SEREMBAN – Timbalan Pengarah sebuah jabatan, didakwa mencabul seorang
pelajar praktikal di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku minggu lepas terbongkar
selepas pelajar berusia 20-an itu mengadu kepada kakitangan jabatan
berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.
“Ketika mangsa sedang membuat kerja, suspek secara tiba-tiba
menghampiri mangsa lalu mengusap pipi mangsa sebelum tangannya merayap
ke anggota badan lain.
“Mangsa kemudian menepis tangan suspek kerana tidak selesa dengan
kelakuan timbalan pengarah berusia lingkungan 40-an itu. Namun suspek
tidak mengendahkannya lalu meneruskan niat jahatnya itu dengan penuh
ghairah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Jelebu itu merupakan pelajar
di sebuah kolej swasta di Pahang, baru menjalani latihan praktikal di
pejabat berkenaan, kira-kira sebulan lalu.
“Akibat tindakan timbalan pengarah tersebut, mangsa kini dilaporkan
trauma namun dipercayai masih menjalani latihan praktikal di situ.
“Kakitangan pejabat yang mengetahui mangsa dicabul menasihatkannya agar membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal
Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan
atau mana-mana dua seksyen ini jika sabit kesalahan.//(sinarharian)