PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Thursday, 20 March 2014

3 lagi pesawat ke Lautan Hindi di lokasi 'objek' dikesan

KUALA LUMPUR: Tiga pesawat lagi telah dikerahkan ke kawasan di selatan Lautan Hindi di mana objek-objek yang dipercayai berkaitan dengan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 dikesan, menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Aset-aset itu termasuk sebuah pesawat Orion Tentera Udara Diraja New Zealand dan pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat.
  
"Pesawat Poseidon itu dijangka tiba 3 petang. Pesawat kedua Orion RAAF dijangka berlepas dari pangkalan Pearce RAAF pada 6 petang. Pesawat Orion New Zealand dijangka berlepas 8 malam," kata pengurus besar Bahagian Respons Kecemasan AMSA John Young dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata sebuah pesawat C-130 Hercules RAAF ditugaskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Australia (RCC Australia) AMSA untuk menjatuhkan boya penanda datum yang akan digunakan bagi memberikan maklumat mengenai pergerakan air bagi membantu dalam pemodelan aliran.
  
Boya itu juga akan menyediakan satu titik rujukan berterusan jika tugas menempatkan semula objek berlanjutan.
  
Awal hari ini, RCC Australia menerima imejan objek dari satelit berkemungkinan berkaitan dengan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang.
  
Young berkata imejan itu dirakamkan oleh satelit dan penilaian ke atasnya yang disediakan oleh Australian Geospatial-Intelligence Organisation sebagai kemungkinan petunjuk objek di sebelah selatan kawasan carian yang menjadi fokus pencarian.
  
"Imej itu adalah di sekitar kawasan carian yang ditakrifkan dan diperiksa dua hari lepas, Empat pesawat itu telah diorientasikan semula ke kawasan 2,500 kilometer di barat daya Perth hasil maklumat ini.
  
Sebuah kapal dagang yang memberi respons kepada siaran perkapalan yang dikeluarkan RCC Australia pada Isnin dijangka tiba di kawasan itu kira-kira 6 petang.
  
Beliau berkata kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success, juga dalam perjalanan ke kawasan itu tetapi jaraknya memakan masa beberapa hari dari kawasan itu. Kapal itu dilengkapi dengan kemudahan untuk mendapatkan semula mana-mana objek di lokasi dan jika terbukti daripada MH370, katanya.
  
Usaha mencari pesawat yang hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dan 239 penumpang dan anak kapal itu kini memasuki hari ke-13.
  
Pesawat itu hilang daripada skrin radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac.
  
Kawasan pencarian diperluaskan meliputi kawasan yang luas di arah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asal selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
  
Usaha itu kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; dan koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers