tidak akan memberi mandat kepada kepimpinan dan parti yang takut menghadapi pilihan raya. Apabila sesebuah parti tidak mempunyai “self confidence” ia bermakna parti itu tidak berani membuat keputusan dengan baik dalam isu penting yang lain.

Perasaan takut yang menghantui UMNO ini yang menyebabkan kepimpinan parti itu terpaksa bermuka-muka apabila menghadapi rakyat berbilang kaum.

Pimpinan UMNO tidak berani bercakap dengan tegas terhadap banyak isu. Itulah sebabnya kita melihat dan mendengar pimpinan UMNO terpaksa menggunakan isu perkauman yang menebal kebelakangan ini.

Nampaknya kali ini UMNO hanya menumpukan harapan mereka kepada orang Melayu yang juga sedang lari kepada PAS. DAP sudah sememangnya mendapat sokongan majoriti kaum Cina dan kebelakangan ini saya mendapat banyak respons daripada orang Melayu untuk memberi dukungan kepada DAP dan itu adalah juga satu fenomena yang jelas.

Pendeknya apa yang dihadapi UMNO sekarang ini amat serius dan yang tinggal hanya sokongan penggiat tegar UMNO yang tidak tahu apa-apa zatau yang mendapat manfaat daripadanya.

Mereka sekarang sedang membina budaya samseng dan mengganggu banyak program parti Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara.

Terbinanya budaya samseng yang bertindak kasar dan tidak bertamadun itu tidak dapat menafikan hakikat UMNO semakin hari semakin hilang identitinya sebagai sebuah parti pemerintah.

Inilah budaya mana-mana parti pemerintah yang akan kalah dan budaya buruk ini sememangnya satu “attribute” bagi pemerintahan yang berada di penghujung kuasa.

Apa yang di rayu Najib adalah manifestasi kepimpinan UMNO yang sebenarnya. Mereka dalam ketakutan yang keterlaluan. Apabila sudah lemah dan menghadapi krisis keyakinan di kalangan ahli parti sendiri, maka ia adalah tanda jelas yang usia UMNO sebagai parti pemerintah itu sudah hampir berakhir.

Seperti seorang yang nazak di hospital, UMNO sedang menghadapi “brain death” dan pembubaran Parlimen itu ibarat mencabut mesin tali hayat daripada pesakit yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Najib sedang berdepan pembangkang yang kuat. Di belakang pula beliau menghadapi dengan ahli UMNO yang menunggu masa untuk mengenepikan beliau.

Najib dalam keadaan serba-salah yang amat susah untuk beliau selesaikan. Hanya rakyat dengan izin Tuhan mampu menyelesaikannya. — aspanaliasnet.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers